Sejak minggu lalu, heboh diperkatakan di media sosial khabar angin mengenai penutupan beberapa cawangan kedai buku MPH di seluruh negara – melalui beberapa perkongsian yang dibuat netizen.

Berita penutupan itu menjadi tumpuan memandangkan kedai buku tersebut adalah satu jenama yang sangat sinonim dengan masyarakat di negara ini buat sekian lamanya.

Antara cawangan yang dikatakan netizen bakal ditutup adalah yang berada di lokasi berikut; Amanjaya, Sunway GEO, SACC Mall, MYTOWN, JB City Square, Kinta City, MYDIN MITC, Taman Universiti dan Subang Parade.

Selain di Facebook, beberapa perkongsian di Twitter juga seakan memberi bayangan beberapa cawangan kedai buku tersebut bakal ditutup.

Hasil daripada perkongsian mengenai ura-ura penutupan itu, beberapa netizen kemudiannya tampil memberikan maklum balas mengenai situasi semasa cawangan kedai buku di kawasan mereka yang dilaporkan bakal ditutup.

Walaupun tiada notis secara rasmi daripada pihak kedai, namun gambar-gambar yang dikongsikan di cawangan MPH yang berada di kompleks membeli-belah MyTown ini memberi bayangan cawangan itu seperti akan ditutup.

Selain jualan murah yang dijenamakan jualan ‘moving out clearance’  dan kotak-kotak yang telah tersedia di dalam premis, ia seakan mengiyakan dakwaan netizen sebelum ini yang beberapa cawangan bakal ditutup.

Selain di pusat membeli-belah ibu kota itu, netizen juga berkongsikan beberapa keadaan semasa di cawangan kedai buku MPH yang berhampiran dengan mereka.

Melalui perkongsian-perkongsian yang dibuat ini, ia sekali lagi seperti mengiyakan ura-ura yang tersebar sebelum ini.

https://twitter.com/_snurarifah/status/1265681677461774338?s=20

Masih tiada pengumuman rasmi

Bagaimanapun, semakan pihak kami di laman sesawang serta akaun media sosial MPH bagaimanapun tidak berjaya menemui sebarang notis penutupan atau kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut.

Selain itu, pihak kami juga masih menunggu maklum balas daripada pertanyaan yang telah diajukan ke media sosial MPH mengenai ura-ura dan khabar angin yang melanda beberapa cawangan mereka ketika ini.

Namun sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada pengesahan yang dibuat pihak MPH atau menafikan mengenainya. Secara kesimpulannya, masih belum ada kata putus daripada pihak MPH sendiri mengenainya.

Bagaimanapun, jika ia benar-benar berlaku kita mengharapkan penutupan yang dilakukan tidak melibatkan terlalu banyak cawangan yang digembar gemburkan sebelum ini.

Tetapi jika ianya benar-benar berlaku, maka sudah pasti ianya menjadi khabar duka buat mereka yang memiliki banyak kenangan manis bersama kedai buku yang begitu sinonim dengan masyarakat kita ini.

Ini bukanlah kali pertama MPH mengumumkan penutupan cawangan mereka. Malah mereka sebelum ini pernah menutup cawangan di pusat membeli belah One Utama. Baca lebih lanjut mengenainya di pautan di bawah. 

15 Tahun Beroperasi, Akhirnya MPH 1 Utama Bakal Ditutup

Ini Senarai Kedai Buku Yang Buka Secara ‘Online’ Sepanjang Tempoh PKP