Virus Zika

Penyebaran virus Zika, seperti yang saya jangkakan, berlaku dengan sangat pantas (exponential). Ianya berlaku atas banyak faktor, dari segi sifat penyakit demam Zika itu sendiri yang mild, serta mudahnya ia merebak melalui vektor (nyamuk Aedes). Manusia, adalah host, yang menjadi “orang tengah” menyebarkan virus ini.

Manusia yang dijangkiti Zika, simtomnya hanya mild. Mild bermaksud tidaklah seteruk jika dibandingkan dengan penyakit bawaan Aedes lain iaitu denggi. Demamnya tidak setinggi demam denggi. Sakit-sakit badan, loya juga tidak terlalu ketara.

Justeru, manusia yang dijangkiti Zika, masih boleh bergerak, pergi ke kerja seperti biasa. Boleh travel antara benua. Sistem screening yang biasa dilakukan di pintu-pintu masuk antarabangsa, gagal mengesan individu ini kerana kita hanya mengesan individu yang demam panas.

Tambahan pula, tempoh inkubasi Zika iaitu sepuluh hari, bermaksud hanya selepas sepuluh hari digigit nyamuk yang membawa Zika barulah manusia itu mengalami simtom. Dalam tempoh sepuluh hari, seorang manusia tersebut sudah boleh travel ke tempat lain, yang seterusnya digigit aedes di tempat baru dan menyebarkan virus Zika ke host baru pula.

Menarik lagi, selain kita mengetahui bahawa Zika disebarkan melalui nyamuk Aedes, terdapat satu lagi cara transmisi yang tak ramai orang tahu dan tak disebarkan media. Iaitu melalui sexual contact. Ya, terdapat kes di mana seorang lelaki yang dijangkiti Zika ketika berada di luar negara, menjangkitkan Zika kepada isterinya setelah pulang ke negara asal.

Untuk mengekang tersebarnya Zika, pada pandangan saya, kita sudah terlewat. Jika menghambat Zika adalah satu perlumbaan, maka kita sudah ketinggalan di belakang. Langkah mencegah mana-mana penyakit epidemik, ialah memutuskan chain of transmission.

Dalam kes Zika ini, vektornya iaitu nyamuk Aedes. Kita sudah sejak dari dulu cuba membanteras Aedes, untuk mengekang penularan denggi, tetapi lihatlah di mana kita berada sekarang?

virus-zika-3

Denggi outbreak, masih lagi berlaku. Walaupun usaha di pihak kita (kesihatan) untuk menghapuskan pembiakan Aedes tetap dijalankan secara extensive setiap hari. Namun kesedaran di pihak masyarakat masih rendah, masih dipandang enteng.

Keluar rumah waktu maghrib

Ambil nasihat orang tua-tua yang sekarang semakin tidak diamalkan. Orang tua-tua dahulu melarang keluar rumah waktu senja/maghrib. Nasihat ini bagus sekali, kerana pada waktu itulah nyamuk Aedes keluar mencari mangsanya.

Namun renungkan sendiri apa yang terjadi masa kini, waktu begitulah kita keluar berjalan tepi pantai untuk melihat sunset, dan waktu selepas maghrib itu juga waktu puncak di setiap pasar-pasar malam. Anak-anak kita bermain di padang, lepas maghrib juga baru pulang ke rumah.

Hadis sahih larangan keluar rumah waktu senja,

Jika malam datang menjelang, atau kalian berada di petang hari, maka tahanlah anak-anak kalian, kerana sesungguhnya ketika itu syaitan sedang bertebaran.

Jika telah berlalu sesaat/sejam dari waktu malam, maka lepaskan mereka. Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula wadah/bekas minuman dan makanan kalian dan berzikirlah kepada Allah, walaupun dengan sekadar meletakkan sesuatu di atasnya, matikanlah lampu-lampu kalian.”

(HR. Bukhari, no. 3280, Muslim, no. 2012)

Penjagaan didalam rumah juga perlu diambil perhatian. Pernah dalam siri lawatan kami ke rumah-rumah yang penghuninya menghidap denggi, kami siap ada menjumpai kolah mandi yang dipenuhi jentik-jentik.

