MRT yang merupakan pengangkutan awam terbaru mula beroperasi pada minggu lepas membuatkan kita rasa ingin cuba menaikinya.

Namun begitu, semalam beberapa akhbar telah melaporkan kerosakan dan vandalisma yang dilakukan oleh segelintir penumpang MRT. Kejadian ini menyebabkan ramai pihak melahirkan rasa marah dan kecewa mereka terutama di media sosial. Malahan sewaktu mendengar ulasan seorang pegawai tinggi MRT Corp di sebuah stesen radio, beliau turut tidak menyangka kejadian seperti ini boleh berlaku.

Mala Mala Serve 1
HYPE
Keunikan Rasa ‘Pedas Kebas’ Yang Sedap Di Mala Mala
Baca lagi →

Baca: Vandalisme MRT: Bagaimana Mahu Buang Minda Kelas Ketiga

etika-naik-mrt-11

Sebagai seorang yang pernah menggunakan pengangkutan awam di luar negara termasuk di Jepun, saya ingin berkongsi 10 etika berikut yang boleh kita praktikkan sewaktu menggunakan kemudahan awam di negara ini terutama sewaktu naik MRT, LRT dan komuter.

1. Berdiri di luar garisan kuning sewaktu menunggu keretapi tiba

etika-naik-mrt-5

Perkara asas, tapi ramai yang ambil ringan. Tujuan garisan kuning dibuat agar kita berdiri di jarak dan ruang yang selamat terutama ketika keretapi sedang bergerak. Ia adalah untuk tujuan keselamatan.

Sebelum masuk ke dalam keretapi, beratur di tepi kiri dan kanan pintu, dan beri laluan kepada penumpang yang ingin keluar dahulu.

2. Tidak makan dan minum di dalam keretapi

etika-naik-mrt-6

Makan dan minum di dalam keretapi bukanlah satu sikap yang baik. Di samping itu, ini juga dapat mengelak dari makanan dan minuman tertumpah hingga mengotorkan kerusi dan lantai keretapi. Makanan yang tertumpah juga akan menyebabkan bau yang kurang menyenangkan di dalam gerabak yang terlibat.

Di Jepun, memang tak akan jumpa orang makan di dalam keretapi kecuali bagi keretapi jarak jauh yang menyediakan gerabak khas untuk menjual makanan.

3. Senyapkan bunyi telefon anda

etika-naik-mrt-9

Hormati privasi penumpang lain, letak tetapan senyap di bunyi telefon anda. Jika ada yang menghubungi sewaktu anda di dalam keretapi, minta mereka hantar mesej atau hubungi mereka selepas anda tiba di stesen yang dituju. Tak ada pun orang nak tau hal peribadi anda sebenarnya.

4. Priority seating (tempat duduk untuk warga emas, OKU, wanita hamil dan ibu yang membawa bayi)

etika-naik-mrt-1

Jika kerusi ini kosong sewaktu kita naik, tidak bermakna kita yang normal ini ada hak untuk duduk di kerusi tersebut. Ia dikhaskan untuk 4 kategori penumpang ini dan bukan untuk kita.

Tahu apa erti merampas hak orang lain? Salah satunya duduk di kerusi beginilah. Apatah lagi bila ada yang buat-buat tidur atau pura-pura khusyuk main hp bila nampak penumpang yang sepatutnya duduk di situ naik.

5. Bergerak masuk ke bahagian dalam

etika-naik-mrt-8

Di waktu puncak, keretapi selalunya padat dengan penumpang yang bergegas mahu ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Selepas naik, usah berkumpul di depan pintu. Kesian kepada penumpang lain yang juga ingin naik ke gerabak yang sama. Mereka pun nak pergi kerja atau balik ke rumah seperti kita juga.

Undur dan masuk ke bahagian dalam agar yang lain juga dapat naik.

6. Hormati hak penumpang lain

Dah dapat duduk, kita letak beg pula di kerusi sebelah. Wah sedap sungguh ye. Kesian penumpang lain yang nak duduk tapi beg kita dah jadi penumpang tambahan. Beg kita boleh diriba atau diletakkan di bahagian bawah kerusi. Beri peluang orang lain untuk duduk juga.

7. Bawa turun ‘harta’ kita

etika-naik-mrt-12

Sama ada plastik barang, pembalut coklat atau suratkhabar, bawa bersama ketika turun dan buang di dalam tong sampah. Barulah namanya warga yang bertanggungjawab. In short, jangan tinggalkan ‘harta’ kita di dalam keretapi.

8. Perlahankan suara

Ye, kita sedang borak sakan dengan member semasa naik MRT. Tapi itu bukan lesen untuk kita bercakap dengan kuat, apatah lagi ketawa terbahak-bahak hingga menganggu penumpang lain.

Kita orang Timur kaya dengan adat sopan. Maka ia sepatutnya dibawa sewaktu di dalam MRT juga. Berbual lah dengan perlahan.

9. Didik anak dari kecil bagaimana guna kenderaan awam

etika-naik-mrt-4

Ah, ini satu perkara yang saya pernah nampak di depan mata (dalam komuter) bila kanak-kanak dibiarkan main cop tiang oleh ibubapa sewaktu di dalam keretapi. Bayangkan apa boleh jadi jika tiba-tiba keretapi brek mengejut. Ada yang bakal cium dinding atau lantai keretapi beserta pakej kecederaan.

Itu belum dikira bila ada yang membiarkan anak bergayut di tempat memegang tangan yang disediakan bagi mereka yang berdiri.

Kepada para ibubapa, awasi dan ajar anak kita behave sewaktu menggunakan kenderaan awam. Bak kata pepatah, nak melentur buluh kena buat dari masa ia masih rebung. Mahu lahirkan warga bertanggungjawab, didik anak kita dari kecil.

10. Hormati harta awam

Kita bayar tiket tak bermakna kita ada hak untuk berbuat sesuka hati dan merosakkan kenderaan awam. Ia disediakan untuk kegunaan umum dan sewajarnya sebagai penumpang, kita menggunakannya dengan penuh rasa tanggungjawab dan berhemah.

etika-naik-mrt-3

Malaysia kini sedang menuju ke arah penyediaan prasarana dan pengangkutan awam yang lebih efisyen. Seharusnya sebagai rakyat, kita perlu ada rasa tanggungjawab untuk turut menjaga dan menghargai kemudahan yang disediakan.

Nak bina MRT dari awal hingga siap bukan sekejap tapi ambil masa 4 tahun. Memang lama dan memakan kos yang banyak. Anda boleh lihat gambar yang dikongsikan oleh pembaca Vocket sewaktu projek MRT sedang dibina.  Bukan kerja senang.

Saya mengimpikan satu hari nanti rakyat negara ini dipuji oleh para pelawat dan pelancong asing kerana disiplin, kebersihan dan sikap sopan santun yang dijadikan amalan seharian. Gila tak bangga bila ada yang cakap – aku dah pergi negara kau. Sungguh aku kagum bukan saja dengan kecantikan dan kebersihannya, tapi juga kerana sikap dan disiplin orang Malaysia.

Ha, itulah yang kita nak. Asyik puji Jepun saja. Cuba kita pula bawa perangai pembersih dan sopan santun Jepun tu ke dalam diri. Boleh?

Anda Mungkin Suka