Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

2026 merupakan tahun yang dinanti-nantikan oleh peminat sukan jentera Formula 1 (F1) apabila beberapa jenama kereta seperti Audi dan Porsche mengumumkan mereka bakal turut serta dalam siri kejohanan itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, baru-baru ini Porsche yang sebelum ini mengumumkan bakal menyertai kejohanan F1 bersama Red Bull, telah mengesahkan bahawa selepas beberapa bulan mereka berbincang — Porsche dan Red Bull memutuskan bahawa rundingan mereka tidak akan diteruskan lagi.

Memetik laman ESPN, Porsche berharap untuk mendapatkan 50% pegangan saham dalam Red Bull Technologies, syarikat induk pasukan perlumbaan, tetapi Red Bull ‘berat hati’ untuk melepaskan kawalan pasukannya.

Syarikat kereta dari Jerman berusia 74 tahun itu ada mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kegagalan perbincangan kedua-dua pihak.

“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Dr. Ing. h.c. F. Porsche AG dan Red Bull GmbH telah mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan kemasukan Porsche ke dalam Formula Satu. Kedua-dua syarikat kini bersama-sama membuat kesimpulan bahawa perbincangan ini tidak akan diteruskan lagi.

“Selalunya perkongsian akan berdasarkan kedudukan yang sama rata, yang akan merangkumi bukan sahaja perkongsian enjin tetapi juga pasukan. Namun, pekara ini tidak dapat dicapai. Dengan perubahan peraturan yang dimuktamadkan, siri perlumbaan bagaimanapun kekal sebagai persekitaran yang menarik untuk Porsche dan akan terus dipantau.”

Tambah ESPN lagi, Porsche masih meneroka pilihan yang ada untuk memasuki sukan itu walaupun perjanjian Red Bull gagal.

Semasa Grand Prix Belanda berlangsung hujung minggu lalu, prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner berkata adalah penting bagi Red Bull untuk mengekalkan kawalan penuh ke atas pasukan F1 mereka.

“Kami adalah pasukan bebas dan begitulah cara kami beroperasi dari segi fleksibel dan keupayaan untuk bergerak dengan pantas dan cekap, dan itu adalah sebahagian daripada DNA Red Bull.

“Trenkuasa merupakan satu cabaran yang berbeza, dan sudah tentu jika ada rakan kongsi yang berpotensi untuk membangunkan trenkuasa, ia sangat membantu kami.

“Jadi kami berada pada trajektori yang sangat menarik yang tidak bergantung kepada penglibatan atau pelaburan luar. Secara strategik, jika ada rakan kongsi yang tepat maka sudah tentu ia adalah sesuatu yang amat diminati kumpulan kami.”

Dalam pada itu, Red Bull ada menawarkan ‘idea’ kepada Porsche untuk melabur dalam bahagian trenkuasa baharu syarikatnya, namun perbincangan mereka menemui jalan buntu.

*Ikuti VOCKET CAR CLUB di Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.