Harimau adalah haiwan yang sangat sinonim dengan negara kita jadi tidak hairanlah jika setiap kali ada perkembangan atau berita tentangnya kita semua akan teruja untuk mendengarnya.

Walaupun populasinya di seluruh dunia dilaporkan semakin menurun, namun kita amat bertuah kerana negara kita masih mempunyai kucing besar ini dan ada dalam kalangan mereka yang masih mampu membiak seperti yang berlaku di Zoo Taiping baru-baru ini.

Pihak Zoo Taiping dalam satu hantaran di Facebook mereka pada awal bulan ini mengumumkan kehadiran tiga ekor anak Harimau Malaya di dalam musim tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 12 April lalu.

Menurut hantaran tersebut, tiga anak harimau tersebut dilahirkan oleh ibunya seekor Harimau Malaya dewasa berusia 11 tahun yang turut dilahirkan di Zoo Taiping & Night Safari pada tahun 2009.

Tambah menggembirakan kesemua ibu dan anak harimau itu dilaporkan berada dalam keadaan baik dan stabil dengan berat anak-anak harimau tersebut berada dalam anggaran seberat 700 gram hingga 900 gram.

Perkongsian status tersebut dan gambar-gambar anak harimau yang baru dilahirkan beberapa minggu di Facebook zoo tersebut mendapat perhatian netizen dan menyaksikan ia dikongsi sehingga 2000 kali dan mendapat komen positif daripada netizen.

Bukan saja teruja dengan kelahiran anak-anak harimau tersebut, malah ada juga netizen yang berjenaka mengucapkan selamat berpantang kepada si ibu harimau.

tiger

Kehadiran tiga ‘baby harimau’ itu juga menjadikan Zoo Taiping kini mempunyai sejumlah lapan ekor harimau Malaya yang menetap di sana. Mendengar perkhabaran pun sudah gembira dan teruja, apatah lagi jika dapat melihat sendiri haiwan yang turut dikenali sebagai ‘pak belang’ dalam cerita-cerita dongeng dan rakyat di negara kita.

Bagaimanapun,mereka yang berkira dan merancang untuk melihat sendiri anak-anak harimau yang comel ini selepas musim PKP tamat mungkin terpaksa menunggu sedikit masa sebelum dibenarkan berbuat demikian.

Menurut temubual bersama MalayMail, pengarah zoo Dr Kevin Lazarus berkata pengunjung perlu menunggu sehingga September ini untuk melihat sendiri anak-anak harimau tersebut.

Ini jelasnya kerana anak-anak harimau ini pada kebiasaannya memerlukan masa sehingga lima bulan untuk dibenarkan keluar. Tambah menarik, beliau juga turut mendedahkan jantina anak harimau tersebut yang menurutnya merupakan seekor jantan dan dua ekor betina.

Dunia sebelum ini dikejutkan dengan perkembangan Harimau Malaya bernama Nadia yang berada dalam jagaan sebuah zoo di New York dikesan positif COVID-19. Baca perkongsian kami di bawah untuk membaca mengenainya. 

Harimau Malaya Yang Bernama ‘Nadia’ Diuji Positif COVID-19 Di New York

Harimau Malaya Mungkin Akan Pupus Dalam Jangka Masa Lima Tahun Lagi