Perkahwinan adalah satu ikatan perjanjian antara dua insan yang saling mencintai untuk melalui kehidupan bersama. Tidak dapat dinafikan juga bahawa perpisahan dalam perkahwinan seperti kematian atau penceraian akan membuatkan hati individu yang berdepan situasi itu sedih.

Perkongsian kisah pengguna Twitter @sararamelia tentang penceraiannya pasti membuka mata anda dan mengambil pengajaran dan iktibar dari kisah beliau.

Menerusi perkongsiannya, perkahwinan beliau yang dibina atas dasar cinta pada tahun 2015 tidak berkekalan lama dan kini telah setahun perpisahan beliau bersama bekas suami.

Menurut Sara, pelbagai pengajaran yang beliau dapat melalui perkahwinannya yang singkat iaitu perlu meluangkan masa berkualiti bersama, berkomunikasi dalam setiap perkara dan juga walaupun sibuk harus meluangkan masa bersama.

Walaupun perkahwinan mereka tidak bertahan lama, tetapi Sara tidak menyalahkan bekas suaminya. Kurang berkomunikasi adalah antara faktor yang menyebabkan penceraian mereka.

Pada mulanya, keputusan beliau untuk bercerai membuatkan keluarganya terkejut dan seperti tidak dapat menerima keputusan yang diambil beliau. Akan tetapi, akhirnya keluarganya menerima keputusan beliau yang dirasakan lebih baik.

Bagi Sara, komitmen perkahwinan bukanlah satu permainan kerana pelbagai ujian dan rintangan anda akan tempuh. Jika diberikan peluang kedua, beliau akan berusaha yang terbaik untuk bersama suaminya dan belajar dari kesilapan yang pernah dilakukan.

Tambahnya lagi, keluarga dan rakan-rakan sentiasa bersama beliau walaupun kini beliau tidak lagi bersuami. Malah, ikatan antara beliau dan adik-beradiknya bertambah erat selepas episod penceraian beliau.

Semoga perkongsian ini akan membuatkan anda yang ‘gagal’ dalam perkahwinan agar tidak berputus asa dan sentiasa positif serta mengambil iktibar untuk masa hadapan.

Apa kata baca pula kisah perkongsian seorang lelaki sanggup ikat perut demi kumpul duit kahwin pada pautan di bawah ini. 

Sanggup Ikat Perut, Lelaki Ini Kongsi Kisah Kumpul Duit Demi Majlis Perkahwinan

Lelaki Ini Kongsi 13 Tip Bagaimana Merancang Bajet Majlis Perkahwinan

4 Tip Penting Sebelum Pilih Jurugambar Untuk Majlis Perkahwinan Anda

Sumber