Semenjak menetap di Mekah, banyak kali tertangguh hasrat saya untuk berkongsi kisah Umrah bersama anak, sejak dari Naura Medina berumur 9 bulan kini umurnya sudah 2 tahun 6 bulan, SubhanaALLAH.

Hari ini terluang sedikit masa untuk habiskan juga coretan khas yang memberi fokus kepada tetamu cilik Allah ini dan sedikit tips untuk dikongsi kepada ibu bapa semua bagi memenuhi hasrat beberapa orang rakan yang meluahkan kerisauan ibadah Umrah terganggu jika datang bersama anak-anak kecil mereka.

TABARAKALLAH buat ibu bapa serta ahli keluarga yang menaruh harapan tinggi dan sentiasa berdoa agar diberi kesempatan untuk menunaikan Umrah dan beribadat di tempat yang menjadi idaman umat Islam seantero dunia, lebih istimewa ibadah Umrah ini disertai dengan tetamu cilik Allah yang Rasulullah SAW umpamakan ibarat malaikat-malaikat kecil.

Seperti penulisan saya tahun lalu untuk rentetan Infak dan Ibadah Ramadan, saya amat menggalakkan agar ibu bapa turut membawa anak-anak menunaikan ibadah Umrah bersama, ketepikan soal kekangan wang ringgit atau memikirkan kepayahan, kerumitan beribadah dengan anak-anak kerana ibadah Umrah ini sebenarnya ringkas sahaja.

Yakinlah bahawa pelbagai keberkatan dan kenangan manis akan diperoleh dan menjadi memori indah bersama. Makin mencurah rezeki Allah limpahkan bilamana ibu bapa berusaha untuk membawa anak-anaknya ke jalan Allah.

Ramai yang bertanya, “Susah tak bawa baby? Macam mana nak beribadah nanti? Anak menangis, menjerit, berlari-lari?” USAH KHUATIR dan was-was kerana ALLAH sentiasa ada mempermudahkan urusan ibadah kita kepada-NYA.

Di sini lah tempatnya, Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk ibu bapa dan anak-anak beribadah bersama-sama (selain di rumah) dan berkongsi nikmat dan kebesaran Allah. Dan di sini lah tempatnya untuk anak-anak memerhati (walaupun mungkin belum lagi faham) betapa Tanah Suci inilah semua Umat Nabi Muhammad SAW berkumpul dan bersatu menunaikan ritual Ibadah, cerita-cerita Nabi dan Rasul lebih realistik untuk digambarkan pada anak-anak.

Saya banyak mempelajari budaya keibubapaan masyarakat Arab yang sentiasa menunjukkan kecintaan dan sayang pada anak-anak mereka, juga sangat kasih pada kanak-kanak lain. Seringkali Medina didukung, dicium oleh mereka ini bila ke Masjidil Haram mahu pun di pasar raya.

Pertama sekali ingin saya nasihatkan agar memilih travel agency yang “kids-friendly” dan menyediakan mutawif yang dapat membantu jemaah bukan sahaja pengurusan di KLIA tetapi hendaklah sehingga pulang ke Tanah Air. Banyak servis yang bagus dikendalikan oleh beberapa agensi Umrah seperti Zahafiz, Andalusia, Farhan Travel dan Tours dan sebagainya.

Pengalaman kali pertama membawa Naura Medina pada bulan Ramadhan 2014 berusia 9 bulan bersama orang tua saya, adik perempuan dan adik angkat. Ketika itu suami di Mekah sejak tahun 2010 mengetuai Projek Menara Jam Abraj Al Bait, Temporary Mattaf (bulatan yang mengelilingi Kaabah) hingga kini projek Shamiya Pembesaran Masjidil Haram bersama 14 orang lagi rakyat Malaysia.

Apabila jemaah mengikuti pakej-pakej Umrah berkumpulan, lebih banyak masa perlu diperuntukkan mengikut keadaan semasa. Bertolak ansur, bertimbang rasa dan sentiasa menghormati antara jemaah-jemaah lain.

Ibu bapa yang bersama-sama tetamu kecil ALLAH ini perlu lebih banyak bersabar, dan bersabar. Istiqamah dengan niat kita untuk ibadah Umrah dengan anak-anak, jangan dimarahi mereka dek kerana kepenatan kita!

