Boleh baca dan menulis jawi? Kalau boleh anda termasuk di dalam golongan-golongan manusia special yang masih hidup di bumi Malaysia.

Kenapa saya kata begitu?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berani saya kata, pengetahuan bahasa jawi terutama di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia kini sebenarnya semakin tenat. Buktinya, pada tahun 2012 seorang pakar dalam bidang tulisan jawi berbangsa Korea pernah menzahirkan kebimbangannya terhadap tulisan jawi yang dikatakan semakin dilupakan terutama golongan muda di Malaysia.

Cuba tengok, orang luar pun risau terhadap tulisan jawi di Malaysia. Tidak mustahil suatu hari nanti hendak cari orang yang mahir membaca dan menulis jawi di Malaysia susah. Sedangkan, dahulu inilah tulisan yang menjadi sebahagian daripada sumber ilmu.

Gambar: Twitter

Seperti yang kita tahu, tulisan jawi dahulunya merupakan salah satu medium komunikasi penting yang digunakan zaman sebelum dan selepas merdeka.

Buktinya sangat banyak, contoh seperti penemuan semula batu bersurat, surat beranak datuk anda, surat-surat jual beli dan sebagainya. Selain itu, dulu terdapat juga surat khabar yang ditulis sepenuhnya dalam tulisan jawi. Generasi 90an pasti masih ingat lagi.

Dahulu, tulisan jawi merupakan satu pelajaran wajib di sekolah. Namun, sejak kebelakangan ini minat dan penguasaan masyarakat terhadap tulisan jawi dilihat semakin berkurangan.

Mungkin kerana setelah semua mata pelajaran di sekolah secara rasminya sudah di alih ke bahasa rumi termasuk Pendidikan Islam. Apa yang boleh saya kata, tulisan jawi kini seperti dianak tirikan.

Perkara ini pernah saya bincang bersama kawan dahulu. Antara faktor penyumbang kepada masalah ini mungkin kerana:

1. Kurangnya pendedahan tulisan jawi kepada generasi sekarang. Ibu bapa yang pandai mungkin tidak lagi mahu mengajar atau melatih anaknya kemahiran bahasa jawi.

2. Seperti yang dinyatakan di atas, selepas bahasa rumi secara rasminya mengganti tulisan jawi.

3. Kurang sumber bacaan dalam bahasa jawi. Ialah, sekarang Vocket sendiri pun ditulis dalam bahasa rumi. Tetapi jangan lupa, buat anda yang mahu teruskan membaca jawi masih boleh layari portal Utasan Melayu. Laman web berbahasa jawi sepenuhnya yang masih wujud.

Oleh itu, demi mengelak bahasa jawi terus terkubur saya kira masih belum terlambat untuk kita sama-sama menyemarakkan semula bahasa warisan Melayu ini.

Buat anda yang berminat, pada peringkat awal boleh cuba layari laman web Ejawi. Di situ anda boleh mengalih tulisan rumi kepada jawi sebagai pengenalan dan pembelajaran.

Tidak dinafikan, terdapat banyak perkataan jawi yang telah berubah ejaan. Semuanya dikemaskini mengikut peredaran zaman supaya bersesuaian dengan masyarakat dan lebih mudah untuk dieja dan dibaca.

Saya tahu, mungkin sekarang masih ramai lagi masyarakat Malaysia yang boleh dan pandai dalam tulisan jawi. Tapi, bagaimana dengan nasib tulisan jawi dikalangan generasi akan datang? Maksud saya 30 tahun ke hadapan mungkin.

Jawapannya ada pada kita hari ini.

Sekurangnya, nanti taklah malu nak mengaku ‘pejuang melayu’ tapi tak reti jawi.