Baru-baru ini tular satu rakaman video dashcam di Twitter menunjukkan dua orang anggota polis telah menahan sebuah kenderaan dan cuba untuk mengambil ‘duit kopi’ daripada pemandu terbabit.

Di dalam video tersebut, jelas kedengaran anggota terbabit mengarahkan penumpang kereta yang ditahan untuk berhenti merekod video menggunakan telefon dan meminta lelaki yang ‘disoal siasat’ untuk memberikan sejumlah wang seperti yang ‘dijanjikan’.

“Ada tak? Tadi kau cerita ada seratus, kau ni. Pinjam kawan kau dulu 50. Ini ada, kau ada?” antara dialog anggota polis yang terakam pada rakaman video dashcam itu.

Menurut salah seorang pengguna Twitter yang lain, kejadian tersebut dipercayai berlaku di kawasan Pelabuhan Klang, menghala ke Bandar Sultan Sulaiman. Terangnya lagi, dia mengesyaki kedua anggota polis itu merupakan polis yang sama meminta ‘duit kopi’ daripada kawan-kawannya serta dirinya sendiri.

Ekoran video yang tular itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara telah mengeluarkan kenyataan media melalui hantaran Facebook mengenai insiden tersebut di mana pihaknya telah mengenal pasti anggota yang terlibat.

Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh menyatakan bahawa satu kertas siasatan tatatertib telah dibuka ke atas anggota yang terlibat dan menyeru agar pemilik akaun yang mendakwa pernah diminta ‘duit kopi’ atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi pihak Polis Klang Utara bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai sedia buka kertas siasatan setelah gambar seorang selebriti tanah air semasa berada dalam tahanan tular baru-baru ini.

Gambar Selebriti Wanita Dalam Bilik Tahanan Tersebar, Polis Sedia Buka Kertas Siasatan

Tiga Polis Antara Ditahan Selepas Didakwa Terlibat Kes Curi Peti Besi Syarikat Kurier