Sejak semalam, netizen mempertikaikan tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun yang dilihat sedang membersihkan kawasan yang tidak kotor.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil memperjelaskan isu tular tersebut dan mendakwa Rina Harun bukan sekadar hanya ‘berposing’ mencuci simen bersih ketika terlibat dalam operasi pasca bencana banjir semalam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kenyataan JKM memaklumkan keterlibatan Rina bukan sekadar mencuci simen di Sekolah Kebangsaan Salak Tinggi, yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), malah beliau turut melakukan kerja-kerja pembersihan dan susun atur logistik lain di sekolah itu.

“JKM selaku jabatan yang menguruskan operasi ini telah memohon kesudian YB Datuk Seri Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan oleh pihak sekolah sukar dicuci sebelum ini.

“Memandangkan peralatan jet air sedia ada di lokasi pembersihan, YB Datuk Seri Rina tidak menolak pelawaan JKM dan beliau melakukan kerja tersebut dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut JKM amat berbesar hati atas kesudian Rina untuk turut serta dalam operasi tersebut yang bukan sekadar terlibat dalam pembersihan kawasan malah bersama-sama Sukarelawan Keluarga Malaysia mengemas bilik darjah, menyapu lantai dan tingkap bilik darjah, menyusun atur meja dan kerusi pelajar supaya keadaan kembali seperti sediakala memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

Menurut JKM, Rina turut mengemas khemah yang digunakan oleh mangsa banjir untuk simpanan bagi kegunaan pada masa akan datang. “JKM berasakan tidak adil para warganet membuat tohmahan dan memperlekeh usaha dan penglibatan YB Datuk Seri Rina dalam operasi pembersihan ini,” katanya.

JKM turut menyeru dan mengalu-alukan lebih ramai rakyat tampil mendaftar serta terlibat sebagai Sukarelawan Keluarga Malaysia dalam misi membantu operasi pasca banjir daripada membuat dan menyebarkan provokasi yang tidak bermanfaat.

Berikut adalah beberapa artikel lain berkaitan banjir yang berlaku sepanjang minggu lalu. Baca lagi pada pautan di bawah.

Lelaki Ini Teruja Dapat Naik Satu Bot Dengan ‘Abang Viva Viral’ Semasa Beri Bantuan Banjir

‘Hanya Ada Makanan’- Wanita Ini Jelaskan Hal Sebenar Selepas Dikecam Ambil Ketuhar Di Mydin Mart

‘Bomba Penyelamat Kami’ – Mangsa Banjir Kongsi Detik Cemas Sebelum Diselamatkan

Sumber