Ringkasan tips Umrah saya permudahkan dengan setiap penjelasan ada pada ilustrasi gambar peribadi kami sekeluarga pada musim Ramadan 2014 dan terkini 03.03.2016. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua yang akan mengerjakan ibadah Umrah, inshaaALLAH.

Di alu-alukan untuk share sebagai rujukan kelak di masa hadapan buat ahli keluarga, saudara mara dan rakan taulan.

Coretan saya ini mungkin tidak lengkap sepenuhnya, saya mohon agar rakan-rakan turut merujuk kepada mutawif-mutawif atau agensi yang menguruskan Kursus Umrah untuk mendapat butiran lanjut tentang ibadah Umrah.

Besar harapan saya jika ada pengalaman-pengalaman daripada ibu bapa lain yang pernah membawa anak-anak kecil menunaikan ibadah umrah untuk berkongsi cerita di ruangan komen.

Jazakumullah khairan katsiraa, semoga memberi kebaikan pada diri saya dan rakan-rakan dan mempermudahkan urusan ibadah Umrah pada jemaah.

Doa saya buat kalian semua agar dirahmati Allah dan dilimpahkan rezeki diberi peluang untuk menjejakkan kaki di Madinah dan Mekah menunaikan Umrah bersama keluarga tersayang dan bersilaturrahim bersama saya di sini, inshaAllah!

Destinasi ke Jeddah bersama Ketua Pramugara Malaysia Airlines – Encik Ismail. Kru MAS yang sangat ramah dan banyak membantu urusan kami sekeluarga di dalam pesawat. Jarang beliau dapat penerbangan Umrah bersama kanak-kanak usia Naura Medina.

Mengisi masa lapang anak-anak dengan membaca atau biarkan anak-anak bermain dan kepenatan. Nanti dalam pesawat tidur!

Selesai urusan passport control di King AbdulAziz Terminal Jeddah, tidak ramai jemaah waktu ini 09 Februari 2016.

KLIA – Terminal Haji Jeddah

Membawa anak kecil amat memerlukan tahap kesabaran yang tinggi, apatah lagi perlu tempuh perjalanan yang amat panjang – 3 jam di KLIA, 9 jam penerbangan KUL – JED dan hampir 4 jam di Terminal Haji untuk menunggu giliran di passport control dengan kerenah pegawai Arab Saudi di Imigresen yang bermacam ragam. Di sinilah Allah menguji kesabaran dan keimanan kita, jadi perbanyakkan istighfar agar amarah tidak menguasai akal dan emosi. Paling penting perlu beri keselesaan dan tumpuan pada anak kecil – pastikan emosi anak-anak ini dijaga dan kawal pergerakan mereka dengan keadaan terminal yang sesak dengan jemaah dari seluruh pelusuk dunia (terutama di bulan Ramadan) agar tidak hilang dari jagaan.

Hand luggage

Kebanyakan travel agent akan sediakan beg roda, beg silang dan hand luggage kepada jemaah. Keperluan hand luggage di bawa bersama ke dalam pesawat untuk tetamu cilik Allah ini perlu ada:

1. Selimut (dalam pesawat disediakan, selimut sendiri untuk kegunaan di dalam bas sepanjang perjalanan Jeddah ke Madinah adalah 4 jam).

2. Bantal kecil.

3. Stok makanan bagi kanak-kanak usia 1 tahun ke bawah (Nestum, susu formula, infant cereals dan lain-lain.) Untuk Medina ketika 9 bulan saya bungkuskan dan letakkan di dalam beberapa bekas makanan saiz kecil. Bila dia dah besar sikit dan dah banyak gigi ni saya bungkuskan beberapa jenis biskut Tiger / Oreo / Mary, Milo, buah-buahan yang tidak berair dan tahan lama seperti epal 2-3 biji (kulitnya saya kupas dalam pesawat, pinjam pisau daripada kru sebab tak boleh hand carry barang-barang tajam pisau, gunting dan lain-lain.)

