Beberapa negara sudah dikejutkan dengan kemunculan varian baharu COVID-19 yang dipanggil Omicron. Varian yang juga dikenali sebagai B.1.1.529 ini mula menyerang beberapa buah negara luar seperti Afrika Selatan, Botswana dan juga Hong Kong. Namun di negara kita, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Malaysia masih bebas daripada varian tersebut.

Bagaimanapun, bukan isu itu yang mahu dibincangkan. Isu yang menjadi persoalan orang ramai adalah kenapa Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tidak mengikut turutan abjad Yunani? Sesuai dengan kenyataan WHO sebelum ini, di mana nama setiap varian Covid diselaraskan dengan susunan abjad Yunani biasa.

Jika WHO bersikap konsisten, selepas Delta dan Mu, nama lain yang akan dipakai adalah “Nu” dan “Xi”. Ini telah menimbulkan spekulasi di media sosial, terutamanya penggunaan huruf Yunani ‘Xi’, adakah kerana nama itu akan menyerupai nama Presiden China Xi Jinping? Dan demi menjaga ‘hati’ China, WHO menukar pendirian mereka?

Mengikut rekod yang dikeluarkan oleh Kementerian Keselamatan Awam China, ia menunjukkan bahawa nama Mu dan Xi adalah nama yang digunakan oleh kebanyakan keluarga di sana. Boleh jadi WHO mahu mengelak terdapat konflik atau stigma terhadap negara China yang sebelum ini dituduh sebagai punca kepada penyebaran wabak COVID-19.

Teori lain yang beredar mengaitkan nama varian baharu COVID-19 adalah situasi politik antarabangsa. Jika Nu atau Xi masih digunakan, masyarakat dunia akan mengaitkan COVID-19 dengan Presiden China Xi Jinping.

Dalam satu kenyataan kepada pemberita, WHO menjelaskan bahawa ia melangkau “Nu” untuk nama varian kerana ia “terlalu mudah dikelirukan dengan ‘new'” dan “Xi” kerana ia adalah “nama keluarga.” WHO turut menjelaskan bahawa pada Mei 2021, badan kesihatan dunia itu sudah mengeluarkan kenyataan bahawa nama varian COVID-19 tidak boleh mempunyai kaitan dengan nama wilayah tertentu di dunia. Ini bagi mengelak sebarang diskriminasi dan stigma masyarakat kepada nama tersebut.

Menamakan sesuatu wabak dengan nama yang neutral sebenarnya telah menjadi panduan WHO sejak 2015. Ini bagi mengelak sebarang kesan negatif untuk “budaya, kebangsaan, wilayah, profesion, kepada kumpulan etnik tertentu.”

Selain itu, WHO juga mahu belajar dari kesilapan 2012 apabila menamakan varian virus SARS yang menular di Timur Tengah sebagai sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS). Ini menjadikan negara-negara di Semenanjung Arab terjejas oleh beberapa sekatan kerana telah mencetuskan ketakutan di pelbagai negara.

Bagaimanapun, komunikasi saintifik sememangnya penuh dengan cabaran dan apa yang telah dilakukan oleh WHO menunjukkan bahawa proses menamakan varian virus memerlukan pertimbangan yang teliti. Selepas ‘omicron’, apabila merujuk kepada abjad Yunani, masih terdapat huruf ‘pi’, ‘rho’, ‘sigma’, dan ‘tau’. Perlu dilihat apa yang akan dilakukan WHO seterusnya, memandangkan pelbagai abjad ini mempunyai kaitan dengan nama tertentu di dunia.

Ini sebab mengapa WHO istihar varian omicron sebagai sangat berbahaya pada ketika ini. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Ini Sebab Mengapa WHO Isytihar Varian ‘Omicron’ Sebagai Sangat Berbahaya Pada Ketika Ini

Mahu Kekang Penularan Varian Omicron, AstraZeneca Sedia Hasilkan Vaksin Terbaru

Sumber