“Mailah kayuh kat masjid ni, saya tak dak geng.”

Itulah kata-kata Allahyarham Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin Al-Muqri, mantan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Shah Alam) waktu ditemubual pada Ramadhan 2011.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah - Wikipedia.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah – Wikipedia.

Tahun pertama aku jadi wartawan, orang lain dah siap artikel Ramadhan aku masih dry (istilah wartawan guna bila tak ada bahan).

Cari pasal, aku telefon pejabat masjid, minta disambung ke Imam Besar (ingat ada protokol), tiba-tiba mereka bagi nombor handphone Imam Besar.

“Imam minta call direct,” kata suara di hujung talian.

Tergamam. Aku percaya tak percaya saja. Bukan aku tak biasa kena dengan orang besar-besar. Bagi nombor handphone tapi nak angkat panggilan, bertuahlah.

Dengan kepercayaan yang nipis aku telefon juga nombor itu.

“Assalamualaikum Imam, saya Ali Imran dari Bernama,” aku memperkenalkan diri.

“Waalaikumussalam, ya… ini yang telefon pejabat tadi, kan? Ada hajat apa?”

Sembang ringkas kami bersetuju untuk temubual bersemuka di masjid.

Hari pertemuan, aku dah sampai masjid. Telefon imam, tak berjawab. Pergi ke pejabat, beliau tiada. Telefon lagi, tak dapat.

Aku kembali pesimis. “Lupalah tu,” getus hati kecilku.

Elok aku baru nak putus asa, aku cuba sekali lagi.

“Assalamualaikum. Ya, ini wartawan Bernama, kan? Ya.. ya.. tadi saya ada urusan sikit. Kita jumpa di depan pejabat saya ya.”

Arwah Ustaz Ahmad Mustafa ketika mengetuai solat terawikh pada tahun 2012. - Youtube
Arwah Ustaz Ahmad Mustafa ketika mengetuai solat terawikh pada tahun 2012. – Youtube

Lega, dan aku jadi rasa bersalah pula bersangka buruk dengan beliau tadi.

Aku sampai dahulu di depan pejabat, jam dah pukul 6 petang, aku fikir, bodoh juga aku ni buat appointment petang dengan imam.

Tak lama lepas itu, aku nampak kelibat beliau dari jauh. Ya Tuhan, aku tak percaya apa yang aku lihat.

Dalam jubah putihnya, beliau berlari-lari ke arah aku. Aku ulang – BERLARI! Meski bukan gaya Watson Nyambek 100 meter tapi dengan kapasitinya, beliau lari ke arah aku.

“Saya minta maaf banyak-banyak, tadi ada urusan. Selesai satu, menyambung-nyambung pula,” kata beliau sebelum sempat aku kata apa-apa.

Perbincangan kami tidak panjang, tapi padat dengan pelbagai isu.

Antara ayat beliau yang aku masih ingat, “Anak-anak remaja kita ni, kita kena berkawan dengan dia. Ana pun ada hajat nak kawan dengan geng rempit kita duduk sekali lepak dengan dia sebelum race tu… Tapi belum dapat lagi.”

“Ibu bapa yang solat terawikh, boleh hantar anak-anak mereka ke child care yang kami sediakan di sini. Umur 2 bulan ke atas, kami terima semuanya, pihak masjid dah buat usaha ini sejak tiga tahun lepas (2008).”

“Ruang iktikaf kami sediakan berasingan untuk lelaki dan wanita boleh memuatkan kira-kira 150 orang. Jemaah boleh tinggalkan barangan mereka dengan selamat, pihak masjid pantau.”

Sempat aku bergurau dengan beliau, sebab badannya yang agak gempal aku ajak dia berkayuh.

“Hang ada kawan berkayuh? Jom mai kita kayuh. Anak-anak kita ni, kita bawa dari satu ke satu tempat, buat aktiviti masyarakat bina sahsiah mereka. Style jelajah antara masjid di Selangor ni. Mula dan tamat kita buat di masjid.”

Al-fatihah
Al-fatihah

Dan itulah satu benda yang aku terkilan bila dengar berita beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 Jun 2014, 9.07 minit malam.
Sebab aku disibukkan dengan kehidupan, rancangan berkayuh yang kami bincangkan terkubur begitu sahaja.

Betapa padatnya perjumpaan kami walaupun singkat, aku sampai boleh tulis dua artikel daripada asal nak tulis satu sahaja.

Sampai jumpa lagi Ustaz.

Ali Imran,
Terkenang kisah ini, aku kayuh kembali.

Di bawah pimpinan Ustaz Ahmad Mustafa, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Shah Alam) memperkenalkan pelbagai fasiliti seperti child care, ruang iktikaf, buggy dan cyber cafe. Semalam, genap 2 tahun arwah Ustaz meninggalkan kita. Al-fatihah.

BACA: 3 Hari Di Palestin, Pemuda Ini Berkongsi Pesanan Daripada Imam Masjidil Aqsa