Susulan pihak Perodua akan terus melakukan pemantauan terhadap model Axia 2023 yang didakwa berlaku pemalsuan keputusan ujian keselamatan oleh Daihatsu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dilaporkan akan menjalankan penilaian semula ke atas model tersebut.

Pengerusi MIROS, Wong Shaw Voon memberitahu Malaysiakini bahawa institut itu mahu meneliti dakwaan Perodua bahawa kereta Axia 2023 selamat untuk dipandu dan tidak terjejas oleh isu itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“(MIROS) akan berjumpa mereka dan menilai dengan sewajarnya. Kami akan meneliti apa yang mereka dakwa,” katanya melalui pesanan teks.

Dalam satu kenyataan rasmi Perodua, pihaknya tidak akan melakukan sebarang panggilan balik atau menggantung penghantaran model itu kepada pelanggannya walaupun terdapat ‘ketidakaturan prosedur’ baru-baru ini yang diketengahkan oleh Daihatsu.

Ini kerana Perodua diberikan jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada model Perodua Axia baharu tetap sah dan diperakui — sekaligus model kereta itu selamat untuk dipandu oleh pengguna.

Minggu lalu, Daihatsu Motor Company, anak syarikat Toyota Motor didakwa mengakui menipu dan memalsukan keputusan ujian keselamatan kemalangan melibatkan bahagian panel sisi pintu bagi 88,000 unit kereta yang dijual di bawah jenama Toyota.

Syarikat itu mengesahkan kemasan pintu diubah suai dengan sebuah ‘takik’ (notch) untuk meminimumkan risiko panel pintu tersebut boleh pecah dan terhasilnya bucu tajam yang akan mencederakan ketika beg udara sisi diaktifkan.

Daripada 88,000 kenderaan itu, kira-kira 11,834 merupakan model kereta Perodua Axia 2023 yang dijual di Malaysia.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Sumber