4. Lampin pakai buang – bawalah sekurang-kurangnya 10 keping atau lebih.

5. Ubat-ubatan – paling penting! Boleh minta nasihat doktor semasa pergi dapatkan suntikan vaksin dan mungkin boleh dapatkan Paracatemol, selsema dan batuk. Ini adalah persediaan awal untuk mengelak sebarang kekalutan jika anak-anak jatuh sakit. Losyen juga penting untuk pastikan kulit anak-anak sentiasa lembab dengan cuaca kering dan panas terutama di Mekah. Di Madinah dan Mekah terdapat banyak farmasi di sekitar kawasan hotel, ibu bapa boleh beli ubat-ubatan akan tetapi ada sedikit kesukaran dalam komunikasi bahasa kerana ramai tidak berapa faham bahasa Inggeris.

6. Pakaian – bawa lebih baju dan seluar anak-anak. Keadaan cuaca di Madinah dan Mekah dah mula sedikit panas pada bulan Mac jadi bawalah baju yang sedikit nipis untuk keselesaan anak-anak. Di dalam pesawat pakaikan anak-anak sweater dan salin pakaian lebih kurang sejam sebelum pesawat mendarat.

7. Tuala kecil – boleh minta daripada kru penerbangan atau bawa sendiri untuk lap dan bersihkan badan anak-anak. 12 jam perjalanan daripada KLIA dan dalam pesawat tentunya anak-anak dah bau mashammm jadi saya akan bawa Medina ke tandas untuk tukar lampin, pakaian dan basahkan tuala kecil diperah untuk lap badannya. Ini juga untuk elak anak-anak cepat dapat ruam. Tuala kecil juga diperlukan ketika ziarah atau ke Masjid, terutama sekali ketika Tawaf berdekatan dengan Kaabah. Basahkan tuala letakkan di kepala anak-anak untuk mengelakkan dehidrasi.

Pesawat

Malaysia Airlines adalah pesawat pilihan saya kerana kru airlines yang mesra, dan tidak lekok untuk memberi dan membantu apa jua permintaan kita. Nak menempuh 9 jam penerbangan, MashaAllah bukan orang tua sahaja yang akan lenguh-lenguh badan begitu juga anak-anak kita. Saya sering menggunakan perkhidmatan MAS sama ada chartered airlines (khas untuk jemaah Umrah) dan juga komersil – kedua-duanya tak ada masalah bila mana ada keperluan untuk kita mengikut dari belakang anak-anak berjalan (Saei 3 pusingan pergi dan balik). Jangan biarkan anak-anak berjalan tanpa pengawasan atau hanya dengan lirikan mata, ikutlah anak-anak supaya tidak menganggu urusan jemaah lain yang sedang tidur, solat, membaca dan sebagainya.

Bila anak-anak kebosanan, rajin-rajinlah ibu bapa untuk melayan anak-anak supaya tidak terlalu kerap berjalan di dalam pesawat kerana ada laluan tertentu pesawat akan alami cuaca buruk atau air turbulence. Bila menaiki pesawat dengan penumpang-penumpang lain ada sesetengah kurang senang bila anak-anak bising, berjalan, menangis dan seumpamanya. Berusahalah sebaiknya untuk menenangkan anak-anak kita, elakkan daripada melepaskan kemarahan secara spontan, sengaja atau tidak sengaja. Ini akan mengundang anak-anak untuk lebih tantrum. SABAR – berdoa dan bertoleransi dengan suami atau isteri untuk menjaga anak-anak.

Persediaan alternatif pada ibu bapa adalah untuk download seberapa banyak aplikasi dan video-video untuk hiburan anak-anak (dalam pesawat juga ada in-flight entertainment untuk kanak-kanak seperti movie, games dan sebagainya tetapi saya cadangkan agar ikut minat anak-anak – Upin Ipin, Hi5, Barney and Friends contohnya). Ia sedikit sebanyak dapat mengalih tumpuan mereka selama satu-dua jam.

Jangan risau tentang menu yang dihidangkan dalam pesawat, kebanyakannya boleh dimakan oleh anak-anak (nasi putih, buah-buahan, roti, puding). Sediakan makanan sendiri untuk anak-anak berusia setahun ke bawah.

