Membasahkan diri di taman tema air pada musim panas memang syok! Tapi seperti yang kita tahu, amat jarang taman tema air yang memberikan akses khas buat golongan kurang upaya atau OKU ni. Oleh itu, tahniah diucapkan kepada Morgan’s Inspiration Island yang terletak di San Antonio, Texas kerana berjaya menjadi taman tema air pertama di dunia yang dibuka khas untuk golongan istimewa.

Telah dibuka sejak 17 Jun yang lalu dengan bertemakan tropika, Morgan’s Inspiration Island menawarkan 6 tarikan utama buat pengunjungnya seperti menaiki bot, bermain meriam air, splash pad dan banyak lagi. Semuanya tersedia dengan sistem yang membolehkan ianya diakses oleh golongan kurang upaya dengan mudah.

Walaupun ianya dibuka khas untuk golongan upaya, Morgan’s Inspiration Island tetap menawarkan pengalaman penuh seperti taman tema air yang lain. Bezanya, di sini golongan kurang upaya juga boleh berseronok seperti orang lain. Paling menarik, golongan kurang upaya sangatlah dialu-alukan untuk datang ke sini secara percuma!

Gordon Hartman selaku pengasas kepada Morgan’s Inspiration Island berkata, matlamat beliau adalah untuk memberikan pengunjungnya satu pengalaman yang hebat melalui persekitaran yang  inklusif, selamat, selesa dan tidak terlalu padat.

Selain dari menyediakan kemudahan kepada semua kategori OKU, antara ciri yang ditawarkan di sini ialah gelang yang boleh dikesan untuk memudahkan ibubapa mencari anak-anak mereka.

Terbaik!

Morgan’s Inspiration Island dengan kerjasama University of Pittsburgh telah memperkenalkan kerusi roda yang dicipta khas untuk kegunaan taman tema ini dipanggil PneuChair.

PneuChair lebih mudah dan selesa untuk digunakan, ianya menggunakan kuasa tekanan udara untuk berfungsi dan bukannya bateri. Untuk pengecasan semula, ia mengambil masa hanya selama 10 minit untuk isian penuh berbanding bateri yang perlu dicas sekurangnya 8 jam. PneuChair lebih menjimatkan dan paling penting kalis air.

Sumber