This is not a song for teenagers to drive around in and head bang.” Buat yang sudah menonton filem Bohemian Rhapsody, pasti ingat adegan ini apabila music executive untuk label EMI, Ray Foster menolak untuk menjadikan lagu Bohemian Rhapsody sebagai single terbaru untuk kumpulan Queen.

Namun adakah anda tahu ayat yang diucapkan oleh Ray ini sebenarnya homage untuk satu filem cult Hollywood yang dikeluarkan pada tahun 1992? Tahniah jika anda faham jenaka yang diucapkan oleh Ray Foster dan jika anda anda tidak faham, ianya adalah reference untuk filem epik Wayne’s World.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Waynes World poster
Poster filem Wayne’s World

Wayne’s World adalah filem komedi yang ditayangkan pada tahun 1992 yang diarahkan oleh Penelope Spheeris dan ditulis oleh Mike Myers (Austin Powers) dan Bonnie & Terry Turner (penulis That 70s Show dan 3rd Rock From The Sun). Filem ini mengisahkan pasangan duo Wayne Campbell (Mike Myers) dan Garth Algar (Dana Carvey) yang menjalankan siri TV persendirian (yang bersiaran langsung di rumah Wayne) yang mengupas tentang muzik rock yang kemudiannya mendapat perhatian stesyen television terkemuka pada ketika itu.

Filem Wayne’s World menjadi filem ke-8 dengan kutipan paling tinggi pada tahun 1992 di mana filem rock ini berjaya mengutip $183.1 juta; kutipan hebat untuk sebuah filem dengan bajet ‘kecil’ iaitu $20 juta.

Tiada siapa sangka filem yang menampilkan dua ‘kutu rock’ ini boleh menjadi satu fenomena pada tahun 1992. Filem ini menjadi lebih diingati apabila adegan permulaan Wayne’s World dimulakan dengan Wayne dan Garth memandu kereta sambil ‘layan’ lagu Bohemian Rhapsody bersama rakan mereka yang lain.

Adegan lucu ini menyebabkan lagu Bohemian Rhapsody melonjak naik ke tangga kedua carta Billboard ketika filem ini sedang panas di pawagam. Ianya satu pencapaian yang hebat kerana selepas 17 tahun, lagu berkenaan berjaya sekali lagi kembali ke tangga top 10 carta Billboard. Pada awalnya pihak produksi mahu menggunakan lagu Guns N’ Roses (kemungkinan lagu Welcome To The Jungle) tetapi Myers tetap mahukan Bohemian Rhapsody. Beliau turut mengugut tidak mahu terlibat dalam Wayne’s World jika lagu ini tidak dipilih.

Bercakap kepada Guitar World, gitaris Queen Brian May sangat menyukai tribute Wayne’s World untuk lagu berkenaan. “Saya tidak mengenali Myers tetapi beliau membuat panggilan kepada saya dan bertanyakan boleh atau tidak beliau mendapatkan kebenaran untuk menggunakan lagu Bohemian Rhapsody untuk filemnya?” terang May.

Untuk memenuhi permintaan Myers, May membawa potongan video berkenaan dan memperlihatkan video berkenaan kepada Freddie Mercury, yang pada ketika itu sedang bertarung nyawa melawan penyakit yang dihidapinya.

“Saya menunjukkan video berkenaan di katil Freddie dan beliau sangat menyukainya. Sangat menarik kerana lagak mereka memang sama seperti kami. Sebabnya bila kami mendengar sendiri lagu-lagu kami, kami akan jadi seperti mereka!” terang May yang nyata sangat menyukai adegan tersebut.

Freddie meninggal dunia beberapa bulan sebelum filem berkenaan dilancarkan di Amerika Syarikat dan merupakan satu tribute hebat buat penyanyi kumpulan Queen itu.

Disebabkan populariti Wayne’s World yang memuncak, sebuah muzik video baharu Bohemian Rhapsody dengan campuran klip daripada filem Wayne’s World dihasilkan oleh syarikat rakaman Queen. Myers tidak mengetahui tentang perkara itu dan risau jika kumpulan Queen ‘marahkan’ mereka kerana membuat kacau muzik video masterpiece daripada Queen.

Namun May baik-baik sahaja dengan muzik video baharu ini dan berterima kasih kepada produksi Wayne’s World kerana menjadikan Queen sebahagian dariapda filem berkenaan.

Namun muzik video Bohemian Rhapsody versi Wayne’s World ini nyata membawa tuah apabila memenangi anugerah “Best Video From A Film” di anugerah MTV Video Music Award. Brian May dan Roger Taylor mengambil anugerah berkenaan di pentas MTV dan berkata dengan penuh beremosi bahawa Freddie pasti gembira dengan kemenangan ini.

Begitulah betapa besarnya impak filem Wayne’s World kepada Queen sehingga diberikan tribute dalam filem Bohemian Rhapsody. Myers juga membuat kemunculan khas dalam filem Queen ini sebagai Ray Foster, pengarah muzik EMI yang tidak mahu mainkan lagu Bohemian Rhapsody!

Jika anda belum menonton filem Bohemian Rhapsody, silalah ke pawagam dan pilih panggung dengan sistem bunyi yang hebat. Walaupun mungkin ada fakta sebenar yang diubah dalam filem ini, tetapi disebabkan filem Bohemian ini sudah mendapat approval daripada kumpulan Queen, ianya jadi salah sebuah filem yang terbaik untuk tahun ini.

Jika anda belum menonton filem Wayne’s World pula, silalah mencarinya. Agak sukar untuk mencari filem ini pada ketika ini dan anda tanyalah sesiapa yang membesar pada tahun 1992, mereka pasti tahu tentang filem ini. Wayne’s World, Party Time. Excellent!