Penerbangan ekonomi MAS tiada masalah, ibu bapa boleh minta daripada kru untuk dapatkan satu row (4 kerusi – jika ada kekosongan) untuk baringkan anak. MAS juga akan berikan seberapa banyak bantal yang kita nak untuk keselesaan anak kita. Terima kasih MAS! Anak dah tidur jadi ibu bapa ada masa untuk diri sendiri – berehat, take a nap sebentar atau menelaah buku panduan Umrah.

Kru Malaysia Airlines

Layanan mereka First Class! Sangat mesra, friendly dan sentiasa melayan kehendak ibu-ibu yang perlukan pelbagai jenis permintaan – sekejap nak tuala, sekejap nak tisu, sekejap nak air mineral, sekejap itu ini! Rajin juga melayan kerenah Medina yang macam Chief Supervisor melawat kawasan dan practice Saei dan Tawaf dalam pesawat. Dapat juga in-flight gift yang ada buku mewarna, pensil warna dan permainan! Lega, satu jam masa telah diisi!

Inilah dia “rasuah” pada anak nak bagi duduk diam bukannya mudah! Apatah lagi anak yang lincah seperti Medina, kenalah bagi dia makan chips dan tengok Upin Ipin! Terpulang pada ibu bapa anak-anak suka makan apa ya. Sekurang-kurangnya adalah dua jam kita dapat duduk rehat. Maka ada sedikit masa lagi diisi sebelum tiba di Jeddah!

Keadaan di Passport Control atau Imigresen di Terminal 1 King Abdul Aziz Jeddah Airport. Terminal 1 ini adalah untuk pemegang Residence Permit, Commercial Visa, Iqama, Working Visa @ Business Visa seperti kami sekeluarga. Manakala jemaah-jemaah Umrah akan tiba dan berlepas dari Terminal Haji King Abdul Aziz Airport Jeddah yang mana ia khas untuk pemegang visa Umrah dan Haji sahaja.

Masjid Nabawi, Madinah Al Munawwarah. Bermula perjalanan ibadah Ramadan 2014 selama 5 hari di Madinah, yang pertama buat Naura Medina. Ibadah puasa dan solat sangat mudah kerana Medina masih kecil dan dudukkan sahaja anak-anak di dalam stroller atau di lantai marmar / dalam Masjid, pasti ramai anak-anak jemaah lain seperti Iran, Turki, Saudi dan sebagainya akan datang bermain dengan anak-anak kita. Waktu ini selesai berbuka puasa dan solat Tarawikh di Masjid Nabawi – hampir 5 jam duduk di dalam Masjid, Allah mudahkan urusan kerana sentiasa ada jemaah-jemaah dan anak-anak mereka melayani Medina dan kanak-kanak lain. Suami dan ayah berada di kawasan solat untuk jemaah lelaki. Saya, mama dan adik perempuan di ruang jemaah wanita bersama Medina perlu sentiasa bersama-sama agar tidak terpisah antara satu sama lain. Ia akan menyukarkan keadaan untuk mencari dan pulang ke hotel bersama. Sebaiknya tetapkan satu tempat atau landmark untuk menunggu setelah selesai solat.

Stroller

Penggunaan stroller/ pushchair dibenarkan di Masjid Nabawi Madinah (cuma di kawasan luar persekitaran Masjid sahaja) dan TIDAK dibenarkan dibawa masuk ke dalam Masjidil Haram ketika melakukan Tawaf dan Saei. Jadi penggunaan stroller tidak begitu praktikal semasa Umrah. Nasihat saya adalah lebih baik untuk menggunakan baby carrier sahaja kerana lebih mudah dan senang untuk bergerak ke Masjid atau Ziarah. Atau paling tidak gunakan stroller yang light weight dan mudah untuk dibawa ke mana-mana. Jika anak-anak berusia tiga tahun ke atas, beri kata-kata dorongan dan semangat untuk mereka berjalan dan meneruskan ibadah Tawaf dan Saei. Ibadah Umrah ini bukan untuk rekod siapa paling cepat habis, ambil masa untuk anak-anak berehat sebentar dan minum air Zam Zam yang ada disediakan di sekitar Masjid.

