Pada minggu lalu nama ‘Asri Perda’ menjadi bualan dan menerima pujian ramai apabila membantu seorang graduan, R Kevin, 28, ketika itu sudah lewat bagi menghadiri Upacara Konvokesyen ke-59 USM yang dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi akibat kesesakan lalu lintas di luar jangkaan.

Terbaharu, pihak Universiti Sains Malaysia (USM) berkesempatan bersua muka dengan penunggang motosikal berhati mulia itu untuk menzahirkan penghargaan kepadanya.

Ashri, 50, dijemput khas ke Dewan Tuanku Syed Putra pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM dan berkesempatan beramah-mesra dengan pengurusan tertinggi Universiti.

Sumber Gambar: Facebook Universiti Sains Malaysia

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan ke tempat kerja. Kebetulan saya memang menyelia kerja-kerja pencucian di USM. Saya nampak graduan berkenaan terdesak mendapatkan pertolongan kerana beliau tidak henti-henti menahan penunggang motosikal.

“Disebabkan saya nampak jubah yang dipegangnya sama seperti jubah konvokesyen USM, saya sanggup tumpangkan beliau kerana simpati dan faham keadaannya yang sedang panik,” katanya.

Asri yang juga kontraktor perkhidmatan pencucian berkata, beliau amat terharu dengan penghargaan yang diberikan dan langsung tidak menyangka bantuan yang dianggapnya kecil itu membawa makna yang cukup besar buat ramai pihak.

Sumber Gambar: Facebook Universiti Sains Malaysia

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pula berkata, USM menghargai jasa baik Ashri dalam membantu graduan USM dan menyifatkan nilai murni itu perlu ada dalam setiap individu.

Katanya, walaupun pertolongannya nampak kecil namun kesanggupan Ashri menghulur bantuan di saat insan lain sangat memerlukan perlu dijadikan contoh oleh semua pihak.

Pendaftar USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Upacara Konvokesyen Ke-59 USM, Dato’ Dr. Musa Ali turut merakamkan penghargaan kepada beliau dan menyifatkan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ahsri turut memberi kesan kepada sebilangan besar masyarakat.

Menurut Ashri, beliau tidak menyangka kisahnya menjadi tular kerana terus menyambung kerja hariannya seperti biasa selepas menumpangkan graduan berkenaan.

Sehinggalah keesokan harinya rakan di tempat kerjanya menunjukkan berita berkaitan dirinya mendapat liputan meluas di seluruh platform media.

Terdahulu, tular sekeping gambar di mana Ashri telah membawa Kevin membonceng motosikalnya untuk ke kampus induk USM sehingga mendapat pujian warganet.

Bantu Hantar Graduan Terkandas Pergi Majlis Konvokesyen, ‘Asri Perda’ Terima Pujian Netizen

Tangguh Majlis Selama 30 Minit Untuk Tunggu Graduan Terkandas, Keprihatinan Pihak USM Dipuji Ramai

Menarik Dan Kreatif, Netizen Puji Cara ‘Admin’ Media Sosial USM Raikan Kedatangan Pelajar Baharu

Sumber