Vaksin COVID-19 bakal diberikan secara percuma kepada seluruh warga asing yang menetap di negara Malaysia.

Perkara itu diumumkan melalui satu kenyataan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di laman Twitter beliau.

“Kabinet telah memutuskan bahawa warga asing yang tinggal di Malaysia akan menerima vaksin COVID-19 secara percuma di bawah Program Imunisasi Nasional.

“Ini akan merangkumi diplomat, ekspatriat, pelajar, pasangan suami isteri serta anak yang berstatus warga asing, pekerja asing serta individu yang mempunyai kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR),” jelas beliau.

Selari dengan tema Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ serta menerusi pendekatan ‘tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat’, keputusan pemberian vaksin secara percuma kepada golongan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor.

Antara faktor tersebut ialah persekitaran selamat serta bebas COVID-19 boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk Malaysia diberikan vaksin. Selain itu, pemberian vaksin merupakan salah satu langkah berperikemanusiaan dalam tempoh pandemik ini.

Menurut kenyataan tersebut, selain faktor kos rawatan dan kuarantin pesakit COVID-19 yang tinggi akibat daripada jangkitan kluster pekerja asing, mereka juga sudah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara.

Tambahan lagi, mesyuarat kabinet turut mengambil kira layanan sebahagian negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara mereka.

Keputusan pemberian vaksin secara percuma itu juga dibuat memandangkan bekalan vaksin COVID-19 yang diperolehi Malaysia mencukupi serta melebihi jumlah rakyat Malaysia yang layak menerimanya.

Bagaimanapun, keutamaan pemberian vaksin COVID-19 adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu.

Ia juga selari dengan pendirian kerajaan bagi membentuk imuniti kelompok supaya dapat membendung pandemik COVID-19.

Di samping itu, JKJAV difahamkan akan berbincang secara lanjut mengenai kaedah pemberian vaksin secara menyeluruh kepada seluruh warga asing di Malaysia melalui kerajaan negeri, kedutaan asing serta agensi badan bukan kerajaan (NGO).

Baca perkongsian kami yang sebelum ini mengenai gelagat netizen Facebook yang tidak percaya kepada vaksin COVID-19 melalui pautan di bawah.

‘Tidak Mahu Dan Sila Cucuk Menteri Dahulu’- KJ Kongsi Gelagat Netizen Facebook Tidak Percaya Vaksin

Giliran Ulama Islam Pula Dakwa Vaksin COVID-19 Mampu Ubah Orang Jadi Gay

Ingin Memerangi Stigma Terhadap Vaksin, Pasangan Doktor Ini Adakan Pertandingan Pengucapan Awam

Sumber