Artikel ini adalah kesinambungan kepada 2 tajuk ini, 3 Jam Bersama Tan Sri Ali Hashim, Saya Belajar Benda Penting Ini Tentang Bisnes dan 3 Jam Bertemu Tan Sri Ali Hashim, Apa Saya Belajar Daripada Beliau Tentang Jenama.

Pertemuan selama 3 jam itu, kami belajar macam-macam perkara daripada Tan Sri Ali Hashim, seorang tokoh korporat yang pernah menerajui Johor Corporation.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Mula memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada 1982, Johor Corporation berkembang di bawah pimpinan Tan Sri, sehingga mampu memiliki 280 buah anak syarikat dengan aset berjumlah RM14 bilion pada tahun 2009.

Pada tahun 2006, Johor Corporation melalui anak syarikatnya, Kulim (Malaysia) Bhd berjaya membeli jenama ayam goreng antarabangsa KFC. Ikuti siri pertama penulisan ini untuk mengetahui latar belakang beliau dengan lebih lanjut.

Pada kali ini, saya ingin bercerita tentang perkara yang sedang diusahakan oleh Tan Sri Ali Hashim ketika ini – iaitu Waqaf Korporat.

Bukan waqaf biasa

“Saya bertanya kepada seorang pensyarah UIA, katanya waqaf ini berputar-putar. Ianya boleh membangunkan ekonomi negara. Sangat hebat!” Cik Puan Roziyah memulakan bicara tentang waqaf.

Sebelum itu beberapa kali, Tan Sri menyebut tentang waqaf bisnes dan waqaf korporat.

Tetapi, sungguh, saya tidak memahami apa yang dikatakan.

Seperti orang Melayu lain, apabila disebut waqaf, hanya tanah terlintas di fikiran. Waqaf tanah untuk masjid, madrasah, tanah kubur. Itu sahaja, tidak lebih.

Tetapi ternyata, apa yang disampaikan oleh Tan Sri adalah sangat berbeza dengan apa yang ada di kepala.

Hasil akhir

“Jadi apa hasil akhir kita nak?” tanya Tan Sri. “Macam awak kata tadi ubah sistem ekonomi.”

“Macam sekarang, sistem ekonomi kita adalah sistem ekonomi barat. Dengan bank, konsep syarikat, semuanya diperkenalkan oleh barat.

“Masalah dengan sistem sekarang yang kaya bertambah kaya. Yang miskin semakin miskin. Yang kaya tu tak ramai, hanya 10%. 10% ini memegang kekayaan sebanyak 90%. Orang barat tetap senang.”

“Sikap anti bisnes, meragui bisnes tidak membantu. Sampai bila-bila tak akan dapat mengejar.”

“Harta orang Melayu yang sedikit semakin terlepas tangan. Sebagai contoh rumah-rumah di Taman Tun (TTDI) dahulunya dibeli oleh orang Melayu. Apabila sampai ke generasi anak, ianya akan dijual.”

“Kadang-kadang anak pun kaya, tetapi oleh kerana dia tidak duduk rumah ini, dia akan jual. Dia mahu duduk rumah sendiri. Tetapi anak-anak biasanya tidak ramai yang kaya.”

“Dahulu ayah beli rumah ini pada harga RM250 ribu. Sekarang sudah jadi sejuta. Anak 5 orang, jual. Jual kepada siapa? Highest bidder. Yang berduit, kemungkinan besar kepada bukan Melayu. Kawasan Melayu semakin merosot, semakin merosot.”

Kebocoran harta

“Hari ini harta kekayaan orang Melayu di bandar tak sampai 10%, hanya 8%. Baik rumah, industri, hotel. Ini mengikut statistik seluruh negara. Di Kuala Lumpur, andai tiada bangunan kerajaan atau GLC, langsung tiada (bangunan Melayu).”

“Kita harus mencipta formula supaya harta orang Melayu tidak terlepas tangan. Dijual kepada orang lain. Kita tidak ada kemampuan membeli, kita akan terlepas tangan.”

