Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Lima tahun lalu, sebuah startup dipanggil UberCab dilancarkan di San Francisco. Hanya dalam 5 tahun, kini, Uber adalah salah satu syarikat paling ‘panas’ di Lembah Silikon. Uber beroperasi di 311 buah bandar dalam 58 buah negara, dan ianya adalah sebuah syarikat global yang bernilai $50 bilion.

Akan tetapi, sebelum Uber mencapai tahap sekarang, terdapat cerita pahit di sebaliknya. Uber adalah startup ketiga yang dibina oleh Travis Kalanick dan merupakan bisnes pertama yang benar-benar berjaya.

Inilah kisah bagaimana Travis Kalanick membina empayar uber dan menguasai dunia dalam hanya lima tahun.

CEO Uber Travis Kalanick dibesarkan di Northridge, California, kawasan pinggir bandar luar Los Angeles. Ketika beliau kecil, beliau mahu menjadi perisik.

Bagaimanapun, akhirnya Kalanick mengikut jejak langkah keusahawanan ibunya, seorang pengiklan runcit. Kalanick pergi dari pintu ke pintu, menjual pisau ketika kecil . Beliau memulakan bisnes pertama pada umur 18 tahun, iaitu kursus persediaan untuk peperiksaan SAT dipanggil New Way Academy.

Kalanick menyambung pelajaran ke UCLA dalam bidang kejuruteraan komputer. Beliau berhenti belajar pada tahun 1998 demi memulakan bisnesnya.

Kalanick berhenti belajar daripada UCLA untuk membangunkan Scour, iaitu enjin carian peer-to-peer, bersama-sama rakan sekelas Micheal Todd dan Vince Busam. Beliau mengambil elaun pengangguran ketika bekerja sepenuh masa untuk Scour, yang dibiayai oleh rakan-rakan dan ahli keluarga salah seorang pengasas bersama Scour.

Setelah disaman oleh beberapa syarikat hiburan berjumlah $250 bilion, Scour memfailkan kemuflisan.

Kalanick kembali dengan RedSwoosh, syarikat perisian rangkaian. Tetapi beliau tidak bersefahaman dengan pengasas bersama RedSwoosh yang juga pengasas bersama Scour, Micheal Todd. Beberapa peristiwa seperti – kejatuhan pasaran saham disebabkan peristiwa 9/11, tidak melakukan pegangan cukai terhadap pendapatan pekerja mereka (yang merupakan jenayah kolar putih), dan pertelingkahan di antara pengasas-pengasas – hampir meranapkan syarikat ini. Tetapi pada tahun 2007, Kalanick berjaya menjual RedSwoosh kepada Akamai dengan harga $23 juta.

Kalanick menghabiskan tahun pertama sebagai jutawan bercuti di seluruh dunia. Beliau melawat Sepanyol, Jepun, Greece, Iceland, Greenland, Hawaii (2 kali), Perancis (2 kali), Australia, Portugal, Cape Verde dan Senegal.

Lewat 2008, di Konferens Teknologi LeWeb, beliau pertama kali mendengar idea tentang Uber. Beliau melihatnya sebagai cara untuk menurunkan harga sewaan limosin dengan hanya menekan sebiji butang.

Garrett Camp, Oscar Salazar, dan Conrad Whelan membina versi pertama Uber, app servis limosin dipanggil UberCab. Kalanick bertanggung jawab sebagai “mega advisor,” walaupun pada mulanya beliau berkata jawatannya ialah “chief incubator.” Dengan UberCab, yang berharga 1.5 kali lebih mahal berbanding teksi biasa (dan jauh lebih murah daripada limosin), anda boleh memesan kereta di San Francisco dengan hanya menghantar mesej atau menekan butang.

Pada tahun 2010, Ryan Graves dibawa masuk sebagai Pengurus Besar Uber Cab. Tidak berapa lama kemudian, beliau menjadi CEO. UberCab dilancarkan pada Jun 2010 di San Francisco. Ia sangat berjaya di San Francisco walaupun ketika itu pelabur belum lagi mengetuk pintu Uber untuk melabur.

