Tahun lepas saya memilih Nota dan Jwanita sebagai antara filem terbaik sepanjang 2015. Kedua-duanya genre seram, ngeri dan psiko yang memerlukan watak utama yang dibawakan oleh Maya Karin menguasai karaektor Erin dan Jwanita dengan baik dan mendalam.

Pada tahun ini pula, sebanyak 44 buah filem telah ditayangkan di pawagam berbanding tahun lepas, 80 buah filem. Walaupun sedikit bilangannya, banyak filem yang menarik dan berbeza genre dan konsep dipersembahkan di layar perak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kelainan yang wujud ini makin memeriahkan persada perfileman negara apabila ada produksi yang berani tampil dengan penggunaan teknologi dalam cerita mereka.

Penilaian bagi filem-filem ini bukan sekadar kerana ia popular atau dilakonkan oleh pelakon-pelakon popular. Ia berdasarkan faktor-faktor yang menyumbang ke arah kesedapan sesebuah filem seperti jalan cerita, skrip, lakonan dan lain-lain.

Jadi, ada kemungkinan filem rating rendah atau tidak dapat kutipan jualan tiket yang tinggi turut tersenarai di sini. Maka, inilah 10 filem yang kami kata terbaik pada tahun 2016 ini.

1. Olabola

Tarikh: 28.01.2016
Pengarah: Chiu Keng Guan
Penulis: Chan Yoke Yeng dan Tan Pik Yee
Kategori: Drama
Syarikat: Astro Shaw Sdn. Bhd., GSC Sdn. Bhd. dan Multimedia Ent. Sdn. Bhd.
Kutipan: RM16,600,000.00

Ola Bola mengisahkan sebuah pasukan bola sepak Malaysia sekitar tahun 1980 yang hebat. Sesiapa yang menontonnya pasti berasa bersemangat kerana di dalam filem ini kerjasama berpasukan, erti persahabatan dan sikap solidariti dalam isu kemanusiaan turut disentuh. Ia mempunyai mesej-mesej baik yang didahagakan oleh para penonton Malaysia.

2. Munafik

Tarikh: 25.02.2016
Pengarah: Syamsul Yusof
Penulis: Syamsul Yusof
Kategori: Seram
Syarikat: Skop Production Sdn. Bhd.
Kutipan: RM17,042,391.38

Munafik bukan sekadar filem kisah seram yang hanya diwujudkan untuk memenuhi minat penonton di Malaysia. Munafik ialah antara filem genre seram yang terbaik dan penuh pengajaran. Pasti tak sangka pengakhiran filemnya. Nak tahu, kena tonton sendiri.

3. Boboiboy

Tarikh: 03.03.2016
Pengarah: Mohd Nizam Abd Razak
Kategori: Aksi/Animasi
Syarikat: Animonsta Studios Sdn. Bhd.
Kutipan: RM15,739,768.98

Boboiboy bukan sahaja menarik perhatian kanak-kanak apabila orang dewasa terhibur dengan jalan cerita yang dipersembahkan walaupun konfliknya ringan, sesuai dengan kumpulan sasaran filem ini. Ia filem animasi yang menampilkan skrip yang baik dan banyak aksi dalam usaha untuk menyelamatkan rakan yang diculik sehingga diserang banyak kali.

4. Redha

Tarikh: 14.04.2016
Pengarah: Tunku Mona Riza
Penulis: Shaharil dan Tunku Mona Riza
Kategori: Keluarga
Syarikat: Current Pictures Sdn. Bhd.
Kutipan: RM497,071.75

Redha tidak mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan peminat filem tempatan. Tetapi aura Redha dirasai di luar negara apabila ia mendapat perhatian industri perfileman sehingga memenangi anugerah. Redha paparkan kisah benar kehidupan ibu bapa yang mempunyai anak autisme. Penghayatan lakonan para pelakon dan dialog yang baik membuatkan kita mahu mengikuti lebih dalam kehidupan keluarga Razlan.

