Penulisan ini adalah bahagian kedua pengalaman Adaha Schoeffel dan isterinya melakukan umrah DIY. Anda boleh baca bahagian 1 di sini.

Masjid Nabawi, Madinah

Dalam perjalanan pergi masjid untuk solat Zuhur. Setengah jam sebelum solat, orang dah berpusu-pusu ke masjid untuk solat jemaah. Pahalanya 1000 kali lebih banyak berbanding masjid biasa. Wow, 1000!

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

2-umrah-diy-1

Di luar Masjid Nabawi. Cuaca sejuk dan berangin. Panas matahari tak rasa.

Nak masuk ke masjid ada kemudahan beg plastik untuk isi selipar. Selipar bawa masuk sekali dan letak berhampiran rak tempat kita solat.

Kalau nak tahu jemaah dari Malaysia senang je, biasanya jemaah Malaysia pakai tag-tag pengenalan dan juga beg pouch yang ada logo Malaysia.

Kelebihan pergi dengan agen – kita akan dapat beg bagasi, beg pouch, backpack, dan tag nama. Kalau DIY, memang tak adalah semua tu. Pakai bag sendiri je. Tak berapa hipsterlah. Tapi tak apa, khalas!

Kad Sim Tempatan

Kalau rasa nak beli sim kad tempatan, di Madinah ada jual starter sim card. Rasanya harga dalam 60 riyal dengan Mobily, STC dan KAA. Tapi kami tak beli sebab ada roaming. Di hotel pun ada wifi yang strong dan laju. Tak menjadi keperluan bagi kami.

2-umrah-diy-2

Dalam Masjid Nabawi yang tenang dan berhawa dingin. Sejuk kot dalam ni. Sangat selesa nak beribadah.

Oleh kerana jadual tak terikat dengan travel agent, kami habiskan kebanyakan masa kami di masjid untuk baca Al-Quran. Free and easy. Relax dan tak terkejar-kejar.

Di Madinah, dewan solat perempuan dan lelaki diasingkan. Berbeza di Mekah yang disekalikan.

Air Zam Zam

Air zam zam ada di setiap sudut. Nak air suhu bilik atau sejuk, pilih je. Minum sampai bloated pun boleh.

Pengisian Ilmu Di Dalam Masjid

1. Ceramah sirah Nabi oleh ustaz dari Indonesia

Antara Maghrib dan Isya’, ada banyak bahagian-bahagian di dalam masjid ada penceramah-penceramah bertauliah bagi tazkirah.

Saya amat beruntung dapat mendengar ceramah sirah Nabi daripada *Ustaz Firanda Andirja dari indonesia (student PhD University Islam Madinah). Walaupun Bahasa Indonesia tapi boleh senang difahami.

Ceramah bermula selepas waktu Magrib dan berakhir pada waktu Isya’. Saya fikir mungkin ustaz ini telah bermastautin di sini sebab bukan calang-calang orang dapat berceramah dalam Masjid Nabawi.

Serba sedikit sejarah Kota Madinah dan perjuangan Nabi dapat saja pelajari dan hayati.

*Sumber: Norazizone Norhan

2. Kelas Mengaji Untuk Orang Awam

Di dalam masjid ada banyak ustaz-ustaz Arab akan pasang signage untuk kelas mengaji.

Kita boleh sertai mana-mana kumpulan sebab memang kelas ini open for public.

Biasanya kumpulan dalam 3-10 orang dan kelas memperbetulkan Al-Fatihah dan surah-surah lazim. Percuma dan join, jangan malu.

Medina – Is A Peaceful Place!

Alhamdulillah! Terubat rindu.. pada siapa yang pernah pergi, perasaan rindu memang menyentuh jiwa.

2-umrah-diy-3

Kadang-kadang sampai termimpi-mimpi rindunya. Sentapan rindu itulah membuatkan saya bergegas-gegas tempah flight dan hotel cepat-cepat. Siapa yang pernah ada pengalaman tu taulah macam mana!

Gambar di luar ketika masuk Maghrib. Cantik! Subhanallah!

Aktiviti free and easy. Kami banyak habiskan masa di masjid.

Kalau nak jalan-jalan sesuai lepas Dhuha atau lepas Asar. Terpulang sebab ini trip DIY. Total flexibility.

Shopping – Lebih Baik Di Madinah

Pemandangan luar begini memang normal lepas waktu waktu solat.

