Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Sejak beberapa hari yang lepas, syarikat penghantaran barang, J&T Express telah mendapat kecaman netizen selepas timbul isu mengenai pembayaran komisyen terhadap pekerja penghantaran syarikat tersebut.

Namun begitu, disebabkan tidak mahu isu ini berlarutan seorang netizen dikenali sebagai Rudy yang juga merupakan salah seorang pekerja penghantaran bagi syarikat tersebut telah tampil bagi menjelaskan isu tersebut melalui untaian (thread) berikut.

Menerusi perkongsian beliau, penularan berkenaan gambar yang menunjukkan rangka bagi pembayaran komisyen terhadap penghantar itu merupakan perkara yang tidak perlu dibimbangkan.

Ia difahamkan memo tersebut dikeluarkan bagi memberi peringatan kepada penghantar untuk menghantar longgokan barang yang berada di gudang.

Berdasarkan pengalaman beliau, memo akan dikeluarkna mengikut pusat J&T Express yang terdekat. Pihak tersebut perlu mengambil kira beberapa aspek berkenaan barangan yang perlu dibuat penghantaran.

Setelah perkara tersebut diambil kira, pihak atasan bagi syarikat tersebut akan mengeluarkan memo bagi menyelesaikan situasi berkenaan.

“Mestilah barang nak kena clear. Kalau setakat bawak 1,000 parcel sahaja baik duduk rumah. Saya pun dah 1,200 parcel dah untuk bulan ni.

“Ada rider yang dah 3,000 parcel sampai tarikh hari ini. Mereka cakap sahaja yang mereka tidak bayar tapi sebenarnya mereka bayar sahaja,” jelas beliau.

Menurut beliau, dalam sehari seorang penghantar dapat menghantar dalam sekitar 100 bungkusan malah perkara tersebut tidak mustahil asalkan seseorang itu rajin.

Menjawab persoalan berkenaan kawasan yang ditugaskan kepada penghantar pula, beliau menjelaskan bahawa seseorang penghantar hanya perlu menghantar barangan di kawasan yang ditugaskan sahaja.

Bermakna sebagai contoh, sekiranya seseorang penghantar itu ditugaskan di Taman Bahagia jadi beliau hanya perlu menghantar barangan di sekitar kawasan tersebut sahaja.

Tambahan lagi, beliau turut menjelaskan bahawa syarikat penghantaran tersebut telah menyediakan elaun minyak bagi sesiapa yang menggunakan kereta kepunyaan mereka sendiri dalam menghantar barangan serta kad minyak bagi mereka yang memandu lori atau van syarikat tersebut.

Tidak perlu rasa kesian

Rata-rata netizen yang memberi komen telah berasa kasihan pada mereka yang terlibat di dalam perkhidmatan penghantaran barang tersebut. Walaupun begitu, beliau telah menjelaskan bahawa tidak perlu rasa kasihan kerana mereka memperoleh pendapatan hasil daripada pekerjaan tersebut.

“Tak ada isu kesian. Kitorang ada basic, ada elaun, ada komisyen. Tidak perlu rasa kesian kerana kami buat kerja kami.

“Yang kesian tu korang. Sebab kadang-kadang barang lambat sampai. Kadang kalau arrival lebih dari sasaran, kami akan dapat bonus kalau hantar barang lebih dari 150,” kata Rudy.

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap bulan, setiap seorang daripada penghantar mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu berdasarkan tempat serta gudang yang ditugaskan. Jika terdapat banyak barangan yang tiba di pusat penghantaran tersebut, maka KPI akan berubah.

Sebagai contoh seorang penghantar harus melengkapkan penghantaran barangan dalam 900 hingga 2,000 bungkusan untuk sebulan.

Bagi mereka yang kurang jelas, KPI adalah sebuah sistem yang membantu sesebuah organisasi mengawal tahap kemajuan sesuatu proses perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan.

Diharap dengan perkongsian ini, ia dapat menjawab isu yang sedang tular dan dibangkitkan oleh sesetengah pihak berkenaan dengan syarikat perkhidmatan penghantaran Malaysia tersebut.

Baca perkongsian kami yang terdahulu mengenai isu seorang ‘rider’ yang dikatakan jana RM18,000 untuk dua bulan, ini jawapan ‘rider’ berkenaan mengenai isu tersebut melalui pautan di bawah.

Jana RM18,000 Untuk Dua Bulan, Ini Jawapan ‘Rider’ Berkenaan Gambar Yang Tular

Raih RM18,000 Dalam Masa 2 Bulan, Netizen Tergamam Lihat Pendapatan ‘Rider’ Makanan

‘Order Saja Walaupun Hujan’- Rider Nasihatkan Orang Ramai Tidak Perlu Risau

Anda Mungkin Suka