“Tengok Kuala Lumpur, bangunan pencakar langit. Naik macam cendawan selepas hujan. Siapa punya?”

“Bukan sahaja di Kuala Lumpur. Perkara ini nanti akan berlaku di Shah Alam, Bangi.”

“Kebocoran ini juga berpunca daripada kelemahan kerajaan. Contohnya, dasar penswastaan. Walaupun diberi kepada Melayu pada mulanya, akhirnya terlepas tangan. Macam MAS.”

“MAS dipegang oleh anak Melayu sekejab. Sekarang ke mana MAS?”

“Hospital Pantai pada mulanya dimiliki oleh anak Melayu kemudiannya dibeli oleh orang Singapura. Khazanah terpaksa membeli balik aset ini dari Singapura dengan bayaran beberapa bilion ringgit. Seperti saya katakan tadi, penswastaan mengikut kaedah barat adalah salah satu punca kebocoran.”

Waqaf korporat

“Dalam bisnes, jihad bisnes boleh dimulakan di peringkat individu. Kemudian, jihad bisnes harus dimulakan di peringkat negara. Hak milik aset kena terus dipegang, jangan dilepaskan. Waqaf adalah penyelesaian kepada situasi ini.”

“Harta waqaf dari hukum syarak bermaksud menyerahkan hak milik harta kepada Allah SWT. Kita cuma mengurus sebagai khalifah, wakil, pemegang amanah.”

“Islam mengiktiraf kekayaan memang dari Allah SWT. Tetapi Allah tidak menidakkan kita ada harta masing-masing. Turki sangat kaya dengan waqaf. Andai anda pergi umrah, di Arab Saudi ada menara jam Kaabah dan kompleks besar yang disewa oleh 4 hingga 5 buah hotel antarabangsa.”

“Jam besar ini adalah waqaf Raja Abdul Aziz. Waqaf korporat. Tanah juga diwaqafkan untuk membina hotel dengan orang menyewa di dalam. Duit hasil penyewaan adalah duit waqaf. Bukan duit peribadi.”

“Sebahagiannya digunakan untuk fakir miskin. Sebahagian lagi pula untuk labur semula. Untuk bina kompleks yang lain.”

Waqaf bisnes di Malaysia

“Di Malaysia sudah ada waqaf seperti itu.”

“Istilah Waqaf Korporat sudah didaftarkan sebagai harta intelek. Kenapa daftar? Kami hendak elakkan orang menggunakan istilah waqaf korporat, tetapi melalui kaedah lain. Nanti pening.”

“Harta intelek ini sudah diserahkan kepada Awqaf Holding Berhad. Awqaf adalah waqaf korporat yang sedang dibina oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

“Saya ada beberapa pengalaman membina waqaf korporat.”

Waqaf An-Nur Corp

“Saya tubuhkan Waqaf An-Nur Corp pada tahun 2006-2007. J-Corp mewakafkan sebahagian saham mereka daripada 3 buah anak syarikat iaitu KPJ Healthcare, Kulim (yang memegang KFC) dan sebuah lagi anak syarikat berjumlah RM250 juta. Pada akhir 2015, saham yang sama sudah menjadi RM525 juta. Sudah menjadi 2 kali ganda dalam tempoh 10 tahun.

“Apabila sudah mendapat dividen, pendapatan saham, Waqaf An-Nur melabur semula, membeli aset-aset lain. Jumlah semua harta, termasuk modal yang sudah berkembang adalah 780juta.”

“Mesejnya apa? 10 tahun dahulu, harganya 250 juta. Apabila ekonomi dan bisnes berkembang, harta itu boleh menjadi 3 kali ganda.

“Sama juga dengan tanah di TTDI sudah berlipat berkali ganda. Bezanya di sini tanah di TTDI sudah terjual kepada orang lain. Waqaf tidak boleh dijual. Kalau hendak dijual kena ganti dengan lebih baik. Ini prinsip waqaf.”

“Jadi RM780 juta tadi akan kekal lagi. Kita buat untung lagi melalui syarikat-syarikat, tambah nilai, satu hari nilainya boleh jadi 1 bilion-2bilion, InsyaAllah.”