Miqat atau niat ihram untuk mengerjakan Umrah sama ada di Bir Ali (dari Madinah) atau di Masjid Al Aisyah di Tanaem (dari Mekah). Ini adalah Masjid Al Aisyah di mana kami sekeluarga berniat Ihram dan solat sunat Umrah 2 rakaat sebelum memulakan perjalanan Umrah. Ibadah Umrah rukunnya amat ringkas – niat ihram, tawaf 7 keliling Kaabah, saei 7 pusingan antara Safwa dan Marwah, bertahallul / bercukur, tertib. Itu sahaja. Jadi lakukanlah Umrah Sunat seberapa banyak yang boleh setelah selesai Umrah Pertama.

Masjidil Haram, Makkah Al Mukarramah. Ibadah Umrah bermula. Beginilah keadaan di Masjidil Haram setiap hari, siang dan malam. Pastikan anak-anak tetap dalam genggaman tangan, dipegang erat atau lebih baik didukung agar tidak berasak-asak dengan jemaah yang lain. Di ruang Mattaf tingkat 1 dan 2 mudah untuk ibu bapa solat berdekatan (lelaki di barisan depan, perempuan di barisan belakang) untuk mengawasi anak-anak. Ruangan dalam Masjid bahagian solat terpisah untuk jemaah lelaki dan wanita, begitu juga ruangan di lantai Kaabah ibu bapa tidak dapat solat bersama jadi salah seorang perlu mengawasi anak-anak sebaiknya dan tunggu di satu tempat yang mudah untuk berjumpa semula.

Kemaskini:
Temporary Mataf ini sudah dikeluarkan dari kawasan tawaf Masjidil Haram pada 01 Mei 2016. Boleh lihat penulisan terbaru saya kawasan di Masjidil Haram yang dikemaskini setiap minggu.

Selesai tawaf 7 pusingan – Alhamdulillah, Medina didukung oleh Daddy-nya dan bergantian dengan saya untuk dukung Medina. Keadaan jemaah yang ramai tidak memungkinkan suami untuk lepaskan Medina berjalan sendiri sepanjang masa tawaf. Kadang kala suami turunkan Medina untuk mendisiplinkannya berjalan mengikut rentak jemaah lain. Perlu lebihkan perhatian untuk mendengar dan mengikuti bait-bait bacaan doa khas daripada Mutawif ketika Tawaf dan Saei.

Backpack

Boleh bawa backpack / bag sandang dengan saiz sederhana untuk dibawa ke Masjidil Haram. Isikan keperluan seperti:

1. Lampin pakai buang (pastikan menukar lampin yang bersih ketika dalam Masjid, melakukan Tawaf dan Saei).

2. Wet Tissue (tisu basah).

3. Makanan ringan / snacks seperti roti, biskut, gula-gula dan air minuman (boleh jugaisi kan dengan air ZamZam lebih berkhasiat dan bertenaga). Saya selalu bawa lebih makanan untuk Medina sedekahkan pada kawan-kawan yang dia selalu sapa ketika di Masjid, dapat juga pahala bersedekah.

Saya tidak galakkan untuk bawa bag jenis Totes kerana tidak sesuai dengan pergerakan untuk ibadah, bag sandang lebih mudah untuk bergerak dan isi barang-barang keperluan termasuk lah kasut suami isteri dan anak-anak.

Keadaan cuaca di Madinah sedikit berangin dan dingin, tetapi di Makkah cuaca agak kering dan panas. Sentiasa bawa tuala kecil / napkin, basahkan dan letakkan di atas kepala anak-anak bagi mengelakkan dehidrasi. Kerap beri anak-anak minum air ZamZam yang terdapat di sekitar kawasan Masjid, dan sapukan losyen untuk elakkan kulit anak-anak kering dan menggelupas.

Naura Medina protes nak tawaf dengan kudrat kakinya sendiri. Beri peluang pada anak-anak untuk merasa dan sentuh kaki mereka di marmar dan pastikan ibadah seiring dengan perhatian pada anak-anak dalam kesibukan kita untuk membaca doa-doa yang terdapat di Buku Panduan Umrah. Ada dua pilihan untuk lakukan Tawaf:

1. Lantai Kaabah – ramai jemaah yang tawaf di kawasan ini maka perlu bagi ibu bapa untuk dukung anak-anak agar tidak berasak dengan kumpulan-kumpulan jemaah Umrah dari negara lain.

