Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Aku beli baju sekolah dekat kedai Cina buruk tepi Sungai Kinta, walaupun dulu Super Kinta dan Kompleks Yik Fong ialah port paling style skali nak beli baju sekolah berjenama.

Seluar sukan Adibas aku beli di Kedai Runcit Seng Fatt Taman Jati. Eh. Hampir semua beli di Kedai Runcit Seng Fatt tu! Kasut kulit hitam, beg sekolah, gel (kanji) rambut, selipar dan lain-lain kelengkapan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tapi tak lama selepas tu, entah dari mana datangnya deria mata dan sentuhan aku ini, aku amat menggemari barang-barang yang berkualiti.

Pada usia belum baligh, aku memang dah suka menilai dengan teliti kualiti barang-barang yang aku beli. Jahitannya, kainnya, “rareness”nya, dan “made in” mana-nya (abaikan my sense of fashion time tu!)

Maka, aku mula demand pada mak bapa aku berkenaan barang kelengkapan sekolah aku agar dibeli dengan nilai peruntukan berbeza, dari kedai berbeza daripada adik-beradik yang lain.

Masuk bab baju raya, orang lain dapat 3-4 pasang, aku hanya beli sehelai seluar jeans sahaja dengan peruntukan yang sama.

Masih Tak Puas

Kadang-kadang mak bapa aku tumpas dengan amukkan azazil aku kalau tak dapat apa yang aku nak. Beg jenama Swan di kedai runcit Foo Yee yang lebih mahal itu, aku akan dapat juga. Kasut hitam, bapa aku belikan juga di Super Kinta!

Makin besar (baca: nak masuk darjah 5), ilmu jenama/fesyen ni makin menjadi-jadi. Aku yakin dan pasti, mak bapa aku takkan sokong nafsu aku kali ini sebab harga beg, kasut dan seluar yang aku nak itu, untuk aku seorang, boleh beli kelengkapan 3 orang adik-beradik aku yang lain.

Maka, otak aku pun ligat mencari penyelesaiannya. Ting! Bapa aku selalu cakap, Atuk dah tak larat jual durian! Tiba musim durian, bapa aku bawa aku balik Kampung Gajah, penuhkan bonet kereta dan kerusi belakang dengan durian dan tinggalkan aku tepi jalan di Jelapang. Tak silap aku 2 musim jugalah berniaga di tepi jalan.

Hasilnya, pada usia 11 tahun lagi, aku dah merasa pegang duit ribu-ribu yang akhirnya mak aku paksa masuk Tabung Haji! Dan bapa aku tap sikit sebab modal beli buah dari Atuk aku, dia keluarkan. Tapi ada sikit aku sorok duit buat beli beg Deuter nak masuk Seratas.

Makin Rancak

Pada usia belasan tahun, aku dah rasa nikmat pegang duit 4 angka. So, I want more. Jadi semasa di asrama aku jual keropok, lolipop, kerokok (sejenis keropok lekor), dan banyak lagi yang tak boleh tulis sini takut kawan-kawan lama tahu aku mark-up semua benda. Semasa cuti sekolah tolong emak jual biskut raya. Masa ini nafsu aku pun terhadap barang-barang 4 angka juga.

Masuk universiti, lagi gila! Tinggal harga diri saja aku tak sanggup nak jual. Semua kemahiran, bakat, kelebihan aku gunakan untuk menjana pendapatan. Semua benda aku anggap sebagai bisnes aku. Aku kerap mencari pertandingan-pertandingan yang menawarkan hadiah tunai.

Macam debat, deklamasi puisi, tulis cerpen (aku hantar dua penyertaan, satu dapat johan atas nama girlfriend aku, satu lagi dapat nombor 2 pakai nama aku. Aku “kerja” sebagai wartawan dengan majalah yang aku terbitkan sendiri.

Semua ini sebab aku nak beli motosikal, nak beli kereta, nak beli komputer hebat, nak beli kamera besar, nak beli itu ini, belanja awek. Pendeka kata semua nak beli! Sampai rasanya nak hantar diri sendiri pergi rawatan shopaholic.

Makin Serius Apabila Dewasa

Sekarang dah dewasa, aku dah ada bisnes yang proper. Setakat ini aku menggaji lebih kurang 60 orang pekerja untuk bisnes-bisnes aku. Well, nafsu kebendaan aku masih macam biasa membuak-buak macam larva gunung berapi.

Tapi sekarang dah ada isteri. Jadi, susah juga nak membeli-belah ini dan aku dijadikan lebih rasional olehnya. Kalau ingkar arahannya atau membeli tanpa kelulusan mesyuarat katil, 2 hari 2 malam akan muncung saja.

Bersara

Alhamdulillah. Nak kata dah berjaya sangat tu tak ada lah. Nak kata kaya-raya tu tak ada lah. Cuma aku selalu ingat balik dari awal aku jual durian tepi jalan, sampailah sekarang dusun durian Atuk aku tu dah aku ubah jadi sebuah Kolej Keusahawanan Pertanian.

Ia ditubuhkan untuk latih lebih ramai budak-budak muda jadi usahawan juga. Mesti mereka akan jadi lebih berjaya daripada aku. Usahawan yang hebat perlu melahirkan usahawan lain yang lagi hebat daripadanya.

Buat mak bapa yang ada anak macam aku, jangan risau. Buat macam mak bapa aku. Jangan beli atau bagi apa sahaja yang anak kita minta. Suruh dia go get it. Usaha cari duit. Kalau tak reti nak ajar, support saja.

Kepada sesiapa yang nak berniaga, didik nafsu diri tu. Nafsu yang besar ini akan push kita usaha lebih. Lama-lama anda akan faham rupanya maksud nafsu dan impian itu tak jauh beza.