Pada musim panas 2010, Uber mengumpul dana daripada pelabur: $1.25 juta modal benih daripada First Round Capital, rakan Kalanick – Chris Sacca, dan pengasas bersama Napster Shawn Fanning.

Pada bulan Disember tahun itu, Kalanick menjadi CEO, dan Graves menjadi Pengurus Besar semula. Mengikut kedua-dua mereka, perubahan ini disambut mesra.

Personaliti Kalanick – seperti yang digambarkan oleh mereka yang mengenalinya, sebagai melulu dan kadang kala sombong – menjadi sebab Uber menjadi sangat berjaya.

Selepas San Francisco, Uber berkembang pantas ke serata bandar-bandar di Amerika Syarikat. Pada May 2011, Uber dilancarkan di New York City, dan kini, NYC adalah pasaran terbesar Uber.

Uber mengumumkan tahun lalu, syarikat itu telah berjaya melakukan 30 juta penghantaran di New York City sejak 2011. Bermakna, secara purata terdapat 82,000 perjalanan Uber di NYC setiap hari.

Pada Disember 2011, Uber memulakan operasi global dengan perasmian pertama di bandar Paris.

Untuk mempercepatkan perkembangan mereka, Uber mengupah pelobi seperti David Plouffe, yang pernah mengetuai kempen pilihan raya Presiden Obama pada tahun 2008.

Uber berterusan mengumpul dana daripada firma venture capital (modal teroka) dan kumpulan pelaburan yang lain. Pada bulan Disember 2014, enjin carian China, Baidu, melabur dalam Uber, yang secara teorinya akan membantu Uber untuk berkembang di China.

Uber juga bereksperimentasi dengan servis-servis lain. Contohnya di Santa Monica, Uber membenarkan pelanggan untuk memesan makanan menerusi servis UberFRESH, yang kini dipanggil UberEATS. Pada musim bunga 2014, pengguna Uber di Manhattan boleh menggunakan khidmat kurier Uber yang dipanggil Uber Rush.

Syarikat ini mempunyai rintangan dan bad press juga. Pada bulan November ketika makan malam dengan orang-orang berpengaruh, seorang eksekutif Uber bernama Emil Micheal berkata syarikat itu mampu mengorek maklumat peribadi pemberita yang bersikap sinis terhadap syarikat itu.

Pada akhir tahun 2014, Senator Al Franken, Pengerusi Jawatankuasa Privasi, Teknologi dan Undang-Undang, menyuarakan kebimbangan tentang privasi  Uber dalam surat terbukanya kepada CEO Travis Kalanick.

Terdapat pemandu-pemandu yang mempertikaikan dakwaan Uber yang mengatakan mereka boleh mendapat $90,000 setahun dengan memandu untuk syarikat itu. Tindakan undang-undang juga telah difailkan terhadap Uber, mendakwa salah-klasifikasi dengan mengatakan pemandu-pemandu sebagai kontraktor bebas apabila mereka sepatutnya diklasifikasikan sebagai pekerja.

Pada bulan Mei, Uber mengambil beberapa penyelidik daripada Universiti Carnegie Mellon untuk bekerja di cawangan mereka di Pittsburgh. Khabar angin mengatakan Uber sedang bereksperimentasi dengan kereta pandu-sendiri.

BACA: 8 Teknologi Yang Akan Mengubah Cara Anda Menjalani Kehidupan Seharian

Uber menyasarkan penguasaan pasaran dunia ketika pesaingnya masih berhempas pulas untuk pelancaran di pasaran Amerika Syarikat. Lyft , salah satu pesaing terdekat Uber, hanya beroperasi dalam Amerika Syarikat – Uber beroperasi di 58 buah negara.

Uber mengumpul dana $5.9 bilion pada valuasi (penilaian) $41 bilion. Valuasi terbaru bakal menjadikan Kalanick multi-bilionair. Khabar angin mengatakan pembiayaan terbaru berjumlah $1.5 hingga $2 billion menjadikan nilai syarikat berharga $50 bilion, menjadikan ia syarikat teknologi persendirian paling mahal di dunia.

BACA Lagi: Beginilah Rupa Bangunan Ibu Pejabat Baru Uber Yang Futuristik

Sumber: Business Insider

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Anda Mungkin Suka