“Wakaf ini dalam bentuk saham. Kenapa bukan tanah? Kerana dalam sistem kita, tanah waqaf akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam negeri.

“Dalam kes saham, kami boleh berunding dengan Majlis Agama Islam, dan diberi kuasa mengurus. Waqaf An-Nur, MAIJ sudah beri kuasa. Boleh urus atas nama sendiri.”

“Waqaf An-Nur ada program fi-sabilillah. Fakir miskin. Dalam laporan tahunan semuanya ditulis.”

“Waqaf An-Nur menerima pendapatan daripada dividen dan kenaikan kapital. Selain itu ia buka pintu agar orang lain boleh mewaqafkan duit dan tanah.

Awqaf Holding Berhad

“Sekarang saya, Hafiz, dan kawan-kawan lain sedang menjayakan satu lagi waqaf peringkat nasional. Kita tubuhkan Awqaf Holding Berhad. Ini ditubuhkan oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Tujuan adalah untuk menggalakkan orang Islam berwaqaf. “

“Profesional, jurutera, penulis, wartawan mahu waqafkan ruang untuk Awqaf pun boleh. Kita sudah lancarkan selama 3 tahun (ketika temuramah diadakan). Kita sudah kutip 1.6 juta duit waqaf daripada ahli. Kami sedang mengusahakan projek melabur dan membina di Putrajaya. Setakat ini kami sudah berjaya membeli tanah seluas 2.2 ekar berhampiran Masjid Besi.”

“Kita mahu bina satu kompleks, Hafiz sudah buat kira-kira, nilai pembangunan kasarnya (Gross Development Value/ GDP) berjumlah RM373 juta. InsyaAllah daripada RM373 juta ini, kalau berjaya majukan, kita jangkakan RM50-60 juta untung daripada pembangunan hartanah. RM50-60 juta ini akan jadi harta milik Awqaf.”

“Jadi ini adalah projek bangun dan jual?” saya meminta kepastian.

Develop and sell ini, satu bahagian kita pegang sebagai waqaf. Pada peringkat awal sebahagian akan dijual sebagai modal. Tetapi apabila ada 50-60 juta tak semestinya dijual.”

“Kita akan pegang aset kekal satu. Mungkin apabila sudah berjaya kelak dengan modal 100-200 juta, bina rumah untuk disewakan. Ini kena ada modal asas. Kami sedang mengumpul modal asas.”

“Dalam Awqaf, orang ramai boleh jadi ahli. Yuran ini kelak akan diwaqafkan. Waqaf adalah ibadah khas untuk orang kaya berharta. Apabila berwaqaf dapat pahala.”

Konsep waqaf

“Dalam sadaqah apabila kita beri RM10, ianya akan habis. Esok minta lagi.”

“Waqaf buat lebih lagi. Apabila diberi RM150 atau RM10 ribu, waqaf korporat akan menggunakan modal itu untuk melabur. Untungnya baru diagihkan kepada orang susah, untuk sadaqah dan jariah.

“Dalam waqaf, benih dibiarkan tumbuh menjadi pokok, lalu diberi buah. Sedeqah pula bermakna, memberi benih.

“Sebahagian diberi kepada orang miskin. Sebahagian lagi pula dilabur semula. Ini konsep waqaf korporat.”

“Apabila membesar, membesar, satu hari nanti waqaf kita boleh tebus beli rumah di Taman Tun. Kita bayar pada harga komersil. Nanti kita pegang. Ini akan menyelesaikan masalah hak milik bocor.”

“Apabila ada waqaf ini kelak keutamaan kami adalah untuk tidak menjual. Tetapi kena ada pendapatan. “

“Pada masa sekarang, orang berpendapatan RM2000, bayar bank RM1200 sebulan untuk rumah. Baki tinggal RM800 untuk bayar kereta, anak lagi. Terpaksa beli rumah cepat-cepat kerana takut harga naik lagi. Tak terkejar.”

