Pengguna internet di Malaysia meluangkan hampir separuh hari untuk menonton video di Youtube tidak kira dalam kategori muzik, drama mahupun vlog. Namun, keseronokan menonton video seringkali terganggu dengan iklan tanpa langkau yang menjadi ‘musuh utama’ buat setiap penonton setia platform tersebut.

Baru-baru ini YouTube telah mengeluarkan kenyataan untuk membenarkan YouTubers mengaktifkan iklan tanpa langkau pada semua video milik mereka di platform tersebut.

Difahamkan bahawa langkah tersebut digunakan untuk memberi peluang kepada penerbit kandungan untuk menjana pendapatan lebih dan menggalakkan lagi golongan ini untuk berkongsi video di platform tersebut.

Jangan risau kerana iklan tanpa langkau di setiap video akan dihadkan selama 20 saat sahaja. Penerbit kandungan boleh mengaktifkan ciri ini di setiap video yang dimuatnaik mulai minggu ini di paparan dashboard mereka. Bersediakah anda untuk menonton video di YouTube dengan iklan yang tidak boleh dilangkau?