Seorang lelaki dengan gelaran ‘Ustaz Nizam’ mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM295,550 tiga tahun lalu. Tertuduh yang juga pengarah agensi pelancongan Massnizam Group Travel & Tours Sdn Bhd membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Norsiah Ujang sejurus selepas pertuduhan dibacakan.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini
Artikel Berkaitan:

Menurut laporan Berita Harian, bagi dua pertuduhan difahamkan bahawa ‘Ustaz Nizam’ atau Mohd Nizam Noh yang berusia 49 tahun didakwa memindahkan wang berjumlah RM234,100 hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat ke dalam akaun simpanan Maybank Islamic Berhad milik dirinya sendiri.

Bagi tuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan wang berjumlah RM17,450 daripada akaun semasa Bank Islam Malaysia Berhad milik syarikat itu ke dalam akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik Massnizam Group Travel & Tours Sdn Bhd.

HYPE
4 Sebab Anda Wajib Tonton Filem Pendek ‘3 Sekawan’ Pada Hari Malaysia Ini
Baca lagi →

Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh yang mempunyai dua isteri dan tujuh anak itu, didakwa memindahkan wang berjumlah RM44,000 hasil aktiviti haram daripada akaun syarikat agensi pelancongan itu ke akaun simpanan Maybank Islamic Berhad milik isteri keduanya, Massuzah Zakaria, 47.

Ustaz Nizam di bawa ke mahkamah – Utusan Malaysia

Difahamkan bahawa beliau melakukan perbuatan tersebut di Maybank Islamic Berhad Cawangan Sungai Rengit, Pengerang dan Cawangan Kota Tinggi serta Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Kota Tinggi di sini, antara 17 Mac 2019 dan 13 November 2019.

Tertuduh didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta sama. Jika didapati bersalah, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau sebelum ini ditahan di Terengganu semalam sebelum dibawa ke Kota Tinggi untuk menghadapi pendakwaan. Beliau turut berdepan pendakwaan di beberapa negeri lain memandangkan terdapat 104 laporan polis dibuat oleh mangsa penipuan pakej umrah di Johor, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Selangor dengan nilai kerugian lebih RM3.2 juta.