“Dengan waqaf kita boleh bina rumah sewa. Sewakan RM600. Penyewa boleh jimat RM600 untuk beli rumah kemudian hari. Apabila dia keluar, orang baru boleh masuk. Tidak perlulah gila pinjam bank, buat 3 kerja sampai pening kepala. Isteri pun kerja. Sampai tiada masa untuk anak.”

“Paling penting harta ini kekal, tidak terlepas, masih dalam tangan orang Islam. Satu lagi Awqaf nak perjuangkan apabila ada aset yang kerajaan mahu swastakan, waqaf yang beli, mampu beli. Kerajaan dapat duit, harta itu juga tak terlepas.

“Kalau ikut sistem kapitalis yang ada, semua orang berebut-rebut. Habis harta dijual.”

Di mana dapat idea?

“Dalam dewan sedang berfikir-fikir, seorang Pak Arab tanya, mana dapat idea. Waqaf korporat ini memang belum pernah ada, idea baru.

“Institusi waqaf ini sebenarnya sudah ada lama dalam Islam. Cuma untuk orang Melayu, waqaf ni dikaitkan dengan tanah kubur, masjid, madrasah. Ini tiada masalah. Buatlah. Buat lebih banyak.

“Cuma kita fikir bagaimana untuk gunakan konsep waqaf dalam bisnes. Ada sahaja yang sanggup tak kaya, makan gaji, demi untuk menjayakan waqaf. Ramai.

“Lihat mereka yang kerja GLC, berbilion (harta GLC). Tengok Khazanah, Petronas. Mereka bukan ada hakmilik saham pun dalam syarikat besar-besar tu. Sime Darby, Guthrie. Semua kerajaan punya.

“Jadi maknanya, akan ada orang Islam yang sanggup berkhidmat lebih-lebih lagi kalau dia niat berjihad, berinfak. Menjayakan (waqaf) sampai berjaya di peringkat antarabangsa esok.

“Cita-cita kita dalam Awqaf insyaAllah dalam 3-4 tahun ini hendak cari harta sehingga RM100 juta ringgit. Duit tak ada ni. InsyaAllah Allah akan lorongkan dari 100 juta ini jadi 1 bilion.

Pengalaman di KFC

“Sekarang ini kita beli, beli, tak lepas. Beli, tak lepas. Orang Melayu ni jual, jual, lepas. Habis.”

Perkara ini mengingatkan saya kepada kisah KFC di Malaysia. Pada masa sama, teringat kisah anak-anak Melayu suka sangat menjual tanah ibu bapa apabila mereka tiada kelak.

Lalu saya bertanya bagaimana Tan Sri, melalui Kulim dapat memegang jenama KFC pada tempoh yang lama.

“Memang itulah tujuannya, saya berperang, ambil alih. Setahun nak tangkap ayam iaitu pada tahun 2006-2007. Pada tahun 2006 itulah saya tubuhkan Waqaf An-Nur. Niat saya itu Allah lorongkan supaya kita boleh ambil alih syarikat seperti KFC dan Pizza Hut. Bukan setakat KFC di Malaysia, tetapi juga di Singapura, Brunei, Kemboja. Di Singapura, mana lagi jenama yang sediakan makanan halal. Sampai ke India, kita kembangkan KFC.

“Jadi mengikut prinsip jihad bisnes, kita lawan. Alhamdulillah kita menang. Dapat ambil alih KFC.

“Kemudian malangnya disebabkan sistem politik kita, pemimpin politik kita ada dasar penswastaan. Atas sebab-sebab tertentu, mereka nak swastakan KFC. Itu saya pantang.

“Saya tak ada kuasa politik yang saya boleh tentang. Akhirnya saya terpaksa letak jawatan. Dalam buku saya, Strategi Jihad bisnes, saya ada cerita tentang ini.

Buku Strategi Jihad Bisnes tulisan Tan Sri Ali Hashim. Dapatkan di sini.

“Dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah Johor Corporation pada 28 Oktober 2010, saya tinggal 6 bulan lagi kontrak. Saya tahu Lembaga Pengarah Johor Corporation ada niat dan cadangan nak swastakan KFC.

