Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menguji tiga ubat sebagai rawatan berpotensi untuk pesakit COVID-19 yang parah di 52 negara, termasuk Malaysia. Ketiga-tiga ubat – artesunate, imatinib dan infliximab – dipilih oleh barisan pakar bebas yang melihat potensi dalam mengurangkan risiko kematian pada pesakit COVID-19, lapor Al Jazeera.

Artesunate kini digunakan untuk rawatan malaria, imatinib untuk penyakit kanser tertentu, dan infliximab untuk penyakit sistem imun seperti penyakit Crohn dan rheumatoid arthritis. “Mencari terapi yang lebih berkesan dan mudah diakses untuk pesakit COVID-19 telah menjadi keperluan kritikal, dan WHO dengan bangga memimpin usaha global ini,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

WHO sebelum ini telah menyelesaikan fasa pertama percubaan yang disebut sebagai Solidariti pada tahun lalu. Badan kesihatan global itu telah bekerjasama dengan negara-negara di seluruh dunia untuk mencari rawatan yang berkesan untuk melawan coronavirus dan menilai kesannya terhadap kematian, tidak kira seberapa kecil.

Fasa percubaan baru ini pula melibatkan 600 hospital di 52 negara dan ribuan pesakit. Negara-negara yang mengambil bahagian dalam percubaan ini termasuk Kanada, Finland, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Terdahulu, empat ubat telah dinilai dalam ujian dengan hasil yang menunjukkan bahawa remdesivir, hydroxychloroquine, lopinavir, dan interferon mempunyai sedikit atau tidak mempunyai kesan kepada pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital.

Ujian ini diperluaskan ketika dunia sedang menghadapi gelombang pandemik baru, yang dipicu oleh varian Delta yang menular di beberapa negara termasuk Malaysia.

Artesunate

Artesunate dihasilkan oleh Ipca dan kini digunakan untuk merawat penyakit malaria. Dalam percubaan Solidariti, ia akan diberikan secara intravena selama tujuh hari, menggunakan dos standard yang disyorkan untuk rawatan malaria, kata WHO.

Imatinib

Imatinib dihasilkan oleh Novartis dan digunakan untuk merawat penyakit kanser tertentu. WHO mengatakan pesakit yang mengambil bahagian dalam ujian ini akan mengambil ubat secara makan, sekali sehari, selama 14 hari.

Infliximab

Dihasilkan oleh Johnson & Johnson, infliximab digunakan untuk merawat penyakit sistem imun. Untuk percubaan, ia akan diberikan secara intravena pada satu dos, berdasarkan dos standard yang diberikan kepada pesakit Penyakit Crohn dalam jangka masa yang panjang, kata agensi PBB.

WHO akui buat kesilapan, minta COVID-19 tidak dipolitikkan. Klik pautan di bawah untuk membaca.

WHO Akui Buat Kesilapan, Minta COVID-19 Tidak Dipolitikkan

WHO Kata Walaupun Ada Vaksin, COVID-19 Tidak Akan Hilang

WHO Yakin EURO 2020 Bakal Lahirkan Varian Baharu COVID-19, Minta Negara Eropah Jangan Degil

Sumber