Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pengasas dan pengerusi eksekutif Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan telah mengumumkan bahawa dia akan menyerahkan separuh daripada kekayaannya kepada badan amal bila mana dia sudah tidak ada lagi, sambil mengajak lebih banyak rakyat Malaysia yang mempunyai kekayaan dan berusia 70 tahun untuk melakukan perkara yang sama.

Jutawan itu mengatakan bahawa berbuat demikian akan membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah mampu milik kerana perumahan adalah keperluan asas manusia.

Dalam wawancara secara esklusif bersama The Star, dia memberitahu bahawa adalah tidak adil untuk memberi seluruh kekayaan kepada ahli keluarga sahaja. Baginya, segala kekayaan yang dikumpul selama ini adalah dari sokongan rakyat Malaysia, konsesi dan lesen dari kerajaan serta pertolongan dari ramai orang selama berkecimpung di dalam bidang perniagaan.

Tambah beliau lagi, dia juga berminat untuk membina rumah mampu bilik untuk rakyat Malaysia. Dia berkata bahawa Berjaya telah merancang dan membina rumah mampu milik dan mengajak semua sektor swasta untuk menjual rumah mampu milik dengan julat harga RM250,000 dan RM300,000 untuk pangsapuri seluas 900 kaki persegi di pelbagai pekan dan bandar di Malaysia.

Dia turut memberitahu The Star bahawa dia tidak menjadi kaya disebabkan sesuatu yang diciptakan olehnya tetapi bernasib baik kerana banyak mendapat peluang seperti francais untuk McDonald’s dan Starbucks, serta dapat membeli 7-eleven pada harga yang munasabah daripada sekumpulan rakyat Malaysia.

“Adalah wajar saya menyerahkan separuh daripada kekayaan saya kepada masyarakat dan negara. Itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan,” tambahnya.

Tan berkata, bagi tujuan itu, beliau merupakan penandatangan Giving Pledge yang dimulakan oleh jutawan Amerika Syarikat Bill Gates dan isterinya Melinda serta Warren Buffet.

Mengenai kerja amal, Tan mengatakan dia telah menjadi penyokong kuat kepada Yayasan Tzu Chi, sebuah organisasi kemanusiaan antarabangsa, dan akan mencurahkan lebih banyak masa untuk tujuannya.

“Keputusan terbaik yang saya buat dalam hidup adalah menjadi vegetarian setelah bertemu (Tzu Chi) Tuan Cheng Yen. Saya merasa lebih sihat secara fizikal, mental lebih peka dan lebih kaya secara rohani,” katanya.

Tan mengejutkan dunia korporat Malaysia baru-baru ini menerusi pelantikan Abdul Jalil Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Berjaya Corp, dan menyatakan itu merupakan langkah pertama beliau untuk melepaskan kawalan terhadap syarikat.

Untuk rekod, The Vocket pernah melaporkan bahawa Abdul Jalil, 38, yang juga bekas CEO Permodalan Nasional Berhad, merupakan individu pertama bukan keluarga yang dilantik sebagai CEO Berjaya.

Jalil Rasheed muncul individu pertama bukan keluarga dilantik sebagai CEO Berjaya. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Jalil Rasheed Muncul Individu Pertama Bukan Keluarga Dilantik Sebagai CEO Kumpulan Berjaya

Dilamar Penuh Romantik, Waris Syarikat Naza Dan Berjaya Bertunang

Sultan Johor Pemegang Saham Individu Kedua Terbesar 7-Eleven

Anda Mungkin Suka