“Saya tak setuju, saya tentang. Ini kerana tujuan saya adalah supaya bukan setakat KFC tetapi Johor Corporation diwaqafkan. Bayangkan, Johor Corporation mempunyai 280 buah syarikat dengan nilai harta lebih 14 bilion ringgit.

“Bilion, tambahan 3 kosong berbanding juta. Dalam Bahasa Melayu pun tiada lagi.

“Interpretasi saya, banyaknya duit sampai biol kepala you nak mengira harta kekayaan.

Kami tergelak mendengar usikan Tan Sri.

“Soalnya, itulah dia. Oleh kerana saya tidak bersetuju dengan cadangan Johor Corporation untuk menswastakan, saya terpaksa meletakkan jawatan serta merta pada mesyuarat Lembaga Pengarah pada 28 Oktober 2010.

“Apabila saya letak jawatan, NGO di Kuala Lumpur pun bangkit, menentang.”

“Ketika ini nama pembeli-pembeli pun sudah ada. Keluar di surat khabar pada bulan November.

“Oleh kerana NGO bangkit menentang, kerajaan Johor tidak jadi swastakan. Dia buat kaedah lain. Ini tidak mengapalah.

“Saya menentang bukannya tanpa alternatif. Swasta, boleh diswastakan. Cuma bukan kepada individu. Sebaliknya kepada seluruh umat Islam, iaitu melalui waqaf.

Manfaat

“Jadi apabila waqaf, anak cucu kita kekal mendapat manfaat. Kalau beri seorang, seorang sahaja akan kenyang. Esok apabila dia mati, anak akan jual. Sekarang saya nampak, belum mati pun sudah dijual. Inilah yang dah berlaku kepada MAS, Pantai Holding, FGV dan lain-lain.

“Pada zaman Rasulullah, Saidina Uthman mewakafkan telaga. Dalam satu ketika, Saidina Umar mendapat harta, lalu ditanya kepada Rasulullah, ‘Ya Rasulullah banyak harta ini, apakah yang terbaik?’, Rasulullah menjawab waqaf.

“Kita sudah lupa semua. Lupa jihad. Lupa waqaf. Sebab itu kita teruk, kalah. Masing-masing hendak mengejar kepentingan peribadi.

“Waqaf tiada kepentingan peribadi. Harta kekayaan bukan kita punya. Allah punya. Kita cuma penjaga.

“Dalam Islam kita boleh ada harta peribadi. Islam bukan kata tidak boleh. Jadi sebab itu apabila curi harta orang lain, dipotong tangan. Cuma jangan himpun sampai orang lain tiada. Himpun pun diagih-agihkan.

“Jam besar Kaabah itu adalah waqaf. Semasa Islam memerintah, Taj Mahal itu juga adalah harta waqaf. Tetapi apabila terlepas kepada kuasa British di India, semuanya habis.

“Masjid di Turki yang besar-besar itu pun dulu semuanya waqaf. Ini juga berlaku di Eropah. Umat Islam dahulu kaya raya.

“Sekarang apabila miskin bagaimana hendak bina semula? Jawapannya adalah bisnes.

“Kaitkan dengan jihad. Orang Cina menggunakan Art of War oleh Tsun Zu. Dia guna itu, sebab itu dia kuat.

“Kita, gunakan hikmah tokoh-tokoh besar sepert Saidina Ali, Saidina Umar, Khalid Al Walid, Sultan Muhammad al-Fateh menawan Konstantinople. Gunakan kaedah mereka. Dalam bisnes, kita tak bunuh siapa-siapa, bawa manfaat pula tu.

“Pucuk pangkalnya, 9/10 kena masuk bisnes. Mudah-mudahan apabila berjaya, dia waqaf dan menggunakan harta untuk kebaikan.

Bagaimana waqaf mengubah sistem ekonomi

“Hari ini ramai meminjam bank, jatuh miskin. Mati dalam hutang, hidup pun dalam hutang.”

