Covid-19 kini tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global, umum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat.

Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, beliau mendapat saranan untuk menamatkan status Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC) dan bersetuju untuk menerima nasihat itu.

Perisytiharan itu juga merupakan satu langkah besar ke arah usaha menamatkan pandemik tersebut yang meragut nyawa lebih 6.9 juta penduduk dunia, menjejas teruk ekonomi global dan memusnahkan masyarakat, lapor Reuters.

“Semalam, Jawatankuasa Kecemasan mengadakan mesyuarat yang ke-15 dan menyarankan kepada saya supaya mengisytiharkan bahawa status Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC) sudah berakhir. Saya memutuskan untuk menerima nasihat itu.

“Oleh demikian, saya mengisytiharkan bahawa COVID-19 tidak lagi merupakan satu ancaman kesihatan global,” kata ketua WHO Tedros.

WHO sebelum ini mengisytiharkan Covid-19 sebagai darurat kecemasan awam pada Januari 2020, kira-kira enam minggu selepas virus tersebut melanda.

Status itu membolehkan masyarakat antarabangsa untuk memberi tumpuan kepada ancaman kesihatan itu, di samping mempertingkatkan kerjasama bagi menghasilkan vaksin dan rawatan.

Menarik balik status itu menandakan kemajuan yang telah dicapai dalam aspek-aspek tersebut, tetapi COVID-19 masih wujud, menurut WHO, sekalipun ia bukan lagi satu darurat.

Kadar kematian semakin merosot daripada paras kemuncak lebih 100,000 orang setiap minggu pada Januari 2021 kepada hanya lebih 3,500 dalam seminggu hingga 24 April, menurut data WHO.

Tahun lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan bahawa pandemik sudah berakhir. Seperti banyak negara lain, ekonomi terbesar dunia itu sudah mula menarik balik keadaan darurat COVID-19, yang bermakna ia tidak lagi akan membiayai perkara-perkara seperti vaksin.