Langkah-langkah sebegini hanya sebagai general precaution. Tetapi ianya hanya berkesan sekiranya kita secara komuniti, sama-sama serius melakukannya.

Tidak guna jika dalam sebuah perumahan 40 rumah, semua orang membersihkan rumah kecuali satu rumah. Satu rumah itu boleh jadi sarang nyamuk Aedes yang menggigit penghuni 40 rumah lain. Nyamuk Aedes tidak mengenal mangsa.

Dari situ perlindungan peribadi kita sendiri perlu dititik beratkan. Nyamuk ada tetaplah ada, tapi biarlah dia menggigit orang lain, bukan kita. Letakkan diri kita di tempat nyamuk itu. Tentulah “kita” lagi senang nak gigit orang yang tak pakai lengan panjang, berbanding berlengan panjang.

Tentulah mudah “kita” memasuki rumah yang tidak berjaring, atau rumah yang tidak dipasang ubat nyamuk.

virus-zika-2

Isu vaksin dan Zika

Vaksin untuk Zika, dijangka dikeluarkan dalam tempoh 2 tahun lagi. Jika ia terbukti berkesan, sepertimana vaksin Rubella, saya yakin ia juga akan disenaraikan dalam program imunisasi kebangsaan.

Kalau ada geng antivaksin yang takmau, terpulanglah. Bukan selalu kita dapat peluang untuk tengok sendiri prospective study between mereka yang divaksin, dengan geng antivaksin. Hihi.

Kita boleh sama-sama lihat sendiri, adakah mereka sanggup merisikokan diri mereka dengan komplikasi seperti microcephaly dan GBS.

Zika dan konspirasi

Sesiapa yang nak hidup dalam dunia konspirasi, dipersilakan. Namun seperti yang kita tahu, geng konspirasi ini, hanya pandai berkonspirasi sahaja. Mereka sendiri tidak menyumbang apa-apa ke arah membanteras atau menghalang penyakit ini merebak, bahkan mengkritik pula kita yang cuba mengekangnya.

Mereka kata Zika ini konspirasi nak kurangkan populasi dunia. Habis, apa cadangan mereka nak banteras/halang Zika ni? Mereka kata Zika ini alasan hendak dijual dan dibuat vaksin. Habis, apa pula kajian yang mereka buat untuk merawat/mencegah Zika?

Tiada. Hanya sekadar bersembang kosong, lots of talk but no action.

Saya teringat sebuah hadis, mengenai perbualan antara Nabi s.a.w dengan para sahabatnya. Nabi bersabda, lebih kurang mafhumnya, andai kata esok datangnya kiamat dan di tanganmu ada benih kurma, maka tanamlah kurma itu.

Hadis ini mengisyaratkan, walaupun tanda-tanda kiamat sudah nampak atau hadir, kita tidak seharusnya melupakan apa yang sepatutnya kita buat.

Logiknya kalau kita tahu esok kiamat, maka mestilah kita akan pulun beribadah hari ini. Tinggalkan tempat kerja, pakat mengerumuni masjid, membaca alquran tak berhenti.

Tapi nabi tak suruh kita gitu. Nabi suruh kita teruskan bekerja, teruskan perbuatan kita, teruskan menanam benih kurma walaupun kita tahu ia takkan sempat bercambah.

Mengingati tanda-tanda akhir zaman tidak sepatutnya membuatkan kita taksub dan paranoid, sebaliknya sepatutnya menginspirasikan kita untuk berusaha lebih keras.

Geng-geng konspirasi asyik mengatakan, inilah fasa akhir, inilah tanda kemunculan dajjal, inilah sains eskatologi blablabla. Tapi akhirnya mereka sendiri tidak menyumbang apa-apa apatah lagi menyeru ke arah memperbanyakkan ibadah.

Dah kata Zika itu hasil konspirasi, petanda akhir zaman, maka buatlah kajian mengenainya. Orang barat berhempas pulas mencari kaedah rawatan dan pencegahan untuk zika, kita pula masih stranded di alam dunia konspirasi.

Baca lagi: Malaysia Berisiko Dapat Virus Zika, 8 Fakta Ibu Mengandung Kena Tahu

Artikel di atas disumbangkan oleh Mohd Syamirulah. Doktor perubatan. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