“Sistem bank dicipta oleh barat. Cuba tonton cerita The International. Mesej utamanya, matlamat bank bukan sekadar beri pinjaman dan buat untung duit.

“Tetapi visi mereka adalah menghamba abdikan orang ramai agar bergantung kepada bank dan terikat seumur hidup. Bank akan berterusan mendapat duit. Kita bekerja keras membayar pinjaman kepada dia.

“Bayangkan 1 hingga 2 juta orang terperangkap begini. Bank semakin kaya. Kita semakin miskin.

“Barat tidak tahu hendak buat apa dengan bank. Kerana bank terlalu besar, tidak boleh gagal, kena dijaga. Apabila bank tumbang, kita tumbang. Seluruh sistem ekonomi tumbang.

“Di sinilah kepentingan jihad bisnes dan waqaf korporat. Matlamat jangka panjangnya adalah untuk mengubah sistem. Supaya ada ciri-ciri Islam dipanggil, nilai-nilai rabbaniyah.

“Rabbaniyyah ini apa? Islam mengiktiraf harta kekayaan ini adalah hak milik mutlak Allah.

“Sistem yang kita amalkan adalah sistem kapitalis yang menekankan hak milik mutlak individu. Ini yang bercanggah.

“Seluruh dunia Islam terima kapitalis. Sebab itu kita konflik kerana miskin semakin miskin, kaya bolot semua. Umat Islam lebih sensitif bab ni.

“Orang barat tak kisah. Kata mereka kau miskin sebab kau tak berusaha. Umat Islam kata harta orang kaya, orang miskin ada hak. Kalau kita tak ubah, sampai bila-bila konflik.

“Penting untuk orang bisnes fikirkan kerana apabila dia masuk ke dalam gagasan jihad bisnes, selain dia jayakan bisnes, dia akan usahakan waqaf. Apabila waqaf, semua dapat, ramai-ramai. Umat Islam dapat naik dengan sistem lebih adil.

“Sekarang umat Islam tiada alternatif. Kita tiada idea untuk perbaiki sistem yang zalim. Jadi kita hilang pegangan. Terpaksa ikut.

“Kita kena fikir sendiri penyelesaian baru, tetapi tidak perlu pun cipta sistem yang baru.

“Zaman Rasulullah, Saidina Umar, Saidina Usman, waqaf sudah pun wujud. Cuma kita tak kaitkan dengan kehidupan sekarang.

“Orang zaman sekarang kaitkan ibadah dengan akhirat sahaja. Dalam Al-Quran dengan jelas dinyatakan, bagi tumpuan kepada akhirat tetapi jangan lupakan tempat kita di dunia. Kita adalah khalifah di muka bumi.

Pesanan kepada pembaca Vocket

Apabila ditanya apakah pesanan terakhir kepada pembaca Vocket, Tan Sri menjawab seperti di bawah.

“Jihad bisnes, waqaf korporat. Jayakan. InsyaAllah. Bina bisnes jangan lari dari landasan apa yang diajar oleh Islam.

“Orang Melayu tak boleh berjaya tanpa berpegang pada Islam. Pegang betul teguh-teguh. Bukan ikut suka hati. Hari ini kita tipu, rasuah, bergelumang sekejab dengan riba’. Tak boleh. Kalau kita nak berjihad, ini adalah cabaran yang besar. Tetapi insyaAllah boleh dilakukan.

“Islam ajar kita bahawa harta kekayaan itu adalah sebagai alat. Dan lebih dari alat, dia adalah amanah.

“Amanah itu adalah supaya kita berjuang bebaskan umat Islam dari kemiskinan dan bergantung hidup kepada orang lain. Kaedah yang paling baik adalah bisnes.

“Jangan lupa akhirnya ia satu sunnah Rasululllah SAW yang sangat besar. Sunnah inilah yang membina kekuatan umat Islam yang ketika itu merupakan umat minoriti di Madinah. Ekonomi pula pada masa itu dikuasai oleh Yahudi.

