Ombak suara #MansuhTouchNGo mula kedengaran terngiang di setiap sudut sosial media. Suaranya mungkin tidak begitu bergema, tetapi hingar dan keras.

Ia hadir selepas beberapa netizen menyuarakan ketidakpuasan hati apabila syarikat Touch ’n Go bakal menghentikan segala khidmat tambah nilai di setiap lorong keluar tol seluruh negara mulai hari ini.

PLUS dalam satu kenyataan menyatakan bahawa langkah tersebut dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di lorong keluar plaza tol Wilayah Utara dan Selatan.

“Ini menyumbang kepada kelewatan yang tidak sepatutnya berlaku ekoran pengguna yang kekurangan baki menyebabkan mereka terpaksa menambah nilai di lorong keluar.

“Secara puratanya, setiap kali proses tambah nilai akan mengambil masa tiga minit,” menurut kenyataan itu.

Bagi netizen, alasan yang dikemukan PLUS tidak relevan dan jelas seperti mahu melindungi Touch ’n Go yang telah memonopoli sistem berbayar di setiap tol yang terdapat di seluruh negara.

Tambah netizen lagi, kesesakan lalu lintas akan berlaku apabila sistem tambah nilai telah dimansuhkan oleh pihak Touch ’n Go.

Cubaan mereka untuk memodenkan sistem tersebut dikritik netizen dengan menyebut ‘sebagai langkah kebelakang dan hanya untuk memenuhkan poket mereka sendiri’.

Tetapi tahukah anda punca dibelakang masalah-masalah ini bermula daripada siapa?

CIMB. Ya, anda betul, bank yang terkenal dengan masalah sistem perbankan atas talian.

Untuk pengetahuan anda, CIMB memegang hampir 52% saham Touch ’n Go manakala baki selebihnya dimiliki oleh PLUS dan MTD Equity Sdn Bhd.

Pada Disember 2018, cubaan PLUS untuk memperkenalkan sistem Radio Frequency Identification (RFID) bagi memberi pilihan lain kepada pengguna lebuhraya telah dihalang oleh pihak CIMB yang mengheret PLUS ke mahkamah.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan The Star, CIMB bersikap besar kepala apabila dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak mahu sistem RFID diperkenalkan dan telah menghalang segala jenis bentuk promosi yang cuba dilakukan PLUS untuk memperkenalkan sistem ini.

Kelakuan CIMB ini seperti orang tamak yang mahu makan semua benda tanpa memikirkan orang lain.

Biarpun kes ini telah diselesaikan diluar mahkamah pada 24 Oktober yang lalu. Ianya tidak memberi pilihan lebih baik kepada pengguna, malah makin membebankan lagi.

Geram netizen dengan Touch ’n Go makin membuak apabila ada beberapa netizen yang melaporkan bahawa sistem tambah nilai Touch ’n Go secara atas talian tidak berfungsi dengan baik.

@SaraZulkipli dalam satu ciapannya mempersoalkan sistem tambah nilai atas talian Touch ’n Go yang tidak berkesan dan menyusahkan pengguna.

https://twitter.com/SaraZulkipli/status/1189453737263190016

Manakala bagi @mogiygjahat, beliau mempersoalkan sistem Touch ’n Go eWallet yang hanya berfungsi di beberapa tol pilihan dan tidak merangkumi semua.

https://twitter.com/mogiygjahat/status/1190865260934090753

Sudah jatuh ditimpa tangga

Persoalan yang lebih besar perlu dijawab ; siapa yang mendapat kesan terhadap pertelegahan di antara PLUS dan Touch ’n Go serta PLUS dan CIMB?

Semestinya para pengguna, mereka yang sebahagian besarnya adalah rakyat Malaysia yang terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meninggi.

Kesan kepada pengguna tidak ubah seperti peribahasa ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Di mana membawa maksud kecelakaan yang berturut-turut. Selepas satu masalah, datang pula masalah yang lain.

Semua solusi yang cuba ditampil pihak-pihak terbabit bukan lagi memberi kesan baik kepada pengguna, malah terus menerus menyusahkan pengguna.

Dengan sistem eWallet yang tidak berkesan dan tidak merangkumi semua lebuhraya jelas menunjukkan sikap acuh tak acuh pihak Touch ’n Go dalam menyenangkan sistem lebuhraya yang semakin hari semakin sesak dengan pengguna.

toll-800921848816.902557598

Tambahan daripada itu, keterbukaan pihak PLUS untuk memperkenalkan sistem pembayaran lain telah dihalang keras oleh CIMB yang jelas bersikap tamak.

Jadinya, para pengguna menerima kesan yang besar kepada pertelegahan diantara pihak-pihak terbabit yang mahu terus memonopoli sistem pembayaran lebuhraya di Malaysia.

Jika dipandang daripada sudut lain, kesedian PLUS untuk memperkenalkan sistem RFID sepatutnya disambut baik oleh CIMB jika mereka memikirkan perkara yang menyenangkan pengguna.

Biarpun CIMB bersikap keras dengan menghalang PLUS daripada terus menjalankan promosi sistem RFID. Mereka sepatutnya hadir dengan idea-idea lain yang lebih bernas dan bukannya menghalang dengan tangan kosong tanpa memberi apa-apa solusi.

Jika kedua-dua pihak ini peka dengan suara pengguna, mereka mungkin boleh memperkenalkan beberapa solusi yang telah disuara di media sosial.

Antara jalan penyelesaian dan penambahbaikan yang telah diutarakan oleh pengguna Twitter, @XavierNaxa ini antara yang terbaik setakat ini. Beliau mencadangkan untuk diperbanyakkan kiosk pandu lalu untuk tambah nilai di setiap 1 kilometer sebelum tol keluar.

Tambah beliau lagi, jika sistem mengenal pasti kad tersebut tidak mempunyai nilai yang cukup, pembayaran tetap akan berlaku. Tetapi ianya akan menjadi nilai negatif dan akan ditolak apabila pengguna menambah nilai.

Netizen berharap agar pihak PLUS dan Touch ‘n Go dapat duduk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian. Janganlah terus menghukum para pengguna dengan memperkenalkan sistem yang jelas tidak relevan dan menyusahkan orang ramai.

Satu kajian menyeluruh perlu dilakukan oleh Touch ‘n Go dan PLUS. Sikap cakna dan ambil tahu perlu ada dalam mengeluarkan sesuatu keputusan agar setiap pihak yang terbabit mendapat manfaat bersama.

Kami kongsikan kepada anda beberapa lagi artikel berkaitan lebuh raya. Klik pautan dibawah untuk membacanya.

Lebuhraya Persisiran Pantai Barat Dari Persimpangan Kampung Lekir Ke Beruas Mula Dibuka

Kutipan Tol Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban Expressway Ditutup Mulai Hari Ini

Jerman Sudah Buka Sebahagian Daripada 100 KM Lebuh Raya Basikal