Ramai berpendapat berniaga memerlukan modal wang ringgit yang besar.

Namun ini tidak benar buat wanita ini atau namanya Sharifah Shareen Syed Rahman Al-Mashoor yang bermula dari kosong, dan kini memiliki kilang sendiri. Perjuangan meneruskan legasi ayahnya menjadi pemangkin semangat untuk berjaya.

Jom ikuti kisah beliau dan ambil inspirasi daripadanya.

Niat untuk meneruskan perniagaan ayahnya beliau meninggalkan jawatan kerajaan sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). Wanita lulusan Universiti Utara Malaysia dalam bidang hubungan antarabangsa dan ­diplomatik ini membuat keputusan melepaskan jawatannya selepas setahun bekerja sebagai PTD. Ketika itu usianya berusia 23 tahun namun dia perlu mengambil alih perniagaan walaupun tanpa sebarang modal besar .

Ujarnya, “Saya pulang ke kampung di Pulau Pinang dan cuba sedaya upaya me­ngembangkan perniagaan. Ketika itu syarikat kecil arwah ayah hanya bermula dari rumah, malah belum berdaftar. Jadi saya pun mendaftarkannya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.”

“Selepas pendaftaran syarikat, saya mula berfikir cara untuk membangunkan syarikat. Bukan saja tiada pengalaman, modal pun tiada ketika itu,” katanya.

Namun, dia berasa cukup bertuah kerana arwah ayahnya mempunyai ramai kenalan. Lantas dia menghubungi kenalan arwah ayahnya, berta­nyakan sama ada mereka mahu membeli produk daripada syarikatnya sebagai hadiah kepada pelanggan mereka.

Dia bersyukur kerana ramai yang berminat, namun hakikatnya, dia langsung tiada modal untuk menghasilkan barangan tempahan pelanggannya itu.

“Produk pertama yang kami hasilkan ialah 1,000 kaki payung, namun ia perlukan modal RM25,000. Justeru, saya maklumkan kepada pelanggan bahawa syarikat kami tiada wang sebanyak itu,” katanya.

Tidak dapat digambarkan rasa syukurnya kerana pelanggan sanggup mengeluarkan modal. Hasil keuntungan itu, dia menggunakannya sebagai modal permulaan untuk mengeluarkan pelbagai barangan lain dan akhir­nya berjaya mengukuhkan syarikatnya.

Hampir 14 tahun menceburkan diri dalam perniagaan mengeluarkan barangan cenderahati untuk syarikat korporat, dia bersyukur kerana usaha gigihnya selama ini berbaloi.

Terfikir untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur, Sharifah Shareen berkata, semuanya bermula dua ­tahun lalu apabila dia mengambil keputusan berhijrah ke ibu kota ­kerana mahu mencabar diri dan mencari peluang perniagaan yang lebih besar.

Ketika mula-mula berkunjung ke Kuala Lumpur, dia langsung tiada kenalan untuk mengembangkan rangkaian perniagaannya. Ketika itu dia menawarkan produk keluarannya di beberapa syarikat saja.

Berkat kesabarannya, syarikatnya mendapat tawaran mencetak baju untuk satu program besar-besaran yang tentunya menjadi kenangan manis dalam hidupnya.

“Dengan wang itu, saya mampu memiliki sebuah kilang sendiri di Kota ­Damansara dan mengupah beberapa pekerja yang turut komited melakukan tugasan harian.

“Saya bertuah kerana pekerja turut membantu menaikkan nama syarikat, malah mereka tidak jemu menolong saya mengukuhkan perniagaan ini,” katanya sambil menambah, syarikat berkenaan menghasilkan pelbagai produk termasuk botol air, tuala, baju korporat dan bingkai gambar.

Walaupun tidak dilahirkan dalam kalangan keluarga berada, dia akui hasil usaha berterusan itu mampu membuahkan hasil berganda buat dirinya.

Untuk mencapai kejayaan bukannya mudah kerana perlu berusaha keras tanpa mengira masa dan pandai menarik hati pelanggan untuk setia dengan produk keluarannya.

“Pelbagai cabaran ditempuh misalnya persai­ngan daripada syarikat lebih besar, malah syarikat kami pernah tidak mendapat tempahan.”

“Pada masa sama, ­banyak syarikat menawarkan perkhidmatan serupa pada harga lebih murah. Namun, saya tidak berputus asa, sebaliknya cuba bersaing secara sihat,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini berkata, persaingan sihat itu bermaksud menawarkan produk yang lebih berkualiti dengan harga berpatutan.

“Jika tempahan membabitkan kuantiti yang ­banyak, harga ditawarkan tentulah lebih rendah dan pada masa sama, kami mengekalkan kualiti yang sama.

“Saya perlu pandai menarik hati pelanggan dengan memikirkan pelbagai strategi supaya mereka berpuas hati, malah bagi kami, pelanggan memang istimewa,” katanya.

Produk syarikatnya bukan saja mendapat tempat dalam kalangan syarikat ternama di negara ini, malah di luar negara termasuk Hong Kong, United Kingdom, Iraq dan Bahrain.

Dia juga mengakui, bukan senang untuk me­ngambil hati pelanggan kerana banyak persaingan, namun dia percaya rezeki daripada Tuhan sekiranya berusaha tanpa mengenal erti putus asa.

Justeru, dia menerap­kan konsep Islamik dalam perniagaannya iaitu setiap minggu, diadakan majlis bacaan Yasin untuk kakitangan di pejabatnya selain menjemput penceramah pada majlis ilmu. Dengan cara itu, rezeki lebih berkat dan sentiasa mengingati Pencipta.

“Saya masih baru dalam perniagaan ini dan sentiasa memperbaiki diri, malah berharap terus mampu mengukuhkan perniagaan ini.”

“Restu ibu juga sangat penting apatah lagi doa ibu paling mujarab untuk kejayaan anak. Malah, jika saya mempunyai masalah, saya maklumkan ibu terlebih dulu. Selepas berbual dengan ibu, barulah lega hati saya,” katanya sambil berpesan kepada golongan muda supaya sentiasa berusaha untuk menggapai kejayaan.

Untuk melihat produk keluaran syarikat ini, layari laman web rasmi mereka atau Facebook PM Gift.

Sumber: Harian Metro

Like The Vocket di Facebook.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group