Sejak berlakunya situasi COVID-19 ini, nama Ustaz Ebit Lew mungkin satu nama yang tidak pernah hilang di radar pemerhatian masyarakat Malaysia terutamanya di media-media sosial.

Boleh dikatakan hampir setiap hari kita akan melihat video-video beliau memberikan sumbangan dan sedekah walaupun negara kini sedang bergelut dengan penularan wabak berbahaya itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bagaimanapun, melalui satu hantaran yang dibuat di laman Facebook malam tadi, beliau akhirnya mengumumkan tidak lagi akan meneruskan usaha bantuan yang dilakukannya sebelum ini.

Ia berikutan nasihat yang diberikan setelah dipanggil pihak polis ke Cawangan Khas Bukit Aman selepas terdapat aduan yang dibuat terhadap dirinya.

“[…] Walau saya ada kebenaran untuk memberi bantuan. Dari tengah malam semalam saya dihubungi untuk ke Cawangan Khas Bukit Aman.

“Terus ke sana hari ini untuk mendapatkan dan memberi penjelasan terutama kes viral beberapa hari lalu kerana ada aduan.

” Atas nasihat setakat ini sahajalah saya berkhidmat membantu semua yang dalam kesusahan,” kongsinya pada semalam.

Beliau bagaimanapun menjelaskan akan kembali memberikan bantuan selepas situasi PKP berakhir dan buat masa ini hanya akan melakukan sedekah melalui pemindahan wang kepada mereka yang memerlukan.

Hantaran menyayat hati yang dibuat Ebit itu mengejutkan ramai di media-media sosial dan hantarannya di Facebook itu meraih sehingga 62,000 perkongsian dan namanya turut trending di Twitter dengan lebih 80,000 ciapan.

Rata-rata netizen yang meninggalkan komen di hantaran itu tidak henti-henti memberikan kata semangat buat pendakwah tersebut dan tidak kurang juga ada yang mempersoalkan aduan yang dibuat terhadap beliau.

Seorang netizen di Facebook, Catherine Thomas berkata walaupun berlainan bangsa dengan Ebit namun dia tetap menyokong apa yang dilakukan pendakwah itu selama ini.

“Walaupun saya berlainan bangsa saya sokong 100 peratus kerja amal yang dibuatnya. Saya memang ikut perkembangan Ustaz Ebit Lew.

“Apa yang boleh saya katakan ialah ini satu dugaan yang paling besar dihadapi (beliau). Semoga Tuhan memberi kekuatan yang tidak terhingga (buat) Ustaz Ebit,” ujarnya.

Manakala seorang lagi pengguna Facebook, Norsufia Jahari berkata beliau sangat terharu dan seakan memahami apa yang dilalui Ebit ketika ini berdasarkan pengalamannya sebelum ini.

“Kita kalau buat baik memang orang akan jadikan kita sebagai musuh. Apa entah yang mereka tak puas hati.

“Kalau tak mampu buat macam orang lain buat, jangan dengki. Doakan supaya dia pun boleh bantu orang dan bagi manfaat dekat orang lain. Tak faham la, kadang-kadang tu sama-sama kawan, satu bidang. Sebenarnya dia yang tak ikhlas,” katanya.

Bukan sahaja di Facebook, malah laman Twitter di Malaysia hari ini juga dibanjiri kata-kata semangat terhadap Ebit Lew dan situasi yang dihadapinya sekarang ini.

https://twitter.com/myraflyhigh/status/1253890457043496960?s=20

Bagaimanapun, dengan perkembangan terbaru ini, kita sebagai rakyat Malaysia harus menghormati keputusan yang dibuat Ustaz Ebit Lew yang telah dinasihatkan untuk ‘berehat’ seketika keluar menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Mungkin kesempatan ini boleh digunakan beliau untuk berehat dan menyambut ibadah ramadan bersama keluarga sebelum kembali berkhidmat kepada masyarakat selepas berakhirnya PKP nanti.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang masih tertanya-tanya apakah perbezaan sedekah dan zakat terutamanya dengan ketibaan bulan ramadan ini. Apa kata anda baca perkongsian kami sebelum ini untuk mengetahui lebih lanjut. 

Perbezaan Zakat Dan Sedekah Yang Sering Menjadi Kekeliruan Masyarakat

Konsep Sedekah Alaf Baru, Netizen Kagum Lihat Cara Sedekah Pelanggan Ini Kepada ‘Rider’ GrabFood

Diperli Bayar Zakat Lebih RM50,000, Amil Cerita Sisi Sebenar Aliff Syukri