Sangat berbaloi untuk dimiliki. Ini kata-kata saya apabila sudah menggunakan peranti iPhone 11 oleh Apple ini selama sebulan.

Dengan harga permulaan RM3,399 untuk model 64GB, RM3,599 (128GB) dan RM4,099 (256GB), prestasi peranti ini memang sepadan dengan harganya. Lebih-lebih jika anda seorang yang heavy user dan menggunakan telefon pintar anda untuk tujuan ambil gambar, menonton YouTube atau Netflix dan bermain game.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebelum saya menggunakan peranti iPhone 11, saya adalah pengguna setia Huawei P20 Pro selama hampir dua tahun. Sebelum P20 Pro, saya adalah pengguna iPhone 5s. Jadi ulasan ini dibuat selepas mengambil kira kelebihan dan kekurangan setiap peranti (bagi kes saya, perbandingan antara iPhone 11 dan Huawei P20 Pro).

Saya bukan individu yang kerap bertukar ke peranti baharu setiap kali sesuatu model baharu keluar di pasaran. Jadi, ulasan ini turut mengambil kira dari segi longevity serta ‘ketahanan’ model ini untuk digunakan bertahun-tahun lamanya.

Jadi, ini pandangan peribadi saya tentang iPhone 11 dan mengapa anda perlu pilih model ini berbanding iPhone 11 Pro (jika anda ada modal lebih, sila pilih iPhone 11 Pro yang semestinya jauh lebih awesome).

1. Hayat bateri yang lebih lama

Selepas lama meninggalkan peranti iPhone, saya sangat berpuas hati dengan keupayaan jangka hayat bateri iPhone 11 selepas dicas penuh. Ia secara mudah dapat bertahan seharian jika anda tidak menggunakannya secara ‘brutal’ untuk bermain online games seperti PUBG atau PES 2020. Saiz bateri untuk iPhone 11 adalah 3,110 mAh.

Saya ambil situasi kerja di pejabat. Jika iPhone 11 anda dicas penuh ketika anda masuk kerja jam 9.00 pagi, menjelang jam 5.00 petang, saya ada sekurang-kurangnya sekitar 30% – 40% bateri lagi. Penggunaan saya adalah untuk scroll Instagram, bermain PES 2020 ketika waktu rehat dan mendengar Spotify semasa bekerja. Jadi, tiada lagi isu ‘asal beli iPhone kena bawa power bank sekali’.

Tidak terlupa, sistem iOS 13 juga memainkan peranan dalam menjaga hayat bateri iPhone anda. Penggunaan bateri untuk anda membalas emel dan menonton Netflix pastinya berbeza bukan? iOS anda secara bijak akan menentukan penggunaan kadar penggunaan bateri untuk setiap aplikasi anda.

2. Kualiti gambar menakjubkan

Bahagian ini saya tidak perlu cerita banyak kerana kualiti gambar yang dihasilkan oleh iPhone 11 memang mantap. Anda boleh melihat hasil rakaman iPhone 11 pada waktu malam di sini. Tetapi jika anda mahu gambar cantik semuanya bergantung kepada pemiliknya juga. Jika tidak pandai cari angle, pakailah telefon pintar mana pun hasilnya tetap sama sahaja.

Kualiti rakaman Smart HDR juga telah dipertingkatkan. Ia tidak jauh beza daripada iPhone XS dan XR, tetapi jika dibandingkan dengan iPhone X dan generasi sebelumnya, ia adalah satu perubahan yang besar.

Jadi, apa perbezaan antara kamera pada iPhone 11 dan iPhone 11 Pro? Melainkan penambahan telephoto, kamera 1 dan 2 adalah kamera yang sama. Cuma untuk iPhone 11, anda limited bagi fungsi Zoom sahaja. Ini perbandingan kamera untuk iPhone 11 dan iPhone 11 Pro.

iPhone 11
Kamera 1: 12MP wide, f/1.8, OIS
Kamera 2: 12MP ultra wide, f/2.4, 120-degree FOV

iPhone 11 Pro dan Pro Max

Kamera 1: 12MP wide, f/1.8, OIS
Kamera 2: 12MP ultra wide, f/2.4, 120-degree FOV
Kamera 3: 12MP telephoto, f/2.0, OIS, 2x optical zoom

Untuk rakaman video, iPhone 11 dapat merakam video dalam format 4K60. Sesuai untuk anda yang suka rakam vlog. Tidak terlupa sekiranya anda sudah memiliki peranti iPhone 11, sila muat turun aplikasi khas untuk gambar seperti VSCO dan NOMO. Anda pasti sukakannya.

3. Kelebihan iCloud dan AirDrop

Ini antara kelebihan peranti Apple berbanding jenama lain. Sebenarnya saya sangat menyukai dua fungsi ini kerana ia memudahkan anda dalam pelbagai situasi. Pengguna setia Apple pasti sangat tahu kedua-dua fungsi ini. Ia adalah ecosystem yang hebat untuk pengguna barangan Apple.

Saya teruja apabila kembali mengakses iCloud, iCloud masih ‘ingat’ password WIFI rumah saya dan terus dapat akses internet. Begitu juga segala setting di iPhone 5 saya yang dahulu terus dibuat kepada iPhone 11.

Sekiranya anda membeli iPhone dengan saiz 64GB sekali pun, ia ‘cukup’ kerana semuanya akan di back up terus menerusi iCloud. Jadi andai iPhone 11 anda hilang sekalipun, segala data sudah ada di iCloud. Tambahan pula ada fungsi Find My iPhone. Jika anda terlupa letak telefon anda, anda boleh mencarinya menerusi Find My iPhone.

4. Cip A13 Bionic yang lebih pantas

iphone 11 a13
Perbandingan performance cip A13 berbanding jenama lain Kredit gambar: TechCrunch

Cip A13 Bionic adalah processor terkini daripada Apple dan ia adalah lebih berkuasa dan efisyen berbanding A12 Bionic pada iPhone XR. Berdasarkan komen pengguna yang bertukar dari iPhone X kepada iPhone 11, perbezaan antara Cip A13 dan A12 adalah sangat ketara.

Ini adalah antara faktor terpenting mengapa saya merasakan pembelian iPhone 11 adalah satu pembelian yang berbaloi. Kerana saya yakin, pengguna iPhone 11 akan menggunakan iPhone 11 dalam jangka masa yang panjang; selagi ia dapat menerima update iOS terkini.

iPhone 6S (termasuk iPhone SE) ke atas masih boleh mendapatkan iOS 13. iPhone 6S dilancarkan pada tahun 2015. Secara matematiknya, anda boleh terus menggunakan iPhone 11 selama 5 tahun selagi ia masih menerima iOS terkini pada waktu tersebut.

Sebagai pengguna terawal Huawei P20 Pro, saya agak kecewa dengan Huawei kerana setakat Mac 2020, saya masih tidak menerima update untuk Android 10 sedangkan ia sudah dilancarkan sejak September 2019. P20 Pro dilancarkan pada Mac 2018. Tidak sampai 2 tahun, peranti P20 Pro ini sudah ‘dianaktirikan’ dan lambat menerima kemasan terkini Android.

5. Pilihan warna yang pelbagai dan casing yang hebat

iphone 1

Ia adalah lebih mudah untuk mencari casing terkini untuk iPhone berbanding telefon pintar yang lain. Sekiranya saya mahu mencari casing untuk P20 Pro saya pada ketika ini, pasti sangat sukar untuk mencarinya.

Tetapi perkara berkenaan bukan masalah untuk iPhone. Ditambah lagi dengan kepelbagaian warna yang boleh dipilih untuk iPhone 11, tepuk dada (dan poket) tanya yang mana suka.

6. Premium feel

iphone 11 premium

Untuk harga yang anda bayar, anda dapat sebuah peranti yang mempunyai rekaan premium dan sedap mata memandang. Ketika pertama kali ia diperlihatkan kepada umum, saya sangat tertarik dengan placement kamera pada iPhone 11 ini. Nampak seksi.

iPhone 11 diperbuat daripada aluminum frame (7000 series) dan menggunakan Gorilla Glass untuk bahagian hadapan dan belakang. Tidak perlu risau kerana material ini tahan hentakan.

