Jodoh bekas Ahli Parlimen Rembau bersama UMNO nampaknya tidak panjang apabila beliau disahkan sudah dipecat daripada parti tersebut.

Keputusan itu hadir bersama-sama dengan beberapa lagi ahli UMNO yang lain, yang turut dipecat dan digantung keahlian.

Mengulas pemecatan beliau di laman Twitter, Khairy berkata, “Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan.” Di akhir ciapannya, beliau berkata, “Unbowed, unbent, unbroken.”

Apa yang menariknya, kata-kata tersebut sebenarnya diambil daripada salah satu episod di dalam siri perebutan kuasa Games of Thrones.

GOT sebenarnya mengisahkan mengenai sembilan keluarga bangsawan berperang melawan satu sama lain untuk mendapatkan takhta ke atas tanah Westeros.

Dalam masa yang sama, satu kuasa semakin meningkat selepas ribuan tahun dan mengancam kewujudan manusia yang hidup.

Melihat kepada situasi semasa yang dihadapi KJ, ia boleh dikatakan perebutan kuasa yang terjadi di dalam UMNO hampir sama seperti GOT.

Cumanya, Khairy gagal untuk merebut jawatan presiden UMNO selepas jawatan itu sah tidak akan dipertandingkan selepas perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 menyokong usul agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak akan dipertandingkan.

Selain itu, netizen juga banyak menggambarkan bahawa kebanyakan watak penting UMNO yang pernah dipecat, berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Antara yang disebut-sebut netizen adalah Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin semuanya adalah Perdana Menteri yang pernah dipecat oleh UMNO.

Tetapi persoalan yang kini ditanya oleh netizen, adakah Khairy akan kembali dan merebut jawatan nombor satu parti tersebut? Dan adakah beliau akan mencipta sejarah seperti mana mereka yang dipecat sebelum ini?

Selain Khairy, bekas ketua Umno Selangor Tan Sri Noh Omar turut dipecat. Manakala empat ahli termasuk Ahli Parlimen (MP) Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah digantung keahlian.

Difahamkan bahawa keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.