Hobi atau minat setiap orang sememangnya tidak dapat dinafikan berbeza-beza daripada setiap individu lain.

Jika sebelum ini kita pernah melihat ada yang sanggup membelanjakan wang ringgit untuk membeli sesuatu barang yang diminati, ada juga individu yang menjadikan aktiviti membela haiwan peliharan sebagai salah satu hobi mereka.

Namun begitu, berbeza dengan orang kebanyakan yang mungkin membela ikan perhiasan atau pun kucing, lelaki dari Pulau Pinang ini pula menjadikan ular sebagai haiwan peliharaannya.

Menerusi satu laporan yang terbit di Bernama baru-baru ini, lelaki berkenaan Mohd Redzuan difahamkan mempunyai seekor ular sawa batik daripada keluarga Malayopython reticulatus atau reculated python’.

Mempunyai berat sehingga 220 kilogram dan sepanjang tujuh meter, Mohd Redzuan menjelaskan reptilia itu mula dipeliharanya sejak kira-kira 16 tahun yang lalu.

Ular sawa batik yang diberi nama gelaran Cik Kiah itu menurut beliau ditemuinya selepas reptilia berkenaan melintas jalan ketika beliau sedang dalam perjalanan ke Teluk Bahang.

Cik Kiah bagaimanapun menurut laporan berkenaan bukanlah satu-satunya ular peliharaan dimana dia turut mempunyai lima ekor lagi ular sawa batik dalam jagaannya.

Buat anda yang tertanya-tanya dimana beliau menyimpan haiwan peliharaannya ini, Mohd Redzuan mempunyai rumah yang disewa khas untuk menempatkan ular-ular miliknya.

Jika ada dalam kalangan pembaca yang mula berfikir untuk membela ular sawa batik ini, anda terlebih dahulu perlu memikirkan kos yang perlu ditanggung dan juga mendapatkan lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Untuk gambaran, Cik Kiah sahaja memerlukan makanan berupa 20 hingga 25 ekor ayam untuk tempoh sebulan.

Baca juga perkongsian kami mengenai lelaki ini yang merupakan pengumpul tegar barangan Milo melalui pautan di bawah. 

Digelar Sebagai ‘Miloman’, Lelaki Ini Merupakan Pengumpul Barangan Keluaran Milo Seawal 1950

‘Hobinya Mengusik Wanita Seksi’ – Cara Cari Jodoh Zaman Dahulu Buat Netizen Terhibur

Jadikan Belajar Sebagai Hobi, Lelaki Ini Berjaya Raih 32 Ijazah Dalam Masa 21 Tahun