Peranti ini ‘beratnya’ sedap untuk dipegang. Just nice. Rekaan belakangnya juga kini semakin minimalis; hanya tinggal logo Apple sahaja di bahagian tengah.

Saya sarankan anda membeli casing untuk iPhone 11 ini kerana cap jari anda akan mudah melekat di bahagian belakang. Saya beli casing separa transparent ini di kedai Ustaz berharga RM10 sahaja tetapi ia sudah cukup bagus untuk melindungi peranti saya.

iphone 2
Casing iPhone 11 RM10 yang bagus

Pun begitu, iPhone 11 tidaklah perfect dan ada kekurangannya. Setakat penggunaan, ini beberapa perkara yang kurang tentang model ini.

Kekurangan

1. Charging lambat

https://www.youtube.com/watch?v=XM2Ih7xLkCo

Perkara yang saya rindu pada P20 Pro adalah waktu pengecasannya. Ia dapat dicas penuh lebih kurang sejam. Tetapi tidak iPhone 11. Rupanya anda hanya dibekalkan charger 5W di dalam kotak dan anda perlu membeli adapter lain untuk pengecasan lebih pantas.

Video di atas memberi idea perbezaan antara pengecas 5W, 18W dan 30W. Saya juga tidak pasti mengapa Apple masih membekalkan charger 5W untuk iPhone 11 ini. Ia adalah pengecas basic yang mengambil masa lebih 2 jam untuk dicas penuh.

Agak melecehkan kerana anda perlu keluar duit lagi untuk membeli pengecas yang lebih pantas. Sepatutnya adalah lebih baik untuk terus sahaja menyediakan pengecas 18W dalam setiap unit iPhone 11 baharu.

2. Fungsi Zoom Yang terhad

Pastinya saya akan merindui fungsi zoom hebat yang ada pada P20 Pro. Fungsi Zoom pada iPhone 11 adalah terhad ketika merakam gambar tetapi ia bukan masalah besar. Gambar jarak dekat adalah lebih penting.

Adakah worth it untuk bertukar ke iPhone 11?

Dengan kemampuan kamera yang dipertingkatkan, hayat bateri yang lebih lama dan cip A13 Bionic, jawapan saya adalah ya. Disebabkan nature of work saya memerlukan saya bekerja on the go, mempunyai satu peranti dengan kamera yang reliable adalah sangat penting.

Untuk yang bertanya apa perbezaan ketara antara iPhone 11 dan iPhone 11 Pro, hanyalah pada dua perkara; jenis skrin dan tambahan kamera pada 11 Pro. Jadi, untuk anda yang tidak terlalu cerewet (iPhone 11 Pro menggunakan Skrin Super Retina XDR OLED manakala Liquid Retina IPS LCD pada iPhone 11), anda pasti sudah cukup gembira dengan apa yang ditawarkan oleh iPhone 11.

Setakat ini sahaja ulasan untuk iPhone 11. Jika anda bukan jenis tukar handphone selalu seperti saya, Anda pasti tidak akan menyesal untuk bertukar ke iPhone 11. Mungkin harganya sedikit tinggi berbanding peranti lain yang ada di pasaran, saya jamin anda dapat apa yang anda bayar.

P/S: Cuma ‘bahaya’ apabila anda sudah memiliki iPhone, anda mungkin akan ‘terbeli’ pula Apple Watch, AirPods dan iPad kerana ecosystem Apple ini sangat menarik. Bila anda tidak cuba, anda tidak akan tahu.

Buat anda yang mahukan ruang storan yang lebih besar serta tidak mahu berbelanja lebih, iPhone XR masih lagi pilihan yang berbaloi untuk dimiliki. Model 256GB yang dulu ditawarkan dengan harga sehingga RM4,299 kini boleh dimiliki dengan harga RM3,499 sahaja.

Ini beberapa artikel lain berkaitan iPhone 11. Anda boleh bacanya pada pautan di bawah.

Lihat Masjid RM100 Juta Sri Sendayan Seremban Yang Diambil Dengan iPhone 11 Pro

Segalanya Anda Perlu Tahu Mengenai iPhone 11, 11 Pro Dan 11 Pro Max

iPhone 11 Ditemui Masih Berfungsi Selepas Dua Bulan Terendam Di Dalam Tasik Disney