“Dalam beberapa tahun, umat Islam sudah menjadi antara umat paling perkasa bukan sahaja dalam bidang politik, tetapi juga ekonomi.

“Saya yakin kalau kita balik kepada konsep ini, berjuang atas dasar jihad dan waqaf diutamakan, di samping tidak mengenepikan keperluan individu, usaha kena jalan, bisnes kena bangkit atas dasar individu dan peribadi. Kena ada individu yang kaya.

“Tetapi kena pastikan apabila bisnes membesar, harta kekayaan tidak dipegang oleh orang-orang kaya sahaja. Dalam Al-Quran jelas dinyatakan, jangan biarkan harta kekayaan itu berputar di kalangan orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu. Surah Al Hasyr ayat ke 7.

Dalam surah Al Saff ayat ke 4 pula ditulis, “Sesungguhnya Allah SWT itu menyukai orang yang berjihad di atas jalannya seolah-olah bagai satu bangunan yang disusun kukuh.”

Ini bermakna, Allah menyukai orang Islam berjihad dalam cara yang berstrategi, punya organisasi. Mungkin strategi terbaik adalah dengan mewakafkan harta bersama.

“Individu, kejarlah kekayaan individu tetapi jangan lupa berpakat menggembleng tenaga, usaha, sumber kekayaan supaya kepentingan bersama diperjuangkan menerusi badan-badan waqaf.

“Kita hendak masyarakat, individu, keluarga yang kaya raya ke depan supaya tidak lupa zakat, sadaqah, infak, juga waqaf.

“Waqaf juga insyaAllah boleh kekalkan hak milik umat bukan sahaja dimiliki oleh individu, malah waqaf terjamin memelihara kepentingan orang miskin, berpendapatan rendah juga yang paling penting anak cucu kita.

“Berbisnes nanti nak ambil sumber modal dari mana? Kalau pinjam dengan bank esok terhutang sampai ke tua.

“Waqaf ini boleh digunakan sebagai sumber modal. Sebagai contoh Waqaf Annur Johor. Pada tahun lepas, 319 orang peniaga mendapat manfaat daripada pinjaman qardul hassan sebanyak RM300 sehingga RM2000 selama 2 tahun tanpa bayar faedah. Dia bayar balik apa yang dia pinjam. Dan apabila dia bayar balik, wang ini kita pusingkan untuk beri pinjaman kepada peniaga yang lain.

“Inilah kekuatan waqaf dan contohnya sudah ada.

“Saya harap dan menyeru kepada usahawan berjaya, apabila berada di atas landasan jihad bisnes, akan sama-sama menjayakan waqaf korporat.

“Bukan sahaja untuk menebus kembali kekuatan ekonomi bangsa Melayu dan umat Islam tetapi dalam beberapa dekad akan datang, untuk mengembalikan peranan kita sebagai antara khalifah di muka bumi. Seperti yang diwajibkan kepada semua umat Islam.

“Apabila menjadi khalifah esok, ianya bukan sahaja untuk memegang kuasa, tetapi lebih penting adalah untuk mentamadunkan dunia dengan nilai-nilai baik, positif dan manfaat ini bukan setakat untuk umat Islam tapi seluruh manusia.

“Terima kasih,” ujar Tan Sri, menutup perbualan.

“Terima kasih Tan Sri,” sambut saya, dengan hati penuh semangat dan terharu.

Tamatlah sudah pertemuan kami ketika itu. Ternyata dalam 3 jam, terlalu banyak benda saya pelajari. Saya doakan agar Tan Sri diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus berjuang untuk anak bangsa dan negara.

Saya doakan agar apa yang saya dapat pada hari itu kekal di dalam akal dan hati. Saya doakan juga Tuan Puan yang membaca mendapat manfaat daripada perkongsian ini.

Jangan lupa baca artikel Siri 1: 3 Jam Bersama Tan Sri Ali Hashim, Saya Belajar Benda Penting Ini Tentang Bisnes dan Siri 2: 3 Jam Bertemu Tan Sri Ali Hashim, Apa Saya Belajar Daripada Beliau Tentang Jenama.