Siapa sangka percutian di Sabah bagi Dr Wan Johan Ariff, seorang doktor pergigian baru-baru ini berakhir dengan kisah menarik apabila beliau secara tak sengaja telah menemui kamera milik pelancong asing.

Apa yang menarik tentang kisah ini adalah bagaimana netizen di Malaysia bersama-sama membantu beliau untuk menemukan semula pemilik kamera tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

kamera-hilang-4

Kami berjaya menghubungi Dr Wan Johan untuk mendapatkan cerita sebenar dan berikut adalah perkongsian beliau.

S: Saudara bercuti ke Sabah berapa orang dan berapa lama?

J: Saya bercuti di Sabah bersama isteri dan 2 orang anak. Ini adalah percutian kami yang pertama di Sabah. Kami tiba di KK pada 29hb dan terus ke Pulau Manukan untuk bermalam di sana. Kami berada di Sabah selama 4 hari 3 malam. Pulau Manukan adalah destinasi kami yang pertama dan hari ke2 kami berangkat ke Kundasang dan pulang semula ke KK pada hari ke-3.

S: Bagaimana mulanya terjumpa kamera tu dan di lokasi mana secara tepatnya?

J: Kamera tersebut kami jumpai secara tidak sengaja pada hari pertama kami di Pulau Manukan. Ianya tersorok di celah pokok berhampiran pantai. Anak saya yang berumur 6 tahun, bernama Alya yang menyapa kami bahawa terdapat kamera disitu.

Saya pada mulanya menganggap ianya kamera mainan. Namun apabila di lihat dengan betul, ianya kamera yang agak mahal. Saya melihat sekeliling kalau-kalau ada orang yang berhampiran sedang mandi di pantai, namun tiada seorang pun maklumlah masa pun semakin senja.

Saya terus mengambil kamera tersebut dan membawa pulang ke bilik kami. Saya bernasib baik kerana membawa laptop bersama semasa percutian kali ini kerana sedang menyiapkan beberapa kertas kerja berkenaan thesis saya (thesis untuk pengajian kepakaran saya dalam bidang implant pergigian). Saya terpaksa membuka memory kad kamera tersebut utk mencari image tuan punya kamera tersebut.

S: Kami dapati saudara berkongsi di fb dan telah dibantu secara viral oleh rakan-rakan di fb. Boleh ceritakan perasaan saudara apabila melihat respon positif dari rakan-rakan dalam usaha untuk menemui pemilik kamera tu?

J: Pada mulanya saya cuba memberitahu kepada manager resort Pulau Manukan termasuk menunjukkan image tuan punya kamera tersebut. Namun mereka berkata bahawa mungkin tuan punya kamera tersebut tidak bermalam di pulau dan hanya daily walking sahaja.

Manager tersebut menasihati saya untuk menyerahkan kamera tersebut di balai polis di KK. Namun, sy cuba sedaya upaya untuk kongsi kan terlebih dahulu di laman FB saya. Kebanyakkan rakan FB sy adalah traveller dan photographer.

Alhamdulillah, respon rakan FB amat memberangsangkan. Saya amat gembira kerana ramai yang memberi respon utk membantu. Ramai orang Sabah yang menghantar ‘friend request’ dalam usaha mereka membantu saya.

Ada juga yang cuba membantu dengan mendapatkan beberapa application dan menyamakan gambar yang saya kongsikan. Ada yang dapat link-kan saya dengan beberapa orang yang hampir-hampir menyerupai pemilik kamera tersebut. Namun, ianya gagal.

kamera-hilang-3

Alhamdulillah, hampir 24 jam mencuba, saya di sapa oleh beberapa kenalan FB yang mengakui mengenali pemilik kamera setelah melihat gambar ke 2 (pemilik bersama isteri dan anak) yang saya terpaksa kongsi dalam tempoh 24 jam tersebut. Agak complicated juga pada mulanya kerana pemilik sukar dihubungi kerana beliau berada di pulau yang lain sekitar Kota kinabalu.

S: Bagaimana akhirnya saudara Berjaya temui pemilik kamera? Adakah saudara dihubungi seseorang?

J: Waktu agak terhad kerana saya terpaksa mengejar penerbangan pada pukul 3 petang pada 2 Mei 2015. Setelah meneliti inforsi yang telah diberi oleh saudari Mariate Ibrahim, dalam waktu terakhir ini saya terpaksa memberi number phone saya kepada beliau.

Beberapa minit kemudiannya saya telah dihubungi oleh seseorang yang bercakap english dalam intonasi francis. Beliau telah memberitahu nama beliau adalah Aymeric dan kamera tersebut adalah kepunyaan beliau. Beliau tidak dapat berjumpa saya dalam waktu terdekat kerana berada di sebuah pulau yang agak berjauhan dari KK. Beliau terpaksa menghantar sahabat beliau yang bernama Steven.

kamera-hilang-1

Sejam sebelum checkout dari hotel di KK, Steven telah hadir ke lobi hotel. Sebagai bukti, Steven telah menunjukkan beberapa gambar Steven bersama Aymeric dan keluarga beberapa hari lepas.

Malah, Aymeric juga telah menghubungi semasa penyerahan kamera beliau dilobby hotel. Beliau (Aymeric) amat teringin berjumpa saya dan berulang kali mengucapkan terima kasih kerana menjaga kamera tersebut bersama image.

S: Apa perasaan saudara kini?

J: Saya amat gembira dan bersyukur kerana dapat menyerahkan kembali barangan berharga kepunyaan orang dalam keadaan yang baik dan selamat. Ada yang bertanya, kenapa tidak serahkan terus kepada Polis?

Saya nekad selagi saya mampu untuk mencari informasi mengenai pemiliknya sebelum pulang ke Semenanjung, saya akan cuba. Jika usaha saya buntu sehingga saat saya mahu pulang ke sSmenanjung, saya akan serahkan kepada polis. Alhamdulillah, Allah tunjukkan jalan yang benar, dan saya memiliki rakan FB yang hebat.

kamera-hilang-2

S: Ada pesanan atau tips yang ingin saudara sampaikan buat mereka diluar sana apabila terjumpa barang yang mungkin berharga milik insan lain?

J: Barangan kepunyaan orang walaupun kita yang menjumpainya, ianya tetap kepunyaan orang. Walaupun ianya bernilai ribuan ringgit, dan kita merasa gembira apabila menjumpainya dan berniat untuk menyimpannya, namun sebenarnya barangan itu tetap milik orang lain.

Cubalah sedaya upaya untuk memulangkannya kepada pemilik yang asal. Kegembiraan dan kesenangan hati adalah sesuatu perasaan yang tidak dapat kita gambarkan setelah kita berjaya mengembalikan sesuatu kepada yang haknya. Jika kita ikhlas, ganjaran akhirat pasti menanti. Insyaallah.

Kami di TheVocket.com mengucapkan syabas buat anda yang terlibat dalam membantu pencarian pemilik kamera ini. Ini membuktikan rakyat Malaysia adalah warga prihatin.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram