Yasin Sulaiman yang terpalit dengan isu penanaman pokok ganja hari ini memetik nama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semasa dibawa keluar daripada kompleks mahkamah Petaling Jaya untuk menghadapi pertuduhan berkaitan dadah.

Dalam satu video yang dikeluarkan oleh laman berita Bernama dan Kosmo!, kelihatan Yasin dengan berbaju hitam berkata kepada wartawan, “Tolong sampaikan salam kepada YB Syed Saddiq minta segerakan kelulusan cannabis dalam perubatan,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Yasin ini mendapat perhatian warganet dengan sebahagian daripadanya mempersoal kenapa nama Syed Saddiq disebut oleh Yasin yang kini sedang menghadapi pertuduhan berkaitan dadah selepas didapati menanam pokok ganja di rumah.

Pihak The Vocket cuba menghubungi wakil Syed Saddiq untuk mendapat maklum balas, namun masih tiada apa-apa kenyataan yang dikeluarkan.

Namun difahamkan nama Syed Saddiq disebut oleh Yasin mungkin disebabkan oleh Ahli Parlimen Muar itu pernah mencadangkan kepada parlimen untuk meluluskan kegunaan ganja bagi tujuan rawatan.

Pada September tahun lalu, Syed Saddiq mencadangkan kepada kerajaan untuk meneliti kelulusan industri hemp dan marijuana kerana akan dapat membantu anak muda yang mengalami masalah kesihatan serta menjadi salah satu rawatan alternatif.

Sebelum ini pihak polis berjaya membongkar kegiatan bekas penyanyi nasyid yang menanam pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara. Serbuan yang dilakukan polis telah menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di salah sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Polis turut menemui dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Rampasan itu dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM10,200.

Suspek berusia 47 tahun itu didapati positif tetrahydrocannabinol dan mempunyai sejarah penglibatan dadah sekurang-kurangnya 10 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Menteri Kesihatan maklum kegunaan ganja untuk tujuan perubatan, cadang didaftarkan di bawah DCA. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Menteri Kesihatan Maklum Kegunaan Ganja Untuk Tujuan Perubatan, Cadang Didaftarkan Di Bawah DCA

Mengaku Bersalah Ambil Dadah, Zarina Anjoulie Didenda RM4,000

Pernah Dihina Sebagai ‘Penagih’, Lelaki Ini Jadi CEO Pada Usia 28 Tahun Hasil Menanam Ganja