Seorang warga Malaysia tinggal di Jepun, Kamal Zharif membuat perkongsian di akaun Facebook dan Twitter miliknya bahawa dia ada menyediakan pakej menyewa rumah teresnya kepada rakyat Malaysia yang ingin melancong di Tokyo, Jepun.

“Sesiapa yang ingin datang atau melancong ke Tokyo, Jepun dan membayar hanya 1,500-2,000 Yen (RM48.13 hingga RM64.17) semalam, boleh datang ke tempat saya,” tulisnya di akaun Twitter miliknya bersama gambar bilik.

Baca Juga:

Lokasi ini sesuai untuk 3-5 orang dan setiap bilik hadir dengan tikar tatami dan tilam yang selesa. Walaupun biliknya kecil, ia dijamin sangat bersih dan selesa sama seperti bilik MUJI Hotel, tetapi ini jauh lebih murah.

Selain itu, Kamal juga menawarkan kemudahan 2 peti sejuk untuk menyimpan makanan konbini (serbaneka) dan ruang dapur kecil di mana boleh memasak atau memanaskan semula makanan jika perlu.

Lokasi rumah ini bukan berada di tengah-tengah bandar Tokyo tetapi terletak di Urayasu, sebuah bandar di Wilayah Chiba, yang mengambil masa 30 minit perjalanan kereta api ke stesen kereta api Tokyo.

Sebenarnya perjalanan 30 minit menaiki tren di Tokyo pastinya tidak terasa kerana anda boleh layan pemandangan indah yang ada di sepanjang laluan. Ini merupakan lokasi yang sesuai sekiranya anda mahu melawat Disneyland Tokyo dan Tokyo DisneySea.

Bukan itu sahaja, pengangkutan awam juga tidak terlalu jauh, berdekatan dengan stesen Kasai di Laluan Tokyo Metro Tozai dan mempunyai bas direct ke Lapangan Terbang Narita.

Kamal Zharif berkata dirinya tidak menyangka perkongsiannya itu menerima perhatian ramai terutamanya di Twitter. “Tak sangka ramai yang berminat untuk sewa rumah ini. Hinggakan saya perlu luangkan satu hari untuk jawab kesemua pertanyaan dan booking mereka yang betul-betul berminat untuk menginap di rumah ini,” katanya.

Dengan Jepun tidak lagi mengenakan visa dan sekatan kepada pelancong, pastinya ini antara lokasi terbaik untuk anda ke Jepun nanti. Mana tidaknya, harga yang ditawarkan sangat murah jika dibandingkan dengan tempat tinggal lain yang ada di sana.

Hubungi terus saudara Kamal Zharif di sini jika anda mahu menginap di sini. Selamat melancong!