Pihak JPJ ada membuat pengumuman bahawa setiap pemilik kenderaan diminta untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor hingga 31 Disember ini bagi mengelak kesesakan di kaunter-kaunter cawangan JPJ yang turut dibuka pada sehingga hari terakhir pada tahun ini.

Walaupun orang ramai mengambil peluang untuk menyelesaikan pelbagai urusan dengan datang terus ke cawangan JPJ, namun ada juga yang terpaksa pulang dengan hampa apabila ada sebahagian sistem dan mesin yang digunakan oleh jabatan tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong apabila beliau sendiri turun padang untuk melihat serta mendapatkan maklum balas secara terus daripada orang ramai tentang perkhidmatan JPJ baru-baru ini.

Semasa lawatan kerja secara mengejut tersebut dilakukan, beliau berasa sedih dan terkilan apabila orang ramai masih beratur panjang mengelilingi Bangunan JPJ Johor. Apabila maklum balas diterima, rata-rata menyatakan proses serta sistem untuk pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) sangat menyusahkan orang ramai.

Pemegang lesen tidak boleh diperbaharui lesen di UTC dan pejabat pos, transaksi yang sudah dibuat secara dalam talian melalui sistem MySikap perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan, daripada jumlah keseluruhan mesin cetak yang ada, hanya sebahagian kecil sahaja berfungsi.

Itu antara masalah-masalah yang diluahkan oleh orang ramai kepada Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong semasa diminta untuk berkongsi maklum balas pengalaman mereka berurusan di pejabat JPJ tersebut.

“Selepas lawatan kerja mengejut, saya dapat membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada terlalu kuno (lebih daripada 10 tahun).

“Dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisyen dan tidak menyusahkan rakyat,” petik dari kenyataan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang dikongsikan di laman Facebook rasminya.

Tambahnya lagi, beliau cuba sehabis baik untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menyelesaikan setiap urusan di pejabat JPJ dengan proses yang lebih lancar dan efisien supaya ia tidak membazirkan tenaga dan masa semua pihak yang terlibat.

Dalam berita lain, JPJ mempunyai ‘Skuad Ronda JPJ’ sendiri yang lengkap dengan kamera untuk merakam kesalahan pengguna jalan raya. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Lebih Efisien Dan Telus, Pihak JPJ ‘Pasang’ Kamera Bagi Merakam Kesalahan Pengguna

Tiada Lagi Saman Ekzos Bising, Hanya Notis Panggilan Temu Siasat Di JPJ

Sumber