Virus Corona subvarian baru kini dilaporkan telah menyebabkan lonjakan kes di Amerika Syarikat. Dinamakan XBB.1.5, subvarian ini tersebar di AS seiring dengan penularan subvarian BF.7 di China, lapor Fortune.

XBB.1.5 adalah evolusi daripada subvarian XBB. Sebuah subvarian dari Omicron, XBB muncul di India pada bulan Ogos dan sejak itu ia tersebar ke seluruh dunia. Sejumlah besar kes COVID-19 di AS disebabkan oleh XBB dan saudaranya XBB.1.5.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut pakar, subvarian XBB.1.5 boleh menjadi subvarian yang ‘menggila’ pada tahun ini. Ini disebabkan oleh daya tahannya yang kuat dan dapat mengelak daripada antibodi. Bagaimanapun, pakar melihat bahawa satu kajian mendalam perlu dilakukan untuk mengesahkan situasi ini.

Bagi menjawab soalan adakah kita perlu menghalang warga AS daripada memasuki Malaysia, jawapannya tidak perlu.

Ini kerana XBB pada asalnya muncul pada musim panas lalu dan telah menyebabkan peningkatan dalam kes COVID-19 di Asia, termasuk India dan Singapura.

Menurut laporan CNBC, ia telah berkembang dengan sejumlah 74 negara telah melaporkan kes XBB.1, menurut outbreak.info. Wabak ini sudah merebak ke negara kita, Indonesia, China, dan Pakistan. Varian ini juga telah sampai ke Eropah dan AS, serta Australia.

Sehingga 19 Disember 2022, 8,638 jujukan XBB.1 telah dikesan di seluruh dunia, lebih daripada 1,500 daripadanya di AS. Empat puluh tiga negeri telah melaporkan subvarian ini.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata bahawa Malaysia akan memperketatkan kawalan kemasukan pelancong asing ke negara ini bagi mengekang jangkitan COVID-19.

Ini selepas desakan rakyat Malaysia yang meminta agar pelancong China dihalang untuk masuk ke Malaysia disebabkan situasi COVID-19 yang masih tidak terkawal di negara tersebut.

“Kemasukan rakyat asing akan dikawal dengan lebih ketat dan ia tidak menjurus kepada mana-mana negara tetapi semua (negara). Ia terutamanya negara yang jumlah jangkitannya yang agak tinggi termasuklah Amerika Syarikat (AS), China dan sebagainya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.