Mencari restoran yang menyajikan nasi kandar di kota metro ini tidaklah sukar kerana terdapat banyak restoran dengan pelbagai nama nasi kandar ‘itu’ dan ‘ini’ di merata-rata tempat. Rasanya juga lebih kurang sama. Sehinggalah kami temui gerai nasi kandar yang terletak di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apa pula namanya? Ketepi kayu mahupun pelita, Nasi Kandar Melayu Apollo namanya. Apakah pula bezanya dengan nasi kandar yang lain?

Yang paling ketara, seperti tercatat pada namanya, ini adalah gerai nasi kandar milik orang melayu dan dimasak oleh orang melayu. Maka diharapkan lebih serasilah dengan kami yang bertekak melayu. Tapi jangan risau, ia tetap dijual kepada yang bukan melayu.

BACA: Vocket Makan… Restoran Lontong Klang di Shah Alam

Perkara pertama yang kami perasan keunikan nasi kandar ini adalah nasinya yang berwarna kuning. Mengikut Encik Saiful selaku pemilik gerai ini, nasi kandar kuning ini adalah lambang keaslian nasi kandar yang datang dari utara tanah air. Kuning nasi ini ada yang kata datangnya dari penggunaan minyak sapi dan ada pendapat yang mengatakan dari kuning telur. Kami pula lupa mendapatkan pengesahan pemilik gerai.

Lauk utama atau lebih tepat satu-satunya lauk nasi kandar Apollo ini adalah ayam goreng masala. Ya, warna kemerahan pada ayam itu datang dari campuran rempah bersama garam masala, bukan diletak sirap seperti dakwaan sesetengah pihak. Encik Saiful amat kecewa dengan dakwaan (letak sirap) tersebut.

Selebihnya, nasi kandar ini dilengkapi dengan sayur kubis bersama taugeh, serta kombinasi tiga jenis kuah kari iaitu kari pedas, kari ikan dan kari ayam. Juga diberi pilihan untuk ditambah sambal lada. Seterusnya dibungkus dengan helaian kertas surat khabar.

Harga sebungkus nasi kandar ini adalah RM8 kerana kami mengambil ayam bersaiz suku (quarter). Jika seketul ayam bersaiz biasa, sebungkus nasi kandar Apollo lengkap berharga RM5 sahaja. Oh, ini hanyalah gerai jualan, tiada meja makan disediakan. Oleh itu, perlu dibawa ke port lain untuk menikmatinya.

Cerita luarannya dah panjang lebar, rasanya pula bagaimana?

“Sedap gila baq hang…” Itulah yang pertama terucap, biarpun kami bukan orang utara. Campuran ketiga-tiga kuah kari digaul bersama nasi kuning yang berlemak lembut, memberi rasa yang sangat menyelerakan. Dalam rasa manis, terasa juga pedasnya. Ditambah pula dengan rasa cubitan isi ayam goreng yang segar diselaputi kepingan pedas masala. Ternyata lauk dan kuah kari yang nampak ringkas ini adalah kombinasi yang ideal dan hebat!

Sekiranya anda ke Bangi Sentral, jengok-jengoklah gerai Nasi Kandar Melayu Apollo ini yang terletak betul di seberang jalan. Pasti anda tidak akan menyesal.

Ini pula maklumat penuh tentang nasi kandar yang sedap ini:

Nama gerai : Nasi Kandar Melayu Apollo
Lokasi : Seksyen 9, Bangi. Di tepi jalan sebelum masuk lorong ke Wadihana Islamic Kitchen dan setentang Bangi Sentral. (waze)
Waktu beroperasi : Isnin – Ahad 12pm hingga habis, selewatnya 7pm
Cawangan lain : Uptown Jalan Reko

p/s: Ahh… lupa tanya kenapa Apollo…

BACA: Jom Makan: Aplikasi Bantu Cari Tempat Makan Di Malaysia

BACA juga: Vocket Makan… Lamb Chop & Mix Grill Bukit Cheras

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram