Anugerah Akademi atau lebih dikenali sebagai Oscars merupakan sebuah acara yang sangat berprestij di dalam industri perfileman Hollywood sejak 90 tahun yang lalu. Anugerah ini hanya diberikan kepada filem-filem yang berkualiti tinggi sahaja setelah melepasi proses saringan.

Ramai penerbit dan pengarah filem dalam dan luar negara berharap filem mereka akan tercalon dan memenangi salah satu anugerah yang dipertandingkan di acara tersebut. Studio animasi tanah air, Les’ Copaque baru sahaja memuat naik satu posting di laman twitter rasmi mereka mengatakan bahawa animasi ‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ sudah dihantar untuk proses pencalonan Oscar untuk tahun 2020 nanti.

32 animasi bakal dipertimbangkan untuk kategori Filem Cetera Animasi Anugerah Akademi yang ke-92. Anda boleh klik di sini untuk melihat senarai penuh 32 filem animasi yang telah dihantar untuk pencalonan kategori tersebut.

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal akan bertanding dengan filem animasi luar negara hebat yang lain seperti Frozen 2 dan Toy Story 4 bagi merebut tempat dalam pencalonan Oscar yang ke-92 tahun hadapan.

Keputusan pencalonan Anugerah Akademi yang ke-92 ini akan diumumkan pada 13 Januari 2020 manakala anugerah tersebut akan berlangsung pada 9 Februari 2020 bertempat di Hollywood.

Ini sudah cukup membuktikan bahawa filem animasi tempatan sudah setanding dengan filem animasi dari negara luar. Semoga Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal berjaya tercalon untuk senarai pendek bagi kategori tersebut.

Terdahulu, Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal memenangi anugerah di Kanada. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Filem Animasi ‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ Menang Anugerah Antarabangsa Di Kanada

‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ Bakal Tembusi Pawagam Jepun Dan Korea Selatan?