5. Pekak

Tarikh: 01.09.2016
Pengarah: Mohd Khairul Azri Md Noor
Penulis: Mohd Khairul Azri Md Noor
Kategori: Drama/Cinta
Syarikat: Primeworks Studios Sdn. Bhd.
Kutipan: RM354,357.49

Pekak alami perbahasan di kalangan masyarkat Malaysia apabila ada yang menyoal apa kebaikan filem ini diwujudkan tatkala masalah sosial semakin runcing. Kami senaraikan juga Pekak di sini kerana ia menampilkan gaya lakonan yang berkualiti oleh setiap pelakon dan gaya bahasa skrip yang mengikuti pemuda-pemudi yang hidup di dalam lingkungan tersebut.

6. Alif Dalam 7 Dimensi

Tarikh: 08.09.2016
Pengarah: Faisal Ishak
Penulis: Anwari Ashraf
Kategori: Aksi
Syarikat: Astro Shaw Sdn. Bhd.
Kutipan: RM1,629,488.97

Alif Dalam 7 Dimensi ini ala-ala macam filem Ghostbuster. Cuma bezanya hanya Alif sahaja nampak semua hantu-hantu itu. Maka, dia jugalah pelawan hantu walaupun dua lagi rakannya yang terlebih teruja untuk menangkap hantu.

7. Rock Bro! Kembali Ke Pangkal Jalan

Tarikh: 27.10.2016
Pengarah: Mamat Khalid
Penulis: Mamat Khalid
Kategori: Drama
Syarikat: Primeworks Studios Sdn. Bhd.
Kutipan: RM4,669,468.03

Rock Bro! ialah filem ketiga bagi siri filem berkisarkan sekumpulan ahli rock arahan Mamat Khalid. Jadi, ia telah mempunyai fan base tersendiri yang terdiri daripada peminat tegar trilogi Rock. Filem ini menarik kerana kesinambungan dengan 2 filem sebelum ini tidak mencacatkan tetapi telah melengkapkan trilogi Rock melalui jalan cerita yang kemas dan sinematografi yang baik.

8. Hanyut

Tarikh: 24.11.2016
Pengarah: Julia Fraser/U-Wei Hj Saari
Penulis: U-Wei Hj Saari
Kategori: Drama
Syarikat: Tanah Licin Sdn. Bhd.
Kutipan: RM68,695.74

Hanyut menelankan kos sebanyak RM18 juta telah diisytiharkan sebagai filem kenegaraan sekaligus karya ini harus jadi kebanggaan rakyat Malaysia. Hanyut menggunakan latar belakang zaman penjajah pada kurun ke-19 ini mempersembahkan kisah tragedi yang dilakonkan oleh barisan pelakon hebat seperti Adi Putra, Diana Danielle, Bront Palarae, Alex Komang, Khalid Salleh, dan Sofea Jane.

9. Interchange

Tarikh: 01.12.2016
Pengarah: Dain Iskandar
Penulis: Dain Iskandar
Kategori: Fantasi
Syarikat: Apparat Sdn. Bhd.
Kutipan: RM257,237.83

Interchange ialah karya thriller terbaru pengarah Bunohan ini menampilkan konflik antara masyarakat tradisional dan moden yang hidup bersama. Sepanjang filem ini banyak persoalan yang tidak terjawab dan tidak diterima akal. Jadi, ia agak berat bagi penonton yang mahu hadir dengan mood berhibur. Tapi jalan cerita dan sinematografi yang diketengahkan menarik untuk buat penonton duduk hingga tamat tayangan.

10. Desolasi

Tarikh: 08.12.2016
Pengarah: Syafiq Yusof
Penulis: Syafiq Yusof
Kategori: Fiksyen
Syarikat: Skop Production Sdn. Bhd.
Kutipan: RM1,082,343.50

Desolasi menggunakan lebih 60% teknik CGI dalam pembikinannya ini membuatkan penonton dapat melihat babak-babak yang di luar kebiasaan filem tempatan. Tambahan pula, filem ini mengutarakan falsafah yang akan mengajak kita berfikir secara kritikal dan integral tentang konsep ontologi iaitu hakikat ketuhanan, hakikat kosmologi dan hakikat kemanusiaan.

Ini 10 filem Malaysia pilihan kami bagi 2016. Bagaimana dengan anda pula?