Seorang wanita di Ecuador tiba-tiba bangun selepas disahkan meninggal dunia  akibat dijangkiti wabak COVID-19. Berita ini jelas melegakan keluarganya yang telah membawa pulang dan membakar jenazah yang salah sebelum ini.

Alba Maruri berasal dari Guayaquil – bandar terbesar di Ekuador yang teruk terjejas oleh COVID-19 – dimasukkan ke hospital pada bulan Mac selepas mengalami masalah untuk bernafas dan demam yang berpanjangan.

Ahli keluarganya menyatakan bahawa wanita berusia 74 tahun itu telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada 27 Mac yang lalu. Seminggu selepas itu, keluarga wanita terbabit datang untuk mengambil mayatnya. Tetapi mereka tidak dibenarkan untuk menyentuh atau mendekati mayat tersebut.

Media antarabangsa melaporkan bahawa sewaktu mengambil mayat yang disyaki sebagai Maruri, ahli keluarga beliau hanya melihat bahagian belakang mayat tersebut dan bukan wajahnya.

Anak saudaranya, Jaime Morla, menyatakan bahawa dia menganggap mayat itu adalah ibu saudaranya, dan segera memberitahu pihak hospital kerana terlalu takut untuk melihat wajahnya.

“Saya berada kira-kira 1.5 meter. Dia mempunyai rambut, kulit yang sama. Bahkan, dia juga mengalami luka seperti yang sama seperti ibu saudara saya,” jelas Morla.

Akhirnya, jenazah dibawa pulang oleh keluarga Maruri dan dibakar, sehinggalah Maruri dilaporkan telah sedar pada Khamis lalu. Setelah terjaga, Maruri segera memberitahu doktor siapa dia dan meminta mereka menghubungi saudaranya.

Saudara Maruri, Juan Carlos Ramirez, mendedahkan bahawa selepas wanita itu terjaga, pasukan perubatan segera menuju ke rumah beliau untuk memberitahu kesilapan itu kepada saudaranya yang lain.

“Hingga kini, mereka masih belum tahu mayat siapa yang telah kami bawa dan kami bakar sebelum ini,” kata Ramirez. Keluarga itu turut merancang untuk menuntut pihak hospital agar membayar kos pembakaran mayat yang mereka telah lakukan sebelum ini.

Pihak berkuasa di bandar pelabuhan Guayaquil menyatakan bahawa terdapat 22,000 kes positif COVID-19, dengan 576 daripadanya telah dilaporkan meninggal dunia.

Sebelum ini, Ecuador menghadapi krisis kekurangan keranda sehingga mayat terpaksa dibiarkan di tepi jalan. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Ecuador Hadapi Krisis Kekurangan Keranda, Mayat Mangsa COVID-19 Dibiarkan Di Tepi Jalan