2-umrah-diy-4

Banyak peniaga kaki lima membuka port mereka di pintu-pintu masjid macam ini. Bermacam barang dijual di kawasan ini.

Dari tudung, tasbih, stokin, inai, kurma, Al-Quran, kacang-kacang dan bermacam-macam lagi.

Kalau nak shopping, lebih baik di Madinah sebab lagi murah dan tak serabut.

Nanti di Mekah harga dah mark-up dan mahal sikit. Kasi borong habis di Madinah, di Mekah nanti tak adalah kelam kabut. Cuma tambah-tambah apa yang perlu.

Bila shopping tu, sila tawar menawar harga. We have the bargaining power sebab sewa mereka sangat mahal dan mereka memang kena buat jualan untuk tampung kos dan dapat untung.

Sewa kedai mereka saya diberitahu dalam sekitar 150,000 riyal sebulan untuk saiz kecik. Kalah sewa KLCC. Jadi tawar-menawarlah dalam berurusan, but be reasonable ok.

Kalau nak tukar duit pun buat di Madinah terus. Di Mekah kadar tukaran wang agak mahal berbanding di Madinah.

Wakaf

Saya galakkan untuk membuat amal jariah dengan mewakafkan Al-Quran dan kerusi-kerusi di masjid.

Al-Quran yang besar dalam harga 80 riyal dan yang saiz kecil dalam 60 riyal. Kerusi pula dalam harga 20 riyal.

6. Makan Dan Minum – Pilihan Banyak Harga Berpatutan

15 riyal per meal for two person portion.

2-umrah-diy-5

Makanan memang tak jadi masalah sepanjang kami di sini, sebab semua halal!

Kalau umrah rombongan makanan akan disediakan di hotel penginapan. Ada juga travel agent yang bagi kupon baucer untuk ditebus di food court.

Makanan dengan travel agent semua diuruskan dan ada masa-masa ditetapkan.

Berbanding dengan makanan Umrah DIY, makanan kita boleh beli di kedai-kedai yang sangat banyak pilihan.

Nak makan nasi arab, makanan Turki, makanan India, western food, fast food dan lain-lain semua ada untuk pilihan. I

Malahan, rasa seronok bila nak beli makanan sebab kita boleh ikut pilihan apa kita nak. Lagipunkan kita tengah travel, mestilah kena cuba makanan selain daripada makanan Malaysia.

Makanan tengahari kami untuk hari pertama ini adalah nasi beriyani kambing. Harga 15 riyal, satu pack boleh makan dua orang. Portion banyak.

Tengok dalam gambar tu, masing-masing dah penuh nasi dalam pinggan masih banyak lagi dalam bekas aluminium.

Kalau beli seorang satu bungkus memang tak boleh habis. Air pula memang tak lain tak bukan, air zam zam yang ditapau dari masjid.

Nak makan di food court boleh, nak bawa balik ke hotel pun boleh. Terpulang.

Ada banyak mini market untuk beli bekalan makanan untuk bawa ke hotel. Kami shopping sikit-sikit untuk bawa makan di bilik and my favourite Barbican!

Raudah (Lelaki)

Satu perkara yang baru bila lelaki pun diberi had sempadan sebelum masuk ke Raudhah. Tempoh menunggu taklah lama, dalam 10 ke 15 minit.

2-umrah-diy-6

Untuk tak bersesak, datang waktu-waktu yang bukan kongsi Raudhah dengan waktu wanita. InsyaAllah kurang dari 10 minit.

Gambar di atas menunjukkan muslimin tengah beratur menunggu giliran.

2-umrah-diy-7

Raudhah: Raudhah ditandakan dengan permaidani berwarna hijau dan tiang yang lari daripada yang lain. Tak susah nak bezakan.

Alhamdulillah bila saya punya queue, ngam-ngam waktu Asar. Jadi dalam solat Asar boleh buat bermacam solat sunat. Rezeki saya dapat duduk dalam Raudhah sejam lebih. Segala kiriman doa dah disampaikan dan hajat didoakan.

2-umrah-diy-8

Raudhah: Bila dah ramai suasana sesak dan bertolak-tola. Sedar-sedar badan saya tertolak dan sampai di sebelah makan Rasullullah.

Di sebelah saya ada seorang pakcik dari Karachi, Pakistan. Nama beliau Yusuf dan beliau ada seorang doktor.

Ketika menunggu waktu Asar we had a meaningful chat about life. Beliau berdoa agar saya beroleh seorang anak lelaki.

