Setahun dinantikan peminat, akhirnya Xiaomi kembali menawarkan telefon pintar terbaru mereka menerusi siri Xiaomi 12. Dua model yang dilancarkan buat pasaran Malaysia pada minggu ini iaitu Xiaomi 12T dan 12T Pro yang menawarkan spesifikasi seakan telefon pintar flagship pada harga yang berbaloi.

Xiaomi 12T

Kedua-dua model ini berkongsi spesifikasi yang hampir sama namun masih terdapat perbezaan yang ditampilkan. Xiaomi 12T dilengkapkan dengan skrin 6.67-inci CrystalRes AMOLED DotDisplay yang turut disertakan dengan sokongan refresh rate sehingga 120Hz. Penawaran AdaptiveSync untuk paparan serendah 30Hz beserta HDR10+ antara yang tersedia.

Mengulas mengenai cip, model ini dikuasakan oleh MediaTek Dimensity 8100-Ultra, 8GB RAM dan 256GB ruang storan. Xiaomi 12T dilengkapkan dengan tiga kamera pada bahagian belakang di mana kamera utama dilengkapkan dengan sensor 108-megapixel Samsung ISOCELL HM6.

Dua lagi lensa yang tersedia terdiri daripada sensor 8-megapixel sudut ultra lebar dan 2-megapixel makro. Menariknya, Xiaomi turut menyertakan sokongan Ultra Night Video dan juga penawaran kamera swafoto 20-megapixel.

Sebuah lagi ciri yang menarik perhatian ramai sudah pastinya sokongan pengecasan 120W HyperCharge yang mampu mengecas bateri 5,000mAh dalam tempoh yang singkat. Model ini menjalankan ROM MIUI 13 berasaskan Android 12.

Xiaomi 12T Pro

Sesuai dengan namanya, model ini hadir dengan spesifikasi yang tinggi bagi siri ini. Xiaomi 12T Pro dilengkapkan dengan skrin 6.67-inci CrystalRes AMOLED DotDisplay dengan sokongan refresh rate 120Hz. Sokongan Adaptive Sync antara yang turut tersedia.

Model ini memilih untuk menggunakan cip daripada Snapdragon iaitu Snapdragon 8+ Gen 1 dengan sokongan 8GB RAM dan 3GB RAM maya atau 12GB RAM beserta 256GB ruang storan.

Sebuah lagi perkara yang membuatkan Xiaomi 12T Pro unik adalah penawaran kamera utama dengan sensor Samsung ISOCELL HP1 200-megapixel beserta OIS. Dua lagi kamera yang tersedia pada bahagian belakang terdiri daripada 8-megapixel sudut ultra lebar dan 2-megapixel makro.

Sokongan sistem Xiaomi ProCut 200-megapixel, Xiaomi ProFocus, rakaman dengan resolusi 8K, rakaman video HDR10+ beserta kamera swafoto 20-megapixel antara yang tersedia.

Seperti juga Xiaomi 12T, model ini turut dilengkapkan dengan pengecasan 120W HyperCharge yang mampu mengecas bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pantas. Model ini pastinya menjadi idaman buat mereka yang mahukan speaker terbaik pada sebuah telefon pintar menerusi sokongan stereo Dolby Atmos beserta sokongan Harmon Kardon.

Harga

Mengulas mengenai harga, Xiaomi Malaysia telah menetapkan Xiaomi 12T sedia ditawarkan pada harga RM1,999 manakala Xiaomi 12T Pro hadir dengan harga RM2,699 bagi 8GB RAM dan RM2,999 bagi model dengan 12GB RAM. Sebuah harga yang kompetitif berdasarkan spesifikasi sarat yang ditawarkan.

Sumber: GSM Arena

Lebih membuatkan pembelian siri Xiaomi 12 berbaloi, jenama ini menjanjikan kemas kini sehingga 3 tahun dan tampalan sekuriti sehingga 4 tahun sekaligus memastikan pengguna mendapatkan kemas kini dan sekuriti terkini.