Syok tengok Uptown Kontena, tempat bersantai terbaru di Kuala Terengganu ini. Kontena-kontena yang menyediakan perkhidmatan makanan dan minuman di Uptown Kontena ini dinamakan sebagai Dapo Pata yang bermaksud dapur pantai.
Uptown Kontena ini terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu atau lebih spesifik di kawasan pesisiran lagun Kampung Pantai, Tok Jembal. Ia beroperasi dari jam 5.00 petang sehingga 2.00 pagi setiap hari.
Kalau anda pernah pergi bermandi-manda di satu kawasan yang seperti lagun buatan di Tok Jembal di mana sebahagiannya dilindungi binaan batu-batu dan membentuk seperti kolam, dan terdapat gerai makan dan tempat nelayan jual ikan segar, Uptown Kontena berjiran dengan kawasan itu.
Melihatkan suasananya yang sebegini, Uptown Kontena menawarkan kelainan buat kaki-kaki pantai, beach boys, kaki-kaki hipster dan juga family man yang mahu bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan sambil dibuai angin pantai Laut China Selatan.
Oh ya! Uptown Kontena ini baru dibuka dan ia masih dalam proses kemasukan vendors yang akan berniaga di sana. Pihak pengurusan Uptown Kontena juga membuka peluang kepada ahli muzik, pelukis, pemain api atau ular, ahli silap mata, ahli seni belon dan sesiapa sahaja yang berbakat dijemput membuat persembahan di situ.
Dengan izin Amazing Terengganu, kami kongsikan suasana malam di Uptown Kontena, tempat tarikan terbaru di Kuala Terengganu ini.
Selamat berlibur dan berhibur di Uptown Kontena.