Dia meminta saya menamakannya Yusuf dan harap-harap menjadi seorang doktor seperti dia. InsyaAllah.

Raudhah (Wanita)

Untuk wanita ada masa-masa yang ditetapkan untuk masuk ke Raudhah. 9-11am, 1.30-3pm dan 9-11pm.

Wife selalu pergi seorang diri sebab hotel dekat dan selamat. Mengikut kata wife, kalau umrah rombongan kita kena bergerak secara berkumpulan, tapi kalau datang seorang diri biasanya akan dapat turn lagi cepat.

Pegawai masjid wanita akan beri banyak kelebihan kalau anda datang seorang diri.

2-umrah-diy-9.jpg

1. Ruang menunggu untuk warga tua dan berkerusi roda.

2. Pintu masuk ke Raudhah wanita.

3. Laluan menuju ke Raudhah wanita, sementara menunggu amat digalakkan baca al-Quran.

4. Bahagian menunggu Raudhah wanita untuk negara-negara Asia.

Raudhah memang tempat kegemaran kami sebab ini antara tempat-tempat doa mustajab. Masa pergi dengan travel agent, mereka bawa sekali je pergi sini.

Tapi bila pergi DIY, setiap hari kita dapat pergi. Wife akan pergi sesi pagi dan malam. Alhamdulillah, dia pergi setiap hari.

Itu kelebihan DIY, sebab masa kita terpulang pada kita yang menentukan.

Pegawai masjid pun akan beri sedikit kelebihan untuk orang perseorangan berbanding yang datang secara kumpulan.

2-umrah-diy-10

Ruang menunggu untuk masuk Raudhah. Ia dibahagikan kepada penutur Bahasa Nusantara (Melayu, Indonesia, Brunei, Singapura), penutur Arab dan penutur Urdu.

Ziarah Ke Masjid Quba

16 riyal sebuah teksi, satu trip.

2-umrah-diy-11

Uber adalah pengangkutan terbaik ke Masjid Quba. Ia terletak ~6.5km dari Masjid Nabawi dengan tambang sebanyak 16 riyal dengan Uber.

Teksi mengenakan tambang 25 riyal satu perjalanan. Saya menggunakan WiFi di hotel untuk menempah Uber dan mereka tiba dalam masa 5 minit.

Uber diSaudi baru beroperasi 8 bulan. Jadi memang sesuatu yang baru di sini.

Kebanyakan orang tempatan pakai kereta sendiri atau naik teksi. Jemaah dari negara luar yang banyak pakai Uber. Senang, transaksi cashless dan ikut jarak.

Untuk ziarah ke tempat-tempat yang lain, boleh pakai Uber atau teksi juga. Harga tambang tak pasti, tapi kalau ikut Uber memang bergantung kepada jarak.

2-umrah-diy-12

Pemandu kami fasih berbahasa Inggeris. Siap dapat air mineral dan Chickedis percuma lagi. Super friendly and nice guy.

Saya beri dia 5 bintang atas servis yang diberi.

Sebelum keluar dari hotel, ambil wudhu’ di hotel dan solat dhuha di Masjid Quba. Dapat pahala sama dengan satu umrah.

Tip: Kalau nak beli kurma, di Masjid Quba ini yang paling murah berbanding di ladang kurma atau pasar kurma di Kota Madinah. Kurma Ajwa kami dapat 30 riyal sekilo berbanding di pasar kurma 60 riyal sekilo. Beli sini, kasi borong siap-siap.

Ziarah Wada’ Ke Makam Nabi

Hari ini hari ke-4 dan terakhir kami di Madinah.

2-umrah-diy-13

Sebelum berangkat ke Mekah, ziarah selamat tinggal dulu ke makam Rasulullah (S.A.W).

Di bawah kubah hijau terletak makam Rasullullah. Sedih rasa hati nak tinggal tempat ini sebab terasa aura Rasulullah tu masih ada walau dah beribu tahun dia wafat.

Suasana tenang dan damai, memang best di sini.

Ikuti bahagian 3 (persediaan untuk umrah) pada di sini.

Setelah mendapat banyak permintaan, Tuan Adaha merangkumkan pengalaman Umrah DIY beliau dalam sebuah e-book. Ia boleh didapati di Payhip atau Maybank transfer (rujuk nota akhir) pada harga RM10. RM5 akan disalurkan ke rumah-rumah kebajikan anak yatim sekitar Lembah Klang manakala selebihnya untuk menampung kos operasi webhosting, Paypal dan Payhip.