Turki menembak jatuh sebuah pesawat perang Rusia Su-24 berhampiran sempadan Syria semalam, sambil mendakwa pesawat itu telah menceroboh ruang udaranya. Insiden ini adalah pertama kali berlaku melibatkan sebuah negara anggota NATO (Turki) dan Rusia, setelah 50 tahun.

Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata pesawat itu telah diserang ketika berada 1 km dalam kawasan Syria sambil memberi amaran keras.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan jenayah seperti yang dilakukan hari ini," kata Putin.

Dalam surat kepada NATO, Turki berkata ia telah menembak pesawat tersebut ketika ia berada dalam ruang udara Turki. Dua buah pesawat Rusia telah menceroboh masuk ke dalam ruang udara Turki selama 17 saat, walaupun telah diberi amaran sebanyak 10 kali dalam masa lima minit.

"Kami telah melakukan yang terbaik untuk mengelakkan kejadian ini. Tetapi, semua orang harus menghormati hak Turki untuk mempertahankan sempadan," kata Presiden Turki, Tayyip Erdogan dalam ucapan di Ankara.

Turki mengutuk serangan udara Rusia di Syria, yang menyaksikan ruang udara Turki turut diceroboh beberapa kali kebelakangan ini. Erdogan berkata 'kesabaran' Turki telah menghalang kejadian buruk berlaku pada masa lalu.

Sebagai simbol bantahan, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov membatalkan lawatan ke Turki pada hari Rabu. Menteri Pertahanan Rusia pula menyatakan mereka sedang bersiap sedia menyediakan langkah-langkah bertindak balas terhadap insiden sebegitu pada masa hadapan.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Presiden Perancis, Francois Hollande, menggesa kedua-dua pihak 'bertenang' sambil mengelakkan kejadian ini menjadi lebih serius, sementara Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg berkata 'mereka akan berdiri di belakang Turki'.

https://www.youtube.com/watch?v=YaWtPHptldY

Rakaman video Turki dari Haberturk TV menunjukkan pesawat perang itu jatuh terbakar dengan kepulan asap, sebelum terjatuh ke dalam kawasan hutan yang didiami oleh bangsa asli Turki dikenali sebagai Turkmen. Kawasan ini berada dalam sempadan negara Syria.

Rakaman video dari Anadolu Agency, Turki pula menunjukkan dua orang juruterbang melompat keluar menggunakan payung terjun sebelum pesawat itu terhempas.

Komander tentera Turkmen berkata, mereka telah menembak mati kedua-dua juruterbang ketika mereka sedang dalam perjalanan ke bawah. Tentera Rusia mengesahkan seorang juruterbang telah ditembak mati dari darat, manakala seorang lagi terkorban ketika operasi menyelamat.

Peperangan di Syria

Peperangan di Syria menyaksikan dua kuasa besar (NATO dan Rusia) menyokong dua pihak yang bertelagah.

Turki mahu kekuasaan Bashar al-Assad hilang, sambil membuka sempadannya untuk pelarian Syria. Rusia mahu kekuasaan Assad dan kerajaannya kekal. Rusia berkata ia menyerang ISIS, tetapi sebenarnya ia menyerang kelompok pejuang berhaluan sederhana yang mengancam penguasaan Assad.

Obama dan Hollande mempercayai Assad bersubahat dengan ISIS, melalui pembelian minyak kerajaan Assad daripada ISIS.

Walau bagaimanapun, Amerika dan Perancis berhati-hati untuk memastikan peperangan di Syria tidak menimbulkan konflik dengan Rusia. Semasa Hollande mengisytiharkan "peperangan" terhadap ISIS selepas serangan Paris, beliau memanggil sokongan Kesatuan Eropah melalui Perjanjian Lisbon, serta mengenepikan NATO. Pegawai-pegawai Perancis berkata, Hollande tidak mahu menyinggung perasaan Putin dengan menjadikan isu Syria sebagai isu NATO.

BACA: Putin Beritahu Siapa Cipta ISIS Dan Bagaimana Mereka Berkembang

BACA: Orang Ramai Bersatu Mempertahankan Islam Selepas Serangan Di Paris

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Sumber