Pemandu teksi yang berbangsa India rancak bercerita mengenai gagalnya kecanggihan kerana satu suis.

“Semahal mana teknologi kita hasilkan, apabila suisnya dimatikan, satu dunia keresahan,” katanya bersama-sama bahasa tubuh yang mengesahkan.

Gara-gara kehilangan kapal terbang di langit, orang di bumi sedar tempangnya mereka tanpa suis.

Pemandu ini dalam perjalanan pulang ke Puchong, singgah mengisi gas di stesyen minyak Batu Caves.

Oleh kerana bas yang membawa kami dari Terengganu memberhentikan dan menurunkan kami di sini, maka teksi beliau menjadi tumpangan kami.

Tidak lama kemudian beliau bercerita mengenai sesuatu yang dibanggakan, kerjanya sebagai pemandu teksi.

Ia tercetus apabila beliau bercerita apakah kesan apabila teksinya dipaksa berehat di bengkel untuk beberapa hari sekiranya rosak atau musibah akibat orang lain.

Katanya, “Ada waktu saya sengaja mengusik ‘suis’ emosi mekanik. Saya datang awal pagi dan berkata mekanik itu kurang baik!”

Mengapa?

“Yalah, semua orang minta diberikan rezeki termasuk kamu. Sekarang kereta saya rosak kerana mahu makbulkan doa kamu. Kereta rosak itukan rezeki kamu.”

Terkebil-kebil mekanik dan dimarah pagi-pagi dianggap kurang ‘ong’. Cepat-cepat si pemandu teksi diajak minum pagi.

Membawa teksi ini seperti bermain dam. Jika mahu ke peringkat ‘haji’, mesti tahu melangkah jauh lagi.

“Saya suka membawa pelancong. Jika sehari saya dapat membawa beberapa orang pelancong dalam ‘trip’ berbeza, mereka akan menaiki teksi saya lagi dan lagi,” rahsia kerja didedahkan.

Bagaimana?

“Ya! Pelancong apabila menaiki teksi akan memilih teksi yang mengikut meter. Itulah saya. Biasanya mereka akan hulurkan not merah. Kejujuran kita adalah ‘suis’ kemahuan mereka.”

Teksi membelok, petua terhenti seketika.

“Kemudian dalam perjalanan saya berbual dan bertanya bilakah beliau akan pulang ke negaranya. Pelancong itu akan memberitahu tarikhnya. Saya berikan nombor dan tawarkan penghantaran istimewa dari hotel ke lapangan terbang. Dia pun suka.”

Dia senyum sahaja. Membayangkan pelancong lain yang akan menjadi pelanggan berkali-kalinya.

Bercerita mengenai rezeki, “Tuhan memberi dan manusia berstrategi.”