2. Mataf dalam bangunan Masjidil Haram – ibu bapa yang membawa anak-anak ada pilihan untuk tawaf di tingkat 1 dan 2 di laluan tawaf dalam Masjidil Haram jika kawasan dataran Kaabah sesak.

Baby Carrier

Saya dan suami selesa menggunakan baby carrier seperti ini dengan keadaan Medina duduk, kami berdua bergilir-gilir mengendong Medina (Umrah April 2015) maklumlah beratnya ibarat mendukung sekampit beras 10 kilo! Kadang kala ayah saya juga turut sama membantu untuk dukung Medina. Tabah dan kuatkan semangat, setiap langkah dan kudrat kita mudah-mudahan Allah gandakan ratusan ribu pahala!

Solat

Bagi ibu bapa yang ada anak-anak bawah 4 tahun ini akan alami sedikit kesukaran untuk solat fardhu di Masjid kerana berjemaah setiap kali solat. Apa yang saya lakukan ketika Medina masih bawah 2 tahun, saya akan gunakan babycarrier untuk dukung Medina ketika solat dan duduk di atas kerusi (ada banyak kerusi terdapat di dalam Masjid Nabawi, Masjidil Haram dan kawasan Safwa Marwah). Medina yang ketika ini berusia 2 tahun setengah saya harus bertoleransi dengan suami sama ada dia solat mengikut Imam berjemaah disusuli saya kemudiannya untuk menjaga Medina yang masih belum faham untuk duduk diam sebentar – pasti dia sudah berlari ke sana sini. Bagi mengelakkan fokus waktu solat terganggu, kami berganti-ganti. Saya juga cadangkan agar ibu bapa menggunakan harness kepada anak-anak ketika solat, agar mereka terikat dan tetap berada berdekatan dengan anda dan dapat menumpukan perhatian penuh ketika menunaikan solat. Jangan risau bagi anak-anak yang sudah berusia 4 tahun ke atas, mereka sudah boleh faham dan dengar kata, dan sambil itu boleh bantu ibu bapa untuk jaga adik-adiknya yang lain.

Saei di Safa dan Marwa

Kami lepaskan Medina untuk bersaei (selesai ibadah Saei 7 pusingan), ruang di kawasan ini lebih besar dan mudah untuk kawal pergerakan anak (suami saya perlu berlari kejar Medina) dan kawasan ini lebih sejuk kerana terdapat penghawa dingin. Ingat, ibadah Umrah ini bukan untuk mengejar masa dan siapa yang lebih dahulu selesai tetapi nikmatilah ibadah ini sebagai satu peluang untuk mendekatkan diri pada Allah, mensyukuri nikmat dan kebesaran Allah berikan kepada kita dan ahli keluarga. Ambil sedikit masa untuk beri anak-anak berehat sebentar jika kepenatan, kerap berikan mereka makanan ringan seperti kurma, kismis dan kekacang untuk meningkatkan tenaga. Jika sudah terlalu penat, terdapat banyak wheelchair (kerusi roda) di sekitar kawasan untuk disewa dalam kadar 50 riyal atau boleh dapatkan kerusi roda yang telah diwakafkan di sekitar tempat penginapan hotel atau sekitar luar Masjid. Kerusi roda ini boleh digunakan sebagai ganti kepada stroller untuk membawa anak-anak.

Naura Medina menggunakan kudrat dan tenaganya untuk mengerjakan Saei. Terdapat ramai jemaah di kawasan Safa Marwah berehat dan membaca Al Quran kerana tidak begitu sesak jika dibandingkan di kawasan berdekatan Kaabah. Solat juga mudah di kawasan Saei ini kerana ibu bapa dapat solat berdekatan antara satu sama lain, berbanding di dalam Masjidil Haram ruang solat dibahagikan kepada dua ruang berjauhan – lelaki dan perempuan. Berhati- hati dengan jemaah lelaki kerana mereka akan berlari-lari anak di Zon Lampu Hijau (sunat).

