Baru-baru ini undang-undang membaca telah diumumkan oleh presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed al-Nahyan. Ia adalah salah satu langkah progresif UAE demi masa depan negaranya. Sebelum itu, UAE telah melantik ahli kabinet muda berusia 20-an.

Tujuan utama mewajibkan rakyat membaca adalah bagi menggalakkannya menjadi satu tabiat harian di kalangan rakyat agar dapat melahirkan rakyat yang maju dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. Ini kerana sesebuah negara tiada masa depan tanpa buku.

uae-2

Sheikh Mohammed Rashid al-Maktoum, naib presiden UAE dan raja Dubai berkata:

“Matlamat kami, menjadikan tahun 2016 permulaan perubahan budaya yang mapan sepanjang beberapa generasi — perubahan yang mengutamakan tabiat membaca, merayakan pengetahuan dan menjulang pembacaan.”

Sheikh Mohammed turut mengimbau zaman kegemilangan Arab ketika membalas pujian Paulo Coelho, penulis novel terkenal terhadap UAE kerana menganjurkan pertandingan membaca sejak September lalu.

Menurutnya, Arab mempelopori dan mengetuai dunia intelektual sehingga menjadi “sumber cahaya kepada seluruh manusia dan mencetuskan zaman Renaissance di Eropah”. Pada abad ke-9 juga, Arab mempunyai lebih 100 rumah penerbitan di pinggir Baghdad sahaja di mana kehidupannya berpusat pada buku dan pelbagai kajian ilmu.

uae-1

Undang-Undang Membaca Kebangsaan ini akan membuka lembaran baru kepada UAE dalam pembinaan masyarakat yang suka membaca, bertamadun, mampu berubah dan berciri pemimpin dunia. Dengan penyediaan kemudahan alatan dan buku, ia akan menjadi pemangkin dalam kehidupan dan tanggungjawab bagi meningkatkan keintelektualan dan kekayaan budaya UAE.

Bagi mempromosikan budaya membaca melalui undang-undang baru ini, UAE akan memberikan 3 pek buku kepada bayi sehingga berumur 4 tahun dan menyediakan masa untuk penjawat awam membaca berkenaan kerjaya dan pembangunan diri dalam ruang lingkup pekerjaan mereka ketika bekerja.

Sasarannya, 50% orang dewasa dan 80% murid, membaca sekurang-kurangnya purata 20 buku setahun dimana separuhnya dibaca oleh ibu bapa buat anak-anak mereka.

uae-3

Selain itu kedai-kedai kopi akan diminta menyediakan bahan bacaan buat pelanggan dan akan membuka rangkaian perpustakaan di pusat membeli-belah. Rakyat juga akan diberi pengecualian yuran dan cukai berkaitan buku.

Buku-buku yang tidak dikehendaki tidak boleh dimusnahkan. Ia perlu dipelihara, digunakan semula atau didermakan sahaja. Bahan bacaan dalam bentuk cetakan dan elektronik jadi penting bagi semua lapisan rakyat UAE.

Kementerian Pembangunan Budaya Dan Ilmu akan dipertanggungjawabkan menjalankan perancangan dan mengurus kewangan bagi menyokong penerbitan bahan bacaan dan menyediakan data buku komprehensif untuk perpustakaan dan institusi.

UAE juga serius menekankan undang-undang ini apabila turut bekerjasama dengan sektor swasta dengan menyediakan pelbagai inisiatif, fasiliti dan lain-lain sebagai rakan strategik dalam mempromosikan budaya pembacaan ini.

Kabinet UAE juga akan meluluskan Perancangan Membaca Kebangsaan yang akan dijalankan dalam tempoh 10 tahun selari dengan undang-undang yang telah digubal ini. Bagi memastikan kelancarannya, jawatankuasa akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaannya.

Demi masa depan, UAE mewajibkan budaya membaca di kalangan rakyatnya agar negara membangun sebagai sebuah negara ekonomi berdasarkan pengetahuan yang mampan seperti zaman kegemilangan tamadun Arab terdahulu.