Seorang lelaki dari Singapura, dikenali sebagai Xie, baru-baru ini berkongsi kisah bagaimana beliau tidak sengaja menjadi seorang hero apabila menyelamatkan lima remaja warga Malaysia lemas ketika bercuti di Desaru pada 9 September lalu.

Dalam satu temu bual bersama Xie, beliau menceritakan semula bagaimana semasa bercuti membawa dua anak perempuan mereka ke kawasan peranginan pantai Johor sempena cuti persekolahan.

Baca Juga:

Mereka sekeluarga berhasrat untuk melawat Adventure Waterpark Desaru Coast, tetapi mereka sampai sebelum pusat peranginan itu mula beroperasi. Jadi Xie membuat keputusan untuk ‘membuang masa’ dengan berjalan lebih jauh dan bersiar-siar di sepanjang Tanjung Balau yang mengambil masa 45 minit dari pusat peranginan itu.

Mereka berjalan di atas jambatan di Tanjung Balau kira-kira jam 8.40 pagi sebelum terdengar satu bunyi kekecohan. Kemudian, isteri Xie, Li, memberitahu Shin Min Daily News bahawa beliau melihat sekumpulan besar 30 hingga 40 orang berkumpul di pantai sambil menjerit.

Sumber Gambar: Asia One

Kemudian beliau ternampak lima atau enam remaja di laut dari jauh tetapi pada mulanya menganggap mereka hanya bermain-main. Bagaimanapun, beliau mula menyedari keadaan itu menjadi semakin serius apabila beliau ternampak salah seorang daripada kumpulan remaja itu hilang tenggelam di dalam air.

“Kami melihat tiada sesiapa yang berdiri di tepi pantai melakukan apa-apa, jadi suami saya menanggalkan bajunya dan terus terjun ke dalam air untuk menyelamatkan mereka,” kata Li.

Tiga remaja perempuan di dalam air berpegang pada pelampung, manakala dua lagi sedang lemas — seorang lelaki dan seorang perempuan — terpisah daripada kumpulan itu. Xie berenang ke arah mereka dan menarik mereka kembali ke arah pantai.

Kemudian, sekumpulan pelajar telah mendapatkan bot dan menggunakan papan kayu untuk dijadikan sebagai ‘pendayung’ dalam usaha mereka untuk mendapatkan remaja itu. Dengan bantuan tersebut, mereka berjaya menarik dua remaja itu masuk ke dalam bot.

Xie kemudian berenang kembali ke arah tiga gadis yang berpegang pada pelampung dan menarik mereka ke bot. Xie turut membantu menarik bot itu kembali semula ke pantai.

Sumber Gambar: Asia One

Anggota penyelamat kecemasan kemudian tiba dan menghantar budak lelaki itu ke hospital. Xie kemudian mendapat tahu daripada salah seorang remaja yang diselamatkan, terdapat ada seorang lagi gadis dalam kumpulan itu yang hilang.

Xie kemudian berasa serba salah dan sangat kecewa kerana dia sepatutnya menyelamatkan mereka lebih awal lagi.

Terdahulu, mayat gadis remaja berusia 13 tahun ditemui pada tengah hari 9 September, hari sama kejadian. Menurut portal The Star, dua remaja berusia 12 dan 14 tahun tidak sedarkan diri ketika diselamatkan dan menerima rawatan pernafasan daripada anggota penyelamat sebelum dibawa ke klinik berhampiran. Tiga lagi mangsa yang terselamat turut dihantar ke klinik selepas itu.

Mayat Nurish Qhalisya Suhailizam ditemui oleh penyelamat kira-kira 50m dari tempat dia dilaporkan hilang | Sumber Gambar: Nst.com.my

Menurut penduduk tempatan yang berbual dengan pasangan itu berikutan kejadian itu, kawasan itu telah menyaksikan beberapa kes lemas dan pengunjung pantai di sana biasanya bukanlah seseorang yang pandai berenang di lautan.

Seorang individu memberitahu Xie dan Li bahawa sebelum ini ada seorang meninggal dunia selepas cuba menyelamatkan seorang perenang yang sedang lemas.

Li menambah bahawa laut boleh berbahaya kerana arus bawah yang kuat. beliau berkongsi bahawa Xie pernah bermain polo air dan merupakan perenang yang kuat, itulah sebabnya beliau tanpa teragak-agak melompat masuk ke dalam laut untuk menyelamatkan semua mangsa yang lemas.

Sumber