Tahallul / bercukur

Lengkap sudah ibadah Umrah setelah tawaf, saei dan tahallul adalah tertib terakhir. Bagi lelaki sebaiknya untuk bercukur hingga botak, bagi perempuan cukup sekadar anggaran tiga helai rambut sahaja. Begitu juga Medina, suami saya guntingkan hujung rambutnya sahaja. Boleh bawa gunting kecil sendiri atau pinjam daripada jemaah-jemaah di sekitar untuk bantu tahallul. Ada juga beberapa orang anak muda yang tawarkan khidmat tahallul dengan kadar 10 riyal.

Saya kenalkan semua kepada Ustaz Haji Abdullah, beliau berasal dari Kelantan dan sudah menetap di Mekah hampir 30 tahun. Seorang mutawif persendirian dan acapkali kami sekeluarga menggunakan perkhidmatan dan bimbingan beliau dapat memimpin perjalan Umrah. Seorang yang sangat memahami situasi dan keadaan kami sebagai ibu bapa yang membawa anak kecil, akan menunggu dan mengulangi bait-bait bacaan doa khas ketika rukun tawaf dan saei. Bacaan doa yang jelas dan terang. Saya sentiasa unjurkan cadangan pada rakan-rakan untuk dipimpin oleh Ustaz Abdullah ketika Umrah Sunat (selepas Umrah pertama bersama Mutawif dari travel agent) kerana dalam kekalutan untuk mengawal anak dan tangan pula nak membelek buku panduan dan mata nak digunakan untuk membaca doa-doa dan memerhati anak, adalah lebih mudah dipimpin oleh mutawif seperti beliau. Kita hanya perlu dengar dan ikut bacaan-bacaan doa sahaja.

Selesai umrah 03.03.2016 – Alhamdulillah sudah tidak terhitung ibadah umrah yang telah dilakukan Naura Medina. Syukur atas nikmat dan rezeki Allah berikan. Sebagai ganjaran setiap kali selesai umrah – bagi burung merpati makan di depan Masjidil Haram.

Umrah pertama 2014 – Hari Raya Aidilfitri selesai solat sunat bergambar kenangan dengan jemaah umrah dari Turki yang jagakan Medina waktu saya solat. Ramai jemaah yang peramah dan sentiasa akan sentuh dan cium anak-anak, jadi balas lah dengan senyuman dan salam kerana ia tanda keberkatan dan kasih sayang pada tetamu cilik Allah!

Gambar kenangan bersama keluarga dari Gombak yang jaga saya sewaktu kecil. Datang sekeluarga mengerjakan umrah dan datang menziarahi di tempat tinggal kami – Al Awali Mekah, 15 km dari Masjidil Haram. Kami berbesar hati menerima tetamu-tetamu dari Malaysia untuk berkunjung dan berkongsi cerita bersama-sama.

Naura Medina – semoga menjadi anak yang solehah, berbakti kepada kedua orang tua dan keluarga, mempelajari banyak ilmu dan pengajaran budaya yang baik dan mencontohi teladan-teladan di tanah penuh barakah ini.

Inilah gambar kami sekeluarga, suami Hairul Nizam Baharuddin – Jurutera Pembinaan Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait / Temporary Mattaf dan Projek Shamia Pembesaran Masjidil Haram, anak Naura Medina dan saya Amera Sabrena surirumah sepenuh masa.

Alhamdulillah diberi rezeki dan keizinan Allah SWT menunaikan ibadah haji yang pertama buat saya dan Naura Medina, haji ke-4 suami.

Kami sekeluarga mendoakan kalian semua dimurahkan rezeki agar dapat menunaikan ibadah umrah dan haji bersama keluarga, InsyaAllah.

Berkesempatan untuk memegang Kiswah Kaabah – peluang yang jarang sekali dapat dinikmati untuk hampir dengan Kaabah kerana jemaah yang begitu ramai dan berasak-asak untuk ke Hajarul Aswad. Alhamdulillah menjelang 2 minggu ke hari ulangtahun ke-3 pada 31.10.2016 Medina diberi rezeki mengucup Hajar Aswad. MasyaAllah.

Artikel di atas disumbangkan oleh Amera Sabrena Ahmad Sobri. Suri Rumah. Boleh ikuti beliau di sini.
0 KOMEN

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