Saya diperkenalkan kepada lelaki ini oleh seorang kawan. Kawan saya memujinya kerana dia seorang yang berani mengambil risiko dan bercita-cita tinggi dalam menjayakan perniagaan yang sedang diusahakannya.

zulhilmi daud

Saya tambah tertarik dengan kisahnya selepas dia disebut-sebut di dalam artikel ‘Elakkan Ciri-Ciri Ini Jika Mahu Jadi Usahawan Berjaya‘ oleh Tuan Firdaus Ahmad.

Selepas berkenalan, dia sudi ditemubual oleh saya. Inilah kisah bagaimana Zulhilmi Daud, seorang guru berdedikasi sanggup melepaskan jawatan itu untuk berbisnes.

1. Tuan sanggup berhenti kerja kerana bisnes, apakah faktor yang telah mendorong Tuan melakukan perkara nekad tersebut?

zulhilmi daud 04

Saya berhenti jadi guru dan jadi ahli perniagaan sepenuh masa ini sebab saya dah bosan. Bosan dengan sistem, bosan dengan rutin yang sama tiap hari, tiap penggal, tiap tahun. Sangat membosankan.

Awal-awal jadi guru memanglah seronok. Cabaran baru, aktiviti baru tiap hari. Bila diulang tiap tahun, akan jadi sangat membosankan. Manusia jenis apa saya ini kalau setiap hari kena buat benda yang sama saja?

Tahun ke tahun, sampailah pencen 30 tahun lebih lagi. Bila dah pencen barulah ada peluang nak pergi sana sini ikut rombongan guru-guru pencen. Itupun kalau sempat rasa pencen, kalau umur pendek? Duit pencen pun dapat ke orang lain.

Jadi saya pun nekad untuk letak jawatan dengan notis 30 hari. Supaya saya tak lagi bosan dan boleh buat apa saya suka!

2. Bolehkah Tuan ceritakan perjalanan awal bisnes Tuan?

Lama dah saya minat berniaga ini. Dari sekolah rendah lagi, jual sticker buat sendiri, jual kacang. Kena marah dengan cikgu-cikgu pula tu!

Masa di Insitut Pendidikan Guru (IPG) pun saya sangat aktif berniaga. Kalau nak tahu, saya ada kiosk saya sendiri. Mana ada pelajar lain waktu itu yang berani nak buka kiosk sendiri. Pensyarah pun pandang sinis macam saya guna modal dia. Tapi saya tak pedulikan semua tu. Saya jual waffle, jagung dalam cawan, roti kukus, ais batu pun saya jual.

Budak-budak universiti sekarang complaint, makan tak cukup, sampai usus terkoyak lah, kena jual diri lah. Peluang cukup, tak ambil pula? Saya boleh dapat RM1000 lebih sebulan masa masih belajar. Sambil-sambil pula tu.

Saya dah buktikan, kalau kita buat betul-betul, memang akan berjaya. Saya boleh saja ambil jalan mudah, cari sugar mummy ke, jadi gigolo ke, saya ada rupa apa?

Tapi saya pilih nak berniaga, jadi businessman. Bukan saja buat duit banyak, saya cipta peluang untuk orang lain, ambil kawan jadi staf, bayar gaji dia tiap hari.

Saya memang berniaga sebab saya suka. Seronok lain macam bisnes ini. Ada sistem sendiri, bukan kena ikut sistem yang entah siapa-siapa cipta, lepas itu paksa kita ikut.

Cabaran sebenarnya orang sekelilinglah. Suka sangat pandang remeh orang nak berbisnes. Macamlah businessman ini nak sangat ambil kesempatan.

Kalau cikgu berbisnes, cakap cikgu-cikgu ini lupa tugas asal. Tak boleh macam tu. Kalau student berbisnes, cakap lupa mak di kampung hantar nak belajar. Orang berniaga ini lagi mulia daripada makan gaji.

3. Bolehkah Tuan ceritakan detik perubahan yang telah mendorong Tuan menjadi usahawan sepenuh masa?

Detik perubahan itu banyak. Daripada isteri, kawan-kawan yang dah berhenti dan hidup bahagia, daripada tok guru bisnes saya. Mereka memang bagi pengaruh paling hebat masa itu.

Tapi paling power sebenarnya apabila saya boleh dapat income saya 5 kali ganda daripada gaji jadi cikgu. Padahal jadi cikgu lagi tertekan, lagi banyak benda kena buat.

Saya rasa dah tak berbaloi dah nak tunggu. Kena gerak terus, jadi businessman sepenuh masa. Cipta sistem sendiri, luang masa untuk diri sendiri, bina jenama dan nama, buat diri bahagia.

4. Bolehkah Tuan bercerita lebih lanjut tentang bisnes yang Tuan jalankan?

zulhilmi daud 03

Semasa saya jadi cikgu, saya dah mula berniaga produk herba secara online. Masa tu rakan saya lah yang ajar. Tiap minggu dari Tampin saya ke rumah dia di Bangi, semata-mata nak belajar ilmu berniaga. Tak pernah mengeluh.

Saya selidik macam mana rakan saya ni boleh berjaya ada jenama produk dia sendiri. Bagaimana dia develope produk, bagaimana dia pasarkan, bagaimana dia jual, cari ejen, jaga ejen, buat sistem dengan staf semuanya.

Bulan pertama saya belajar, saya dah dapat untung bersih RM3000. Bulan kedua dah meningkat dua kali ganda. Dah lebih daripada gaji saya menjadi cikgu. Daripada situ lah saya nekad nak bisnes betul-betul secara full time, bukan part time dah.

Lepas berhenti jadi cikgu, saya dan rakan kongsi, Saufy Nizar dan Shairy Hanapiah, sedang membina empayar sendiri di bawah nama Wolf World LPT. Kami bina jenama sendiri. Kami keluarkan beberapa produk herba. Kami bangunkan sendiri produk, dan kami ada team marketing sendiri. Saya adalah leader kepada team marketing kami.

Kami juga adakan service consultancy kepada orang luar yang berminat nak bina jenama herba sendiri. Kami akan consult klien dari peringkat asas seperti bagaimana buat syarikat, buat produk, dan bagaimana nak pasarkan produk mereka. Kiranya daripada A hingga Z.

Ada 4 siri kelas marketing yang kami dah anjurkan. 3 di Bangi, 1 di Ipoh. Dan kami berhasrat nak buat Jelajah Kelas Marketing seluruh Malaysia tahun ni.

Walaupun nampak macam bisnes kecil-kecil, impian kami besar. Kami harap dapat buka kilang produk sendiri tahun ni.

5. Bagaimanakah kehidupan Tuan kini sebagai usahawan sepenuh masa?

Wah, sangat bahagia! Saya tak payah dah nak bangun pagi-pagi, bersiap pakai macam apa orang suruh, tempuh jalan sesak sana sini, kejar punch card, tunggu murid depan pintu pagar, lawan birokrasi tempat kerja, kena marah dengan bos, time nak balik rumah pun jalan sesak!

Sekarang saya dah boleh buat apa saya suka. Bangun pagi bila saya suka, makan bila saya suka, tak payah dah dengar arahan yang entah apa-apa, tengok bola lewat malam, balik kampung lama-lama dan paling best buat kerja yang suka. Bahagia betul!

6. Apakah yang Tuan buat untuk kekal konsisten atau ketika Tuan dilanda cabaran?

Jangan ulang-ulang buat benda yang membosankan. Cari benda yang ada risiko, yang boleh cabar diri sendiri. Berkawan dengan kawan-kawan yang tak membosankan, barulah hidup fun dan ada makna. Apabila buat benda tak bosan barulah boleh konsisten, baru ada cabaran.

Pasal duit tu, nak cari makan tu nombor dua. Bila dah buat benda kita suka, buat betul-betul, duit tu akan datang.

7. Jika boleh diulang masa, adakah Tuan akan menjadi guru dan kemudian berbisnes?

apc zulhilmi daud

Saya ini masa jadi cikgu, saya cikgu yang rajin, sampai ada cikgu lain anggap saya tulang belakang sekolah. Boleh cakap semua benda saya boleh buat.

Saya terjun ke bidang bisnes masa kerjaya cikgu dah makin berkembang. Gaji dah sedap, dah RM4000. Murid sekolah saya sedikit, sekolah tenang. Guru besar saya sebenarnya ingin melantik saya jadi Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum, pada umur 27, dan hanya pada tahun ke-5 jadi cikgu, Bayangkan masa depan saya?

Tapi saya tak peduli semua itu, hari sepatutnya saya dilantik jadi GPK Kokurikulum, hari yang sama saya hantar Notis Letak Jawatan.

Lagipun saya jadi cikgu sebab ini impian arwah ayah saya. Sekarang rasanya saya dah tunaikan impian beliau. Dah settle dah tanggungjawab saya dan masanya saya pilih untuk kejar impian sendiri.

Untuk jawab soalan ini, tidak. Kalau diulang semula waktu, saya tidak akan terjun dalam satu sistem yang bosan dan cipta sistem yang saya suka sendiri dari awal lagi. Seronok bisnes ini.

8. Apakah pendapat Tuan mengenai potensi bisnes pada tahun 2016 ini?

Potensi bisnes ini senang saja. Selagi ada manusia, selagi itu mereka akan ada masalah. Jadi, kita ini businessman, kita buat kerja kita.

Kenalpasti masalah, selesaikan masalah itu. Buat kerja betul-betul, kerja keras, dan semua benda baik akan datang sendiri.

9. Apakah nasihat Tuan kepada mereka yang bekerja sambil berniaga?

Nasihat saya, letak jawatan sekarang dan berniagalah. Nak tunggu apa lagi? Tunggu ada modal ratus-ratus ribu? Tunggu ada pejabat besar? Tunggu ada benda laris nak jual? Tunggu masa perfect?

Mana ada masa yang perfect. Kita yang buat sendiri. Kalau part time boleh buat duit, takkan masa full time tak boleh buat duit? Kita ada double masa, double untung, double income.

10. Apakah perancangan Tuan buat masa ini?

Sangat banyak. Saya dah ada lima produk herba jenama sendiri, ada team marketing sendiri, ada syarikat trading sendiri. Kami pun tengah buat kelas, ajar orang nak mula berniaga, siapa-siapa yang ada modal lebih sikit, nak bikin jenama sendiri, pun kami ajar.

Selepas ini, ada duit lebih sikit, kami nak buka kilang sendiri, bagi peluang pada semua orang, untuk berniaga skala besar. Nak buka mata pada orang luar sana, yang masih jadi kuli kerja dengan orang tu, yang sebenarnya bisnes ini peluang lagi luas dan besar.

Semua orang ada peluang. Nak tak nak saja.

11. Apakah harapan Tuan?

zulhilmi daud 01

Harapan saya menjelang 2020 ini, orang Melayu akan termotivasi sendiri untuk berniaga. Tak payah dah nak harapkan orang lain.

Tak payah dah nak pergi mana-mana kursus motivasi yang membosankan itu, ataupun dengar ceramah-ceramah jutawan yang menjual mimpi.

Saya nak hasut semua rakan sekeliling, yang mana masih kerja dengan orang itu, supaya berhenti kerja sekarang. Kalau tak pandai, saya nak tunjuk jalan.

Kita power kot?