Cendekiawan Islam terkemuka dan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa, Sheikh Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia pada hari ini di usia 96 tahun.

Berita tersebut dikongsikan melalui laman Twitter rasmi beliau dan dalam hantaran itu menambah bahawa butiran pengebumian akan diumumkan kemudian. Bagaimanapun punca kematian tidak dijelaskan.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Qatar, tempat beliau tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.

Yusuf Al Qaradawi yang merupakan seorang ulama Islam Mesir yang berpusat di Doha, Qatar. Beliau dilahirkan pada 9 September 1926.

Beliau telah menerbitkan lebih daripada 120 buah buku dan menerima lapan hadiah antarabangsa atas sumbangannya kepada keilmuan Islam dan dianggap sebagai salah seorang ulama Islam paling berpengaruh di seluruh dunia.

Allahyarham juga pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada tahun 2009.

Salam takziah diucapkan buat seluruh keluarga beliau dan semoga Almarhum Dr.Yusuf Al Qaradawi ditempatkan di